Fahami definisi pembersihan etnik

Oleh MOHAMAD FAISOL KELING
Pensyarah di Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun, penjenayah perang Khmer Rouge, Kaing Guek Eav. Dia ialah ketua penjara S-21 pada tahun 1975-1979. Kes berkenaan mendapat perhatian kerana mempunyai signifikan kepada negara serantau dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil iktibar.

Penjenayah perang Khmer Rouge itu didakwa melakukan penderaan dan pembunuhan ke atas 16,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak ketika pemerintahan Khmer Rouge 1975-1979. Sewaktu Khmer Rouge pimpinan Pol Pot berkuasa, lebih 1.7 juta rakyat Kemboja maut akibat penderaan, pembunuhan, kerahan tenaga, penyakit dan kebuluran.

Ia juga adalah proses pembersihan etnik oleh rejim Pol Pot terhadap kelompok masyarakat yang menolak agenda yang diperkenalkan. Selain pembersihan etnik di Kemboja, doktrin pembersihan etnik juga dapat dilihat dalam kes perang saudara di Balkan. "Penyembelih" etnik, Radovan Karadzic ditahan pada 21 Julai 2008 dan didakwa atas jenayah pembunuhan kaum dan pembersihan etnik antara 1992 dan 1995. Pembersihan etnik ini menyaksikan sejarah ketamadunan umat Islam turut mencatatkan "penyembelihan umat Islam" oleh pemimpin Serb termasuk Karadzic. Kes pendakwaan doktrin pembersihan etnik oleh Karadzic banyak dikaitkan dengan tindakan Serb Bosnia yang mengepung bandar Srebrenica (wilayah Timur Bosnia) dan pembunuhan ke atas 8,000 orang lelaki pada 11 Julai 1995.

Namun hakikatnya kekejaman pemimpin Serb lebih daripada itu. Mengikut perangkaan, sepanjang konflik di Balkan, lebih 200,000 nyawa terkorban. Ia juga mencatatkan lebih 20,000 kes rogol ke atas wanita Muslim dan 1.8 juta rakyat hilang tempat tinggal selain kemusnahan tamadun yang masih dapat dilihat sehingga hari ini.

Doktrin penghapusan etnik ini sebenarnya turut menjadi isu kepada Malaysia apabila pernah didakwa oleh segelintir 'pelampau' pada 25 November 2007. Mereka mendakwa Malaysia turut menjalankan doktrin kejam ini. Ia merupakan dakwaan yang bertentangan dengan realiti hidup kepelbagaian etnik di negara ini. Kerajaan Malaysia digambarkan melaksana dasar 'pembersihan etnik' yang dikaitkan dengan 'penyingkiran masyarakat minoriti'.

Dakwaan itu memberi impak yang besar kepada kerajaan. Malaysia terpaksa menghadapi kesukaran untuk berdepan dengan negara luar apabila dikaitkan dengan 'pembersihan etnik'. Malah Malaysia terpaksa memberi penjelasan mengenainya kepada dunia.

Tindakan golongan ekstremis tersebut merupaka usaha untuk mempermainkan dan mengapi-apikan perpaduan kaum. Perlu kita sedar sekiranya keretakan hubungan dan perpaduan kaum meletus, ia akan membawa bencana kepada keselamatan rakyat dan negara. Malah apa yang lebih membimbangkan ialah kekacauan dalaman akan membuka ruang kepada kemasukan dan campur tangan kuasa asing. Mungkin perkara itu akan digunakan oleh kumpulan militan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai sasaran.

Kumpulan yang membuat tuduhan palsu itu sepatutnya terlebih dahulu menilai keadaan sebenar. Malah perkataan 'pembersihan kaum' digunakan semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat dalam dan negara luar demi kepentingan peribadi. Mereka ternyata tidak peduli kesan akibat tuduhan tersebut. Mereka sewenang-wenangnya memperjudikan masa depan, keamanan dan keselamatan rakyat demi memenuhi agenda perjuangan sendiri. Tindakan ini telah lihat banyak dipengaruhi oleh matlamat peribadi dan emosi yang cuba menarik perhatian rakyat dan mencetuskan ketidakstabilan. Golongan ini tidak pernah berfikir mengenai risiko atau bahaya yang akan timbul dari tindakan mereka. Tanpa disedari tindakan golongan ini telah memperjudikan kestabilan dan perpaduan kaum yang selama ini tidak menghadapi masalah dan berprasangka buruk antara satu sama lain.

Apa yang menyedihkan golongan ini menggunakan definisi pembersihan etnik yang sempit dan salah dengan realiti sebenar apa yang berlaku di Malaysia. Kita dapat lihat perpaduan kaum di Malaysia adalah terjalin dalam mana-mana pihak sama ada di pihak pembangkang atau pro kerajaan. Amat jelas pada ketika ini semua etnik di Malaysia dapat hidup dengan baik dengan adanya sifat penerimaan dan menghormati antara satu sama lain.

Perkembangan yang dapat kita lihat pada hari ini adalah jelas amat bertentangan dengan tuduhan seperti mana yang didakwa oleh golongan terbabit pada akhir tahun 2007. Tragedi pembersihan etnik di Kemboja dan Balkan sepatutnya dijadikan sebagai sandaran dalam mendefinisikan erti sebenar terma "pembersihan etnik".

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Februari 2007 yang mengklasifikasikan pembunuhan 8,000 Islam Bosnia di Serbrenica pada 11 Julai 1995 sebagai pembersihan etnik adalah satu pengesahan kepada masyarakat dunia dalam membantu pendefinisian terma "pembersihan etnik" serta dapat dijadikan sebagai rujukan dalam memahami istilah tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url