Memahami perbezaan lafaz cerai baiah, taklik

Oleh MUSA AWANG
Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia
emel :sekretariatpgsm@yahoo.com
http: //www.peguamsyarie.org

Sebelum ini timbul polemik mengenai parti politik yang mengadakan baiah secara taklik talak tiga bagi menghalang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya. Saya tidak mahu mengupas isu ini dari sudut politik namun menilainya melalui perspektif perundangan. Baiah adalah suatu sumpah atau janji yang dibuat seseorang untuk memberi sepenuh ketaatan dan kesetiaan, kepada amir atau ketuanya.

Berbaiah sifatnya harus selama sumpah dan janji didalamnya tidak melanggar hukum syarak. Sejarah baiah pertama berlaku sebelum hijrah Nabi SAW iaitu pada tahun ke-12 selepas kerasulan Nabi (621M).

Satu rombongan dari Yathrib (Madinah) yang terdiri dari 12 penduduk, 10 orang dari kabilah Aus dan dua dari kabilah Khazraj bertemu Rasulullah di lembah Aqabah, Mina. Mereka berbaiah dengan Rasulullah yang dikenali Bai'ah al-Aqabah.

Imam al-Bukhari, dari Ubadah bin al-Samit bahawa Rasulullah bersabda kepada kami ketika ia dikelilingi oleh beberapa sahabatnya, "Berbaiahlah (berjanji setia) kepadaku bahawa kamu tidak sekutu Allah dengan sesuatu yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak kamu, tidak berbohong yang sengaja diadakan sama ada pada dirimu atau orang lain dan jangan kamu derhaka dalam perkara baik. Maka sesiapa yang setia di kalangan kamu maka ganjarannya di sisi Allah, dan sesiapa yang terkena kepadanya amalan buruk lalu ia menerima tindakan hukuman di dunia maka menjadi kifarah baginya. Sesiapa yang terkena kepadanya dengan mengerjakan perkara itu kemudian Allah melindunginya dari diketahui orang di dunia ini maka terserahlah kepada Allah. Jika Ia kehendaki nescaya diampun-Nya dan jika Ia kehendaki nescaya dihukum-Nya lalu kamu pun berbaiah di atas perkara ini."

Rombongan berkenaan bukan saja melafazkan ikrar dua kalimah syahadah, malah beraku janji menerima segala hukum Islam yang menjadi asas penting bagi pembinaan individu dan masyarakat Islam, dari aspek aqidah, akhlak dan pelaksanaan Islam di dalam semua bidang, menolak segala perlakuan di zaman Jahiliah.

Taklik bermaksud 'gantung' atau 'sangkut'. Dalam konteks hukum fiqh, taklik ialah 'mengaitkan berlakunya sesuatu hal dengan sesuatu syarat yang ditetapkan'. Taklik talak pula ialah 'mengaitkan berlakunya talak atau perceraian apabila terjadi atau berlaku sesuatu syarat yang dilafazkan. Hukum membuat lafaz taklik talak adalah harus.

Asas bagi talak taklik yang menjadi amalan di negara ini ialah janji yang dibuat suami selepas majlis akad nikah, yang mana suami membuat janji tidak akan melanggar syarat yang dipersetujui pihak dalam perjanjian selepas perkahwinan itu. Berdasarkan Seksyen 50, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Mahkamah Syariah berkuasa mengesahkan suatu lafaz taklik yang dibuat suami selepas majlis akad nikah.

Isteri perlu memulakan prosiding dengan membuat aduan kepada mahkamah, selepas mahkamah mensabitkan aduan itu, maka gugurlah talak seperti dalam perjanjian mereka itu. Namun terdapat juga keadaan, lafaz taklik talak dibuat selain dari sighah (formula kontrak perkahwinan) yang dilafazkan selepas akad nikah itu. Ia diklasifikasikan sebagai cerai luar mahkamah, menurut peruntukan Seksyen 57 Enakmen yang sama.

Lafaz baiah secara taklik talak ini adalah termasuk dalam kategori ini. Mahkamah syariah yang berbidang kuasa mengesahkan sama ada berlaku perlanggaran terhadap syarat dalam lafaz taklik itu atau tidak. Prosiding cerai luar mahkamah ini boleh dimulakan sama ada oleh isteri atau suami. Namun beban pembuktian cerai luar mahkamah secara taklik talak terletak ke atas bahu isteri, yang perlu membuktikan dua elemen berikut:

# Kewujudan lafaz talak secara bertaklik oleh suami.

# Bahawa suaminya sudah melanggar syarat dalam lafaz taklik itu dengan mengemukakan saksi atau dokumen atau dengan pengakuan suami itu sendiri.

Sama ada sesuatu talak itu gugur atau tidak tertakluk kepada penyempurnaan rukun talak dan syarat setiap rukun berkenaan. Dalam mazhab Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak; sighah; mahl (isteri); wilayah (ada kekuasaan) dan qasad.

# Pentalak disyaratkan seorang yang mukallaf (baligh dan berakal) serta tidak dipaksa. Syarat sighah ialah kehendak melafazkan dengan talak walaupun tanpa niat.

# Mahl (isteri) disyaratkan isteri yang sah kepada suami yang mana sekali gus suami mempunyai wilayah (kekuasaan) untuk menjatuhkan talak ke atasnya.

# Qasad iaitu niat, bagi lafaz soreh (jelas) tidak berkehendakkan kepada niat. Menurut kitab Kifayah al-Akhyar, mengenai talak menyebutkan bahawa, "talak itu ada dua jenis iaitu, talak soreh (jelas) dan talak kinayah (sindiran). Talak soreh itu ada tiga lafaz iaitu talak, firaaq (cerai) dan saraah (lepas). Talak dengan lafaz soreh tidak memerlukan niat (untuk menjadikannya gugur)."

Perkataan talak atau cerai adalah perkataan yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Jika dilakukan dalam keadaan bergurau sekalipun jatuh talak, apatah lagi dalam keadaan sedar dan waras. Rasulullah bersabda: "Tiga perkara yang sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh dan main-main dikira sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk."

Dalam bab berhubungan lafaz talak tiga sekali gus, menurut pendapat Syiah dan Zaidiyah, sesetengah ulama Zahiriyah dan Ibn Ishak, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, jatuh satu talak saja dan lafaz tidak memberi kesan. Menurut majalah al Buhuth al Islamiyyah, Jilid 1 Bilangan 3 Tahun 1397H, pada asalnya undang-undang Mesir dan Syria mengambil pendapat ini.

Kemudian Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyadh mengubah pendapat ini dan memilih majoriti pendapat yang mengatakan jatuh tiga talak dengan lafaz talak tiga sekali gus. Pendapat ketiga menurut Syiah Imamiyyah, menceraikan isteri dengan tiga talak sekali gus sama sekali tidak menjatuhkan talak. Pendapat jumhur imam mazhab yang empat dan al-Zahiriyah, menyatakan jatuh tiga talak. Pendapat jumhur berdalilkan al-Quran, al-Sunnah, al-ijma' perkataan sahabat dan qias.

Jelaslah bahawa baiah dan talak taklik adalah dua perkara berbeza. Menggabungkan kedua-dua elemen ini adalah harus selagi mana ia tidak berlawanan dengan hukum syarak. Namun sekiranya berlaku perlanggaran terhadap sumpah baiah, maka pembuat baiah akan menghadapi dua risiko. Pertama ia perlu membayar kaffarah terhadap sumpah yang dimungkiri. Kedua dia akan menghadapi risiko perceraian dengan isteri tercinta, berdasarkan jumlah talak yang dilafazkan. Jika sekiranya suami berbaiah dengan talak tiga, maka akan jatuhlah talak tiga sekali gus seperti pandangan ulama jumhur.

Dari satu segi, sumpah bai'ah talak tiga ini dilihat akan menganiayai isteri kerana isteri tiada pilihan untuk mengatakan tidak kepada lafaz talak bertaklik yang sudah dilafazkan itu kerana talak adalah hak suami. Ia juga dilihat seolah-olah politik lebih diutamakan daripada institusi kekeluargaan. Namun jika dilihat satu perspektif lain, lafaz baiah sedemikian meletakkan kedudukan isteri setaraf dengan ketua atau pemimpin kepada si pembuat baiah. Natijahnya, suami akan berada dalam keadaan terpaksa membuat pilihan yang sukar, sama ada memilih mengkhianati pemimpinnya dan kehilangan isteri tercinta, atau terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan kepemimpinannya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url