Lamborghini polis Itali remuk


ROM - Sebuah kereta Lamborghini Gallardo yang dijadikan kenderaan polis remuk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dekat Cremona, Itali, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua pegawai polis yang menaiki kereta berharga AS$248,449 (RM840,751) itu cedera ringan selepas ia berlanggar dengan sebuah kenderaan lain kelmarin.

Kejadian berlaku apabila kereta Lamborghini itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan yang keluar dengan tiba-tiba dari sebuah stesen minyak.

Namun, kereta Lamborghini itu terlanggar sebuah kereta di sebuah tempat meletak kenderaan.

Polis Itali mula menggunakan kereta Lamborghini empat tahun lalu sebagai cara untuk memerangi tabiat memandu laju di kalangan sebahagian pemandu.

Berikutan kemalangan itu, polis Itali kini cuma memiliki sebuah sahaja lagi Lamborghini yang boleh digunakan di jalan raya.

Lamborghini itu yang dihadiahkan oleh syarikat pembuat kereta tersebut mampu mencecah kelajuan sehingga 308.99 kilometer sejam.

Polis Itali pernah menggunakan kereta Ferrari dan Porsche yang dirampas daripada penjenayah Mafia tetapi pada musim panas lalu ia mengumumkan kereta berkenaan akan dilupuskan kerana tidak mampu menanggung kos penyelenggaraan.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url