Hanya 7 laman web layak lima bintang

Hanya tujuh laman web kementerian dan agensi kerajaan mendapat 5 bintang daripada 1,192 portal atau laman web yang disenaraikan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata laman web kendalian Kementerian Kewangan; Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu); Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, selain portal myGovernment menerima penilaian lima bintang.

Beliau berkata, laporan itu jelas mengecewakan dan semua ketua jabatan perlu memulihkan imej dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

“Jumlah ini mengecewakan dan saya harap hasil laporan MDeC diambil serius. Saya tidak mahu mengeluarkan arahan kerana mereka bukan tidak cerdik, jadi sepatutnya faham tanggungjawab.

“Hasil laporan ini satu cabaran kepada mereka, jika tujuh laman web ini boleh mendapat lima bintang, kenapa selebihnya tidak boleh,” katanya selepas merasmikan seminar ‘Perubahan 1pengurusan perkhidmatan kerajaan dalam talian: Amalan utama untuk berubah,’ semalam.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url