Ronaldo perkuat Real
MADRID - Real Madrid berhasrat menjulang trofi Liga Juara-Juara pada aksi final di Santiago Bernabeu musim ini.
Namun mereka perlu melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu dan tugas berat masih menanti skuad kendalian Manuel Pelligrini itu apabila berdepan FC Zurich di tempat sendiri awal pagi esok.
Real kini berkongsi tujuh mata dengan AC Milan untuk mendahului Kumpulan C manakala Zurich hanya ketinggalan satu mata di belakang kelab Sepanyol itu.
Bagi memastikan mereka berada sebelah kaki ke pusingan kalah mati, Real perlu menewaskan Zurich pada aksi awal pagi esok.
Real mendapat tonik terbaik selepas merampas tangga teratas Liga Sepanyol daripada Barcelona minggu lalu dan mereka akan membuka jurang andai berjaya menewaskan Barcelona di Nou Camp pada Ahad nanti.
"Perlawanan menentang Barcelona penting tetapi sebelum itu, kami perlu menentang Zurich dan jika menang, kami sudah sebelah kaki ke pusingan seterusnya," kata pemain tengah Real, Royston Drenthe.
Khabar gembira juga diterima Real apabila bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sedia untuk kembali beraksi selepas berehat 10 perlawanan akibat kecederaan buku lali.
Kini Pellegrini hanya perlu membuat keputusan sama ada mahu menggunakan khidmat Ronaldo secara maksimum ketika berdepan Zurich atau menyimpannya untuk bertemu Barcelona.
"Kita perlu menggunakan Ronaldo secara perlahan-lahan kerana dia sudah lama tidak berlatih," kata bekas penyerang Real, Emilio Butragueno.
Biarpun tanpa Ronaldo, Real tetap menang sembilan daripada 11 perlawanan terakhir mereka tetapi Pellegrini masih gagal memenangi hati penyokong yang tidak terhibur dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Racing Santander Sabtu lalu.
"Kami perlu meningkatkan cara permainan kami. Sukar bertemu Santander kerana kami telah berehat dua minggu dan kami baru kembali selepas kami tersingkir saingan Piala Raja-Raja Sepanyol," kata Pellegrini.
- AFP
I'll not vote for Real to win CL.