BMW Concept 6
BMW bermula sebagai syarikat pengeluar enjin pesawat pada era Perang Dunia Pertama. Ketika itu, kebangkitan teknologi memuncak di Jerman. Peperangan sebenarnya telah menghasilkan sesuatu yang positif dalam arus teknologi.
Perang telah melahirkan ribuan jurutera, memburu kemajuan yang perlu disempurnakan dalam masa yang singkat. Bayangkanlah apabila semuanya terpaksa dilakukan secara manual, teknologi era tersebut wajar dianggap keajaiban abad ke-20.
Selepas ketiadaan kontrak membuat enjin pesawat daripada kerajaan Jerman, BMW terpaksa mengalihkan perhatian kepada perniagaan lain.
BMW Motorrad cuba memulakannya dengan menghasilkan motosikal iaitu R32 pada 1923 menggunakan enjin yang pada asasnya untuk sebuah pesawat.
Ia nampak berlebih-lebihan apabila enjin pesawat berkipas dipasang pada motosikal. Namun keperluan pengangkutan motosikal amat mendesak pada zaman pasca perang. Infrastruktur jalan raya musnah, harga besi melambung dan rakyat tidak mampu membeli kereta.
Pada dekad-dekad seterusnya, BMW menjadi nama agung dalam industri motosikal. Ia menakluk pasaran Amerika dan menjual lebih banyak motosikal berbanding gabungan mana-mana syarikat yang ada pada eranya. Hanya pada dekad 1960-an, barulah divisyen kereta BMW memintas jualan motosikal dan terus kekal sehingga hari ini.
BMW berkait rapat dengan inovasi dan teknologi. BMW Motorrad juga dikenali dengan enjin empat silinder boxer. Tidak dilupakan, BMW adalah motosikal yang direka untuk kelas touring dan motard. BMW tidak pernah mahu berhenti. Baru-baru ini, mereka memperkenalkan pula Concept 6, motosikal dengan enjin enam silinder sebaris 1600cc. Keterlaluan?
Konsep itu walaupun bukanlah sesuatu yang baru, namun ia masih tidak dianggap praktikal dalam dunia motosikal. Honda CBX 1000 yang dihasilkan pada tahun 1970-an sebagai contoh, menggunakan enjin enam silinder sebaris.
Ia terbukti sebagai sebuah enjin yang bagus, namun tidak cemerlang dari segi penghasilan nisbah kuasa-berat. Berat enjin itu sendiri adalah beban yang perlu diselesaikan oleh penjana untuk mengekstrak lebih banyak kuasa.
Ironiknya, enam silinder pada motosikal lazimnya berhubung dengan keupayaan sesebuah firma untuk menunjukkan kepada dunia kemampuan mereka.
Namun dalam keadaan tertentu, enjin enam silinder memang boleh diproduksi dan ia juga telah terbukti. Honda Gold Wing adalah contoh terbaik, sebuah motosikal tourer.
Menyedari hakikat memasang enjin enam silinder pada kerangka motosikal bukannya mudah, BMW telah menggabungkan kepakaran tujuh dekad mereka untuk menghasilkan teknologi paling maju.
Enjin itu dipasang di bahagian bawah kerangka pada posisi tengah dengan susunan silinder menegak yang lebih panjang lejangnya. Pada enjin biasa empat silinder atau dua silinder paralel, biasanya ukuran kapasiti enjin berdasarkan gerek yang lebih lebar.
Namun jika teori yang sama digunakan, bermakna kepanjangan enjin enam silinder itu akan jadi melampau. Justeru, jurutera berusaha menghasilkan silinder yang kecil tetapi berupaya menghasikan lejangan yang tinggi dan tepat pada konfigurasi 1600cc.
Seperti yang dijangka, kuasanya tidak akan dapat diterjah pada rpm rendah. Enjin jenis lejang panjang (long stroke) itu juga tidak akan menjadikan Concept 6 sebuah sports bike. Sebaliknya, ia akan dibina berdasarkan konsep tourer. Pada firasat saya, ia akan menjadi tourer premium BMW (atau mungkin mereka boleh gunakan enjin yang sama pada model GS!)
Enjin itu dikatakan lima inci lebih tirus berbanding dengan enjin enam silinder yang ada di pasaran sekarang. Saiz keseluruhannya pula dikatakan hanya lebih beberapa inci daripada enjin susunan V4 dengan kapasiti kebuk yang sama. Ia berikutan pemposisian semula komponen seperti alternator dan peralatan elektrik dari bahagian tepi ke belakang crakshaft, di atas sistem transmisi. Enjin itu juga dipacu oleh sebatang shaft ke roda bersaiz 17 inci di belakang.
Sistem pengendaliannya pula menggabungkan teknologi baru dan sedia ada BMW. Kerangkanya diperbuat daripada aloi ringan berkembar atau Dualever. Suspensi Paralever depan dan belakang adalah pakej lengkap suspensi. Sementara breknya terdiri daripada brek enam pot yang hampir sama besar dengan brek GTR R35.
Justeru bilakah dapat kita melihat motosikal ini menjadi kenyataan? Subjektif. Dalam keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya, saya tidak nampak rasionalnya motosikal itu akan dihasilkan dalam masa terdekat.
Honda Sports Concept 6 silinder yang dipamerkan sebelum ini pun belum ada kemajuan. Manakala Suzuki Katana Stratosphere yang dipamerkan pada 2005 masih belum ada khabar berita. Namun segalanya berkemungkinan. Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja kejutan daripada BMW nanti.
- KOSMO!