Cerita sebelum tidur bina daya imaginasi
Oleh ZULKIPLE IBRAHIM (BERNAMA)
Antara cara yang digunakan ibu bapa untuk menidurkan anak-anak kecil mereka ialah dengan mendodoikan lagu dan bercerita. Dengan menggunakan buku cerita atau secara bersahaja, mereka akan 'mendodoikan' anak dengan kisah-kisah tauladan dan dongeng yang diharapkan dapat membuai anak ke alam mimpi indah.
Antara cerita yang selalu diperdengar kepada anak mereka ialah cerita versi Sang Kancil dan penglipur lara tempatan yang membawa mesej serta pengajaran yang baik seperti 'Arnab dan Kura-kura', 'Anjing dan Bayang-bayang' dan 'Gagak Yang Dahaga'.
Tidak kurang juga cerita dongeng dari luar negara termasuk yang berasal dari negara barat seperti 'Cinderella' dan 'Sleeping Beauty' serta Hikayat Seribu satu Malam.
Daya imaginasi
Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak, bercerita kepada anak sebelum tidur membawa bawa banyak kebaikan.
"Antara kebaikannya ialah ia dapat membuat anak-anak anda tenang dan berasa relaks. Cerita yang anda perdengar juga boleh membina daya imaginasi mereka dan apabila mereka meningkat usia, akan memberi daya kreativiti yang lebih tinggi," kata beliau.
Dengan bercerita kepada anak anda ketika mereka ingin tidur akan membuat mereka tertunggu-tunggu masa ini kerana mereka akan rasa lebih dekat dengan ibu bapa.
"Ia merupakan satu ketika yang akan diingati oleh anak anda seumur hidup beliau. Aktiviti bercerita kepada anak anda sebelum mereka tidur juga akan memupuk tabiat suka membaca anak-anak, selain memberi keseronokan kepada mereka.
"Ini merupakan satu masa yang amat berharga kerana anda boleh bersendirian bersama anak, dalam suasana yang tenang dan tiada gangguan," kata beliau.
Cerita yang sesuai
"Janganlah bercerita tentang cerita-cerita yang seram atau sedih kerana ini akan menganggu alam tidur mereka nanti umpamanya mereka akan bermimpi benda-benda yang menakutkan".
Jadi apakah cerita yang sesuai?
Menurut pakar itu, tidak kira sama ada membaca daripada buku atau bercerita dengan bersahaja, cerita-cerita itu seeloknya mempunyai beberapa ciri seperti situasi yang ada persamaan, cerita tidak terlampau panjang dan juga ada kepelbagaian.
"Anda harus menyesuaikan cerita itu dengan sesuatu yang biasa dengan situasi anak anda. Contohnya seorang raja yang mempunyai putera yang nakal atau tentang seseorang yang mempunyai haiwan peliharaannya seperti arnab atau ikan yang boleh berkata-kata.
"Atau gambarkan situasi cerita seolah-olah hampir sama dengan tempat anak anda telah lawati seperti zoo atau taman haiwan atau mungkin juga sebuah stor yang menjual barang permainan dan sebagainya. Dengan berbuat begini anda akan membantu anak anda memperkaya imej di minda serta daya imaginasi dan kreativiti mereka".
Ceritanya pula janganlah terlalu panjang.
"Panjang ceritanya dalam lingkungan 20 minit sahaja. Tujuan bercerita ialah untuk membantu anak anda tidur, jadi ia tidak perlu terlalu panjang. Anak-anak mahukan 'penamat' pada cerita itu, jadi kalau mereka tertidur sebelum cerita itu tamat, mereka akan rasa kecewa.
"Kalau membaca daripada buku yang mempunyai beberapa bab, cuba baca dari bahagian ke satu bahagian dan cuba hentikan cerita itu pada satu segmen yang boleh mendatangkan kesimpulan."
Cerita-cerita lain
Anak anda biasanya gemar pada sesebuah buku atau beberapa cerita pendek. Anda mesti sabar bercerita walaupun anak anda meminta buku yang sama dibaca berulang kali atau juga juga cerita yang sama diperdengar berulang kali.
Mungkin juga anda boleh memberikan sedikit kepelbagaian dengan memperkenal cerita-cerita yang 'baru' atau boleh bercerita cerita kegemaran mereka berselang malam.
"Berikan anak anak anda pilihan dan mereka juga sudah tentu mahukan yang baru bila usia meningkat sedikit dan mereka juga akan menemui cerita kegemaran yang baru nanti".
Buku bergambar
Bila usia anak semakin meningkat, mereka juga akan semakin pandai bercerita.
Ketika ini masa bercerita sebelum tidur bukan lagi satu 'one man show' (dilakukan seorang) tetapi anak juga turut terlibat dalam bercerita.
Sebelum mereka pandai membaca, ada baiknya jika mereka diberi buku-buku yang mempunyai banyak gambar atau ilustrasi.
Bila mereka mula belajar membaca, adakan banyak gerakan jari dan tunjuk tentang apa yang mereka baca serta juga dengar pertanyaan serta celoteh mereka. Anak kecil biasanya akan mengajukan banyak soalan.
Interaksi sebegini penting untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak.
"Bila anak anda mula membaca tentang satu cerita, jangan ganggu mereka dan biarkan sahaja. Hindarkan daripada memberi komen negatif terhadap cerita mereka".
Cerita sebelum tidur ialah satu momen penting bagi anak anda.
"Mimpilah yang indah".