Polis India rampas kulat seks
Empat lelaki ditahan Isnin lalu selepas didapati membawa bersama 90 kilogram kulat yang dikenali sebagai cendawan ulat bulu, di wilayah bergunung Ladakh, 550 kilometer dari sini.
Seorang pegawai polis, Bhim Sen Tuti berkata, suspek-suspek didakwa cuba menyeludup keluar 'viagra Himalaya' tersebut ke China yang sering digunakan dalam industri perubatan tradisional Cina.
Kulat popular itu dipercayai mampu menaikkan syahwat selain banyak dijadikan sebagai ubat untuk merawat masalah keletihan dan penyakit-penyakit tertentu termasuk barah.
Jika sabit kesalahan, penyeludup kulat Cordyceps sinensis itu boleh dihukum penjara antara tujuh tahun hingga seumur hidup kerana melanggar undang-undang biodiversiti, perhutanan dan hidupan liar.
Ia merupakan kes pertama pihak polis membongkar perdagangan haram kulat tersebut untuk dihantar ke China dari wilayah Kashmir yang turut dituntut oleh Pakistan.
- AP