Maxis pertingkat kelajuan pindah data

Menerusi kempen Sesuatu untuk Semua, Maxis Communications Berhad (Maxis) melancarkan pakej jalur lebar baru sebagai inisiatif meningkatkan lagi pengalaman pengguna.

Pengurus Besar Kanan Maxis, Afizulazha Abdullah, berkata Maxis meningkatkan kelajuan pemindahan data sehingga 7.2Mbps di seluruh negara membolehkan pengguna melayari jalur lebar untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan hiburan.

“Secara global, pengguna Internet di Malaysia mengungguli tempat pertama di laman Blog, tempat kedua di Friendster dan Myspace, tempat ketiga di Flickr, tempat ke-13 di YouTube dan ke-16 di Facebook.

“Peningkatan penggunaan jalur lebar di Malaysia juga disebabkan sikap ingin menguasai maklumat, wujudnya rangkaian sosial dan pelbagai. Malahan tidak mustahil apabila pengguna lebih suka berbelanja secara atas talian, berhibur serta merancang perjalanan cuti,” katanya.

Menurutnya, Maxis memenuhi impian pelanggan dengan menyediakan jaringan yang terbaik dari 1.5GB hingga ke 12GB untuk menyediakan keperluan terhadap data, suara dan muzik dengan harga yang amat berpatutan.

Pakej bulanan jalur lebar 1.5GB dapat dinikmati serendah RM58, bagi 3GB berharga RM78, 6GB RM118 manakala 12GB berharga RM178.

Bagi pakej tanpa modem pula, rebat RM10 diberikan untuk 12 bulan kepada pengguna yang melanggan Advanced Lite dengan harga bulanannya sebanyak RM68 daripada RM78 manakala RM48 bagi pelanggan Youth.

Pengguna yang jarang menggunakan Internet boleh melanggan pakej jalur lebar sehari dan seminggu iaitu pakej yang disediakan sebanyak RM8 dengan jumlah data 500MB untuk sehari manakala RM25 seminggu dengan jumlah data sehingga 2GB.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url