4 Disember 2009

Keharmonian agama mengikut cara Islam

Oleh SUZALIE MOHAMAD
Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Masyarakat bukan Islam ketika zaman Khalifah Ar-Rashidin telah diberi kebebasan untuk mengguna pakai undang-undang mereka. Mereka tidak dikenakan zakat tetapi diwajibkan membayar cukai atau jizyah sebagai jaminan keselamatan dan perlindungan daripada ancaman luar.

Masyarakat bukan Islam diberikan layanan baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara.

Khalifah Umar diberitakan pernah mengarahkan pegawainya memberi bantuan kebajikan kepada seorang pengemis Yahudi yang telah tua dan uzur. Alasan beliau, tidak akan wujud keadilan jika kerajaan mengutip jizyah tetapi tidak membantu masyarakat bukan Islam.

Peristiwa ini menunjukkan pelaksanaan keadilan tidak membezakan agama dan ras kaum. Undang-undang dilaksanakan dengan saksama tanpa mengira perbezaan kaum, kecuali dalam perkara-perkara kepercayaan dan amalan keagamaan.

Dalam ibadat, masyarakat bukan Islam bebas beribadat mengikut cara mereka. Perkara itu termaktub dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6 yang menegaskan wujudkan kepelbagaian agama dan larangan mencampuradukkan amalan-amalan agama lain ke dalam Islam.

Dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama diamalkan mengikut lunas-lunas yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Walaupun Islam adalah agama rasmi, agama lain boleh diamalkan tanpa sekatan. Pendekatan ini selaras dengan kehendak dan semangat agama Islam itu sendiri iaitu "tiada paksaan dalam agama".

Kepelbagaian agama dan kaum merupakan hakikat yang dijadikan oleh Tuhan supaya manusia boleh bekerjasama dan saling mengenali. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat ke 49. Semangat kerjasama secara kolektif tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi kebaikan antara manusia sangat dituntut dalam ajaran Islam.

Nabi Muhammad SAW menerangkan hal ini dalam perumpamaan yang amat dalam maknanya. Katanya, hidup ini ibarat sebuah kapal yang keselamatannya bergantung kepada setiap kelasi. Tiada seorangpun boleh membuat "lubang pada dinding kapal" atas nama kebebasan kerana perbuatan itu boleh mengancam keselamatan semua orang.

Setiap individu bertanggungjawab untuk bersikap adil bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Agama Islam menyuruh kita senantiasa berusaha menegakkan keadilan kerana sikap adil itu adalah ketakwaan kepada Ilahi sebagaimana firmanNya dalam Surah an-Nisa ayat 135 dan al-Maidah ayat 8.

Agama Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap jiwanya dengan mengimbangi antara hak diri, hak Tuhannya dan juga hak orang lain. Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah Ibn 'Amr r.a. apabila Abdullah mengaibkan hak dirinya dengan terus-menerus berpuasa pada siang hari dan qiamullail pada malam hari. Sabda Baginda: "Puasalah tetapi berbukalah (pada masa-masa yang sesuai) dan berdirilah dalam sembahyang dan ibadah di waktu malam tetapi jangan sampai tidak tidur - kerana sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamumu ada haknya." (Hadis ini disepakati antara al-Bukhari dan Muslim).

Allah SWT telah memerintahkan kepada kita agar berlaku adil sekalipun terhadap musuh. Inilah keindahan Islam yang mementingkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum.

Selain itu, Islam juga mengharamkan sekeras-kerasnya unsur kezaliman. Semakin lemah kedudukan seseorang itu, semakin besarlah dosa orang yang menzaliminya.

Antara bentuk keadilan yang paling jelas yang ditegaskan oleh Islam ialah apa yang kita kenali di zaman moden ini sebagai "keadilan sosial".

Ia bererti keadilan dalam membahagikan kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada anak bangsa, memberi kepada pekerja hasil titik peluh mereka tanpa diselewengkan, mendekatkan jurang antara individu dan kumpulan manusia dengan membataskan kerakusan orang-orang kaya serta berusaha untuk mengangkat martabat orang miskin.

Sejak merdeka, kerajaan telah menggubal pelbagai dasar untuk mencapai tahap keadilan sosial yang maksimum agar setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman dan harmoni. Pendekatan evolusi dalam usaha memantapkan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara senantiasa diteruskan.

Pendekatan ini tidak menjejaskan kestabilan masyarakat. Perkongsian kuasa secara syura memang menjadi nadi dalam kerajaan Islam. Ia seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW di zaman kerajaan Madinah. Ketika itu, kehadiran Yahudi turut diambil kira dan cara ini telah membolehkan kerajaan ditadbir dengan cara lebih selesa.

Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, masyarakat bukan Islam juga diberi perhatian. Malah setiap tindaktanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara adalah satu perkongsian kuasa yang bijak dan memberi manfaat dan faedah kepada pembangunan negara.

Ketenteraman ini penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan yang serius untuk melaksanakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia daripada masyarakat antarabangsa khasnya negara-negara Islam adalah amat jelas memperlihat kejayaan negara sebagai sebuah negara Islam yang berjaya melaksanakan dan mengendalikan keperluan umat dan penganut agama lain secara adil.

Kita telah mendahului negara Islam lain dalam memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup merangkumi pelbagai aspek hidup. Demi memastikan pencapaian ini terus berkekalan, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan yang dipilih betul-betul faham dan serius mendukung pengiktirafan ini.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90