Aroma memikat Bond Cafe


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

Kewujudan kopitiam dan kafe bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Di mana-mana, ada sahaja kewujudan dua premis ini yang boleh diibaratkan sebagai trend masa kini untuk menjamu selera.

Kadangkala, kita sendiri keliru untuk memilih yang mana satu untuk dituju. Sesetengahnya punya dekorasi menarik, namun ia belum menjanjikan santapan enak yang sukar dilupa.

Dua garis ukur yang biasa saya gunakan; lihat pada pelanggan yang ada di dalamnya (ramai maksudnya makanan sedap) dan kedua pada cadangan rakan yang pernah berkunjung.

Menjengah ke Bond Cafe yang terletak di Taman Equine, Seri Kembangan Selangor ini, saya boleh merasai garis ukur pertama. Pelanggan yang datang silih berganti membuktikan sajian di sini tidak kurang hebatnya. Dan kedatangan ke sini juga berdasarkan cadangan seorang teman yang berpuas hati dengan kunjungannya.

Pilihan menu yang tersedia menepati selera sesiapa saja. Dari hanya menikmati secawan minuman hingga kepada hidangan berat, ia merangkumi selera tempatan, Thai, Cina dan juga Barat.

Dekorasi nyaman, kafe ini sesuai dijadikan lokasi perbincangan ringan bersama sesiapa saja, atau pun sekadar berborak kosong dengan rakan. Hirup secawan kopi penuh aroma bersama roti bakar satu kemestian.

Tidak cukup dengan itu, hidangan Barat seperti pizza, pasta, steak, sandwic juga tidak menghampakan. Hidangan tempatan seperti chee cheong fun, kuetiau, nasi goreng sudah menjadi kemestian.

Pengurus Restoran, Jamal Miskon berkata, mulai tahun depan, Bond Cafe turut menyediakan ruang seminar yang boleh menempatkan hingga 50 peserta.

“Kami turut menyediakan hidangan dan pihak yang berminat boleh memilih pakej yang disediakan,” katanya.

Promosi istimewa sehingga 2 Januari ini, restoran ini menawarkan set memikat pada harga menarik seperti set tomyam Songkhla yang berharga RM9.90++, set pizza Hawaiian Chicken (RM9.90++) dan banyak lagi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url