Tune Talk sasar 300,000 pelanggan


KUALA LUMPUR 24 NOV 2009 - Sungguhpun baru berusia tiga bulan sejak dilancarkan pada 19 Ogos lalu, syarikat telekomunikasi prabayar, Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) optimis mencapai 300,000 sehingga 400,000 orang pelanggan menjelang Disember tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo, angka itu mengambil kira kadar 4,000 pendaftaran baru sehari yang dicapai sekarang.

"Sasaran utama kami ialah untuk mencapai 1 juta pelanggan dalam tempoh setahun operasi dan untuk mencapai angka tersebut, jumlah pendaftaran baru adalah kira-kira 5,000 sehingga 6,000 sehari.

"Namun demikian, melihat pada kadar pertumbuhan 30 peratus sejak dilancarkan, kami berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran menjelang hujung tahun," kata Lo pada majlis penyampaian hadiah kepada pelanggan ke-100,000 dan 200,000 Tune Talk yang diadakan di sini semalam.

Pada majlis itu, Remmy Zainuddin yang diwakili oleh ibunya, Che Ann Ali dan Wong Xin Rui masing-masing menerima tiket penerbangan ke mana-mana destinasi AirAsia atau AirAsiaX berserta masa berbual Tune Talk bernilai RM200.

Lo berkata, selain menikmati liputan maksimum ke seluruh negara dan khidmat perantauan melalui usahasama dengan syarikat telekomunikasi Celcom (Malaysia) Bhd. di luar negara, pelanggan Tune Talk juga akan menikmati perkhidmatan radio paket am (GPRS) yang akan dimulakan pada awal Disember ini.

Bagi meraikan perayaan hujung tahun ini, Tune Talk katanya, turut menyenaraikan beberapa promosi berupa hadiah tiket penerbangan bernilai RM100,000 untuk diberikan kepada para pelanggannya.

Lo berkata, dengan nombor permulaan (prefix) 010, Tune Talk menawarkan pakej suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS) asas sesuai untuk pengguna yang mahu berjimat tetapi pada masa yang sama mempunyai rangkaian pengedaran meluas.

Pengguna Tune Talk turut berpeluang menikmati perlindungan insurans kemalangan peribadi berjumlah RM100,000 daripada Etiqa Insurance, rakan insurans Tune Talk.

Pada masa yang sama, baucer E-Gift AirAsia berjumlah lebih RM1 juta (setiap satu bernilai RM200) juga akan diberikan kepada 10 pemanggil terbanyak setiap hari untuk 12 bulan akan datang.

Pendaftaran secara online boleh dibuat di laman web Tune Talk : http://www.tunetalk.com

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url