Astro perkukuh kedudukan


Mula menjengah pasaran pada tahun 1996, stesen berbayar terulung negara, Astro meniti tangga perlahan-lahan sehingga berjaya sampai ke puncak menara seperti yang dapat dilihat hari ini.

Bermula dengan hanya sebuah saluran iaitu Ria, kini, Astro seharusnya berasa bangga apabila stesen itu memiliki enam lagi saluran yang mempunyai pendekatan berbeza.

Enam saluran itu adalah Prima, Ceria, Oasis, Awani, Citra, Warna dan termasuklah Ria yang sememangnya mempunyai kelompok serta penonton sasarannya yang tersendiri.

Apa yang membanggakan, menerusi tujuh saluran inilah Astro berjaya menakluki hampir 40 peratus pasaran penontonan rakyat di negara ini.

Dengan kejayaan itu, ia memberikan semangat dan terus membuatkan Astro mahu terus memberikan santapan terbaik khusus buat pelanggan setia mereka.

Ini diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah yang menjelaskan, pihaknya kini sedang merangka strategi terbaik sepanjang tahun 2010 bagi memastikan penonton setia mereka terus bersama mereka.

Selain daripada mengekalkan beberapa signature programmes yakni program yang sudah pun mempunyai peminat dan pengikutnya, Zainir turut memberitahu tahun 2010 turut menyaksikan beberapa pembaharuan yang akan mereka tampilkan.

Antaranya ialah sinergi antara saluran Astro dan anak syarikat Astro, Tayangan Unggul dan Astro Shaw dalam menerbitkan drama televisyen yang bermutu tinggi.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk memastikan pelanggan dan penonton setia kami berasa puas dengan apa yang kami berikan kepada mereka.

"Untuk itu, kami telah melakukan pelaburan yang cukup tinggi dari segala aspek seperti wang ringgit, keringat serta kreativiti untuk memberikan pembaharuan kepada penonton," ujarnya panjang lebar.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis makan malam bersama media di Hotel Le Meredian, KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Zainir turut memperkenalkan enam daripada tujuh pengurus saluran Astro yang akan memastikan perjalanan setiap program berjalan lancar.

Muka lama yang masih kekal dengan portfolio masing-masing ialah Nizam Sani, Izelan Basar dan Rozina Aziz yang juga Pengurus Saluran Astro Prima, Astro Oasis dan Astro Awani.

Sementara itu, Azlin Reza Azmi yang sebelum ini menerajui Astro Ceria dilantik sebagai Pengurus Saluran Astro Ria menggantikan tempat Khairul Mizan Shagul yang kini mengendalikan bahagian produksi.

Untuk itu, posisi Pengurus Saluran Ceria kini diduduki oleh Evon Koh yang merupakan antara individu yang sudah lama bersama saluran Astro Ceria.

Dua muka baru yang diperkenalkan pada malam itu ialah Sharlyza Alis Sharkawi dan Azlina Megat yang merupakan Pengurus Saluran Astro Citra dan Astro Warna.

Menyambung bicara, Zainir menjelaskan, dia berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi oleh setiap stesen menerusi program dan rancangan yang ditampilkan.

Katanya, adalah tidak adil untuk membandingkan setiap stesen kerana masing-masing mempunyai penonton sasaran yang berbeza.

Mengambil contoh Astro Ria misalnya, saluran itu sudah pun mencapai tahap tertinggi apabila mempunyai rancangan yang memiliki pengikutnya tersendiri seperti Awan Dania, Sehati Berdansa, Kau & Aku serta Jangan Lupa Lirik!

"Begitu juga dengan Astro Prima yang merupakan saluran drama dan telemovie nombor satu selain rancangan realiti Raja Lawak yang sebenarnya telah mencetuskan fenomena luar biasa.

"Bayangkan Raja Lawak berjaya mengatasi populariti Akademi Fantasia lantas meletakkannya program realiti nombor satu ketika ini," ujar Zainir yang menjelaskan Raja Lawak musim keempat akan mula ke udara menjelang hujung tahun ini sebelum Akademi Fantasia musim kelapan pula menjengah.

Malah percaturan berani Astro yang menerbitkan drama muzikal Kau & Aku buat pertama kali, juga mencatatkan rating serta sambutan yang diluar dugaan.

Kata Zainir, semuanya bertitik tolak daripada keberanian dan risiko yang harus diambil demi menampilkan satu pembaharuan dalam setiap stesen agar ia tidak statik.

"Bukan itu sahaja, risiko kami menerbitkan drama lipur lara atau soap opera, Qalesya yang ditayangkan sepanjang bulan Ramadan juga mendapat sambutan yang cukup baik.

"Seperti mana yang kita tahu, drama lipur lara ini bukannya mudah diterima dan penerimaannya tidak pernah kekal.

"Saya percaya semuanya itu tidak akan terhasil jika ia tidak mempunyai garapan yang baik selain elemen-elemen lain yang mampu memberi keberkesanan terhadap penonton," jelasnya yang mahu Astro terus menjadi peneraju dan pencetus kepada evolusi perkembangan dunia penyiaran tanah air.

Sementara itu, Zainir tidak menafikan pembahagian bajet untuk setiap saluran ada kalanya memeningkan kepalanya.

Masakan tidak, Astro seboleh-bolehnya tidak mahu bersikap pilih kasih dengan mendahulukan saluran yang lebih popular dan ramai pengikut.

"Ada kalanya perkara itu tidak boleh dielakkan tetapi kami akan cuba sedaya-upaya kami untuk menyalurkan kreativiti dan hasil yang terbaik untuk setiap saluran," katanya lagi.

Saat ditanya adakah tahun 2010 menyaksikan Astro akan menambah saluran baru, Zainir memberitahu, buat masa sekarang, perkara itu tiada di dalam agenda.

Ujarnya, buat masa ini Astro mahu menumpukan fokus kepada semua saluran Astro terutama dua saluran barunya, Citra dan Warna untuk meluaskan lagi pengaruhnya kepada masyarakat.

"Bercakap mengenai saluran Citra dan Warna memang kami perlu kerja keras untuk meletakkan mereka setanding dengan saluran lain.

"Di saluran Citra masalah yang ada tidak terlalu besar kerana ia merupakan saluran filem semata-mata di samping drama mini yang kami tampilkan menerusi slot Suatu Ketika.

"Cuma saluran Warna memberikan cabaran kepada kami untuk menampilkan rancangan yang menarik dan variasi seiring dengan konsep saluran komedi pertama di negara ini," katanya yang berpuas hati dengan pencapaian dua saluran baru yang terkandung dalam pakej Mustika itu setakat ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url