PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2009

Peperiksaan bertulis SPM akan diadakan di seluruh negara daripada 18 November hingga 16 Disember 2009.

Jumlah keseluruhan calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini ialah seramai 465,853 orang.

Jumlah Calon Kementerian adalah seramai 406,420 orang calon. Jumlah Calon Persendirian Perseorangan pula ialah 32,561 orang. Seramai 7,071 orang merupakan calon MRSM dan Sekolah Perantis Tentera.
Sekolah Agama Negeri mencatatkan jumlah calon seramai 8,765 orang, manakala dari Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Swasta pula terdapat 11,036 orang calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Sebanyak 3,569 buah pusat peperiksaan dengan 23,864 orang petugas peperiksaan telah disediakan untuk mengendalikan peperiksaan tersebut.

Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar mereka sentiasa merujuk Jadual Waktu Peperiksaan untuk butiran tentang masa peperiksaan, peringatan kepada calon, arahan-arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan. Mereka juga dikehendaki membawa Kad Pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM 2009 masing-masing pada setiap masa mereka berada di bilik atau dewan peperiksaan. Ini adalah penting bagi menjamin pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

Lembaga Peperiksaan juga suka mengingatkan semua calon yang akan menduduki peperiksaan supaya bersedia dan membuat persiapan awal yang perlu untuk menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala untuk sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual. Pada masa yang sama, calon-calon diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pengetua sekolah telah dimaklumkan berkenaan persediaan yang perlu dibuat berkaitan dengan banjir berdasarkan Operasi Payung ( Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil. 6/2008). Langkah-langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir telah dibuat oleh semua pihak yang terlibat bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan dengan lancar mengikut jadual.

Pihak Lembaga Peperiksaan telahpun memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri tentang kemungkinan berlakunya ancaman banjir semasa peperiksaan bagi bantuan sewajarnya. Sekolah-sekolah yang berisiko tinggi menghadapi banjir perlu menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat. Mana-mana calon yang mungkin diancam banjir dikenalpasti bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas dapat disalurkan atau disediakan dengan segera.

Di samping itu, Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkan satu pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah. Garis panduan ini menghendaki pelajar dan keluarganya mengikuti perkembangan wabak penyakit dan peka kepada maklumat terkini terutama dari KPM serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh KPM dan KKM. Ibu bapa atau penjaga perlu menasihatkan anak-anak agar mengikut panduan penjagaan kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan virus H1N1 daripada terus merebak. Pelajar dan keluarganya juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah / PPD / JPN / Lembaga Peperiksaan sekiranya terdapat tanda-tanda mereka dijangkiti wabak penyakit tersebut.

Bilik Gerakan SPM akan beroperasi di Lembaga Peperiksaan dibuka dari 17 November 2009 hingga 16 Disember 2009. Waktu operasi ialah dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam.

Bilik Gerakan ini boleh dihubungi melalui nombor-nombor berikut:
03-8889 3601 / 03-8889 3809 / 03-8889 3582 / 03-8889 3520 / 03-8889 3551 / 03-8884 3030.
No. Faksimili ialah 03-8889 3010 / 03-8889 5561 / 03-8889 3445.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Putrajaya

10 November 2009

SUMBER: http://www.moe.gov.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url