Haji VIP dapat khemah lima bintang

MEKAH - Beberapa syarikat Arab Saudi dan asing memperkenalkan pakej haji lima bintang bagi menarik jemaah haji kaya raya yang mahukan layanan istimewa bertaraf VIP ketika berada di Mina dan Arafah.

"Perkhidmatan VIP itu pada dasarnya untuk memastikan seseorang jemaah haji dapat melakukan ibadah dalam keadaan tenang tanpa gangguan," kata seorang pembantu haji, Zaki Kamal Hussein.

Menurutnya, syarikat haji tempatan dan asing serta pejabat haji menyasarkan kelompok jemaah haji kaya sebagai pelanggan kerana mereka memberikan keuntungan lumayan.

"Walaupun jumlah mereka kecil, golongan itu perlu diberi tumpuan kerana banyak menyumbang kepada pendapatan kami," jelas Zaki tanpa menyebut kos pakej haji VIP itu.

Ketika ditanya tentang perbezaan di antara pakej haji biasa dan pakej VIP, pembantu haji itu memberitahu, perbezaannya ketara kerana pakej VIP menumpukan pada privasi dan keselesaan pelanggan.

"Ia (pakej VIP) bermakna jemaah haji akan diangkut dengan bas mewah, menerima layanan bertaraf hotel, dihidangkan makanan istimewa menuruti selera mereka selain ditempatkan di dalam khemah yang luas dan mewah serta tandas bersih," ujarnya.

"Kami turut menyediakan taman permainan khusus untuk kanak-kanak yang dipantau tenaga pengajar wanita supaya ibu bapa dapat mengerjakan ibadah haji dengan tenang tanpa bimbang mengenai anak-anak mereka," tambahnya.

Seorang pelabur berketurunan Mesir yang menetap di Britain, Mustapha Rajab berkata, dia memilih pakej haji VIP bagi memastikan mendapat privasi dan keselesaan tanpa gangguan akibat bunyi bising dan pencemaran udara terutama ketika musim haji tahun ini yang berdepan wabak selesema babi.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url