Langkah bendul


Oleh SHAIDAH SHAFIE

Langkah bendul mungkin menjadi perkataan yang tidak ingin disebut kebanyakan ibu bapa atau seorang wanita berstatus kakak kerana ia mungkin menimbulkan tanggapan negatif terhadap diri mereka yang terpaksa memberi laluan kepada adik yang akan melalui gerbang perkahwinan.

Mungkin kata-kata seperti kasihan si anu atau si polan kerana masih belum bertemu jodoh akan terucap daripada bibir walaupun tidak ditujukan terus kepada ‘mangsa’, malah lebih parah sekiranya ada mereka yang berhati kering akan membuat kenyataan si kakak tidak laku menyebabkan adik lebih dulu dipinang orang.

Hakikatnya, fenomena berkenaan sering disalah anggap masyarakat dengan membuat kesimpulan dangkal bahawa mereka yang memberi laluan kepada si adik berkahwin terlebih dulu adalah wanita yang tiada jodoh sebaliknya konsep itu adalah lambang kepada kehalusan budi bicara masyarakat Melayu.

Ini kerana menurut norma masyarakat, adik wajar memberi laluan kepada kakak atau dalam erti kata lain, yang muda seharusnya menghormati yang tua, namun dalam kes membabitkan jodoh ini, ia dinamakan langkah bendul bagi menggambarkan si adik terpaksa melangkaui kakak kerana jodohnya sudah tiba dan beliau ingin berkahwin.

Bagi Rohaiza Abdul Aziz, 30, beliau sudah lali dengan asakan dan kenyataan langkah bendul kerana tiga adiknya terlebih dulu melangsungkan perkahwinan serentak dalam satu majlis besar-besaran yang diadakan oleh kedua ibu bapanya, Sarjan Mejar (SM) Abdul Aziz Ibrahim dan Faridah Manan.

“Terserah kepada masyarakat untuk menilai keadaan mereka yang memberi laluan kepada adik untuk berkahwin dulu. Saya sudah mengalami peristiwa langkah bendul apabila tiga adik berkahwin serentak dan selepas ibu bapa, saya orang paling sibuk mengendalikan majlis supaya semuanya berjalan lancar.

“Ketika itu, saya tidak teringat langsung mengenai langkah bendul kerana apa yang penting saya mahukan mereka mengalami majlis perkahwinan yang meriah di samping sanak saudara serta handai-taulan yang datang,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapa beliau di Cheras, baru-baru ini.

Rohaiza yang bertugas sebagai Pegawai Pemantau Harga di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri di Ipoh berkata, berdasarkan fahamannya, langkah bendul adalah satu keadaan yang memenangkan pihak yang lebih tua kerana adat Melayu mensyaratkan sekiranya berlaku langkah bendul, si kakak juga bakal menerima hantaran serba berdiri sama seperti yang diperoleh si adik.

“Kita selalu mendengar mereka yang mengalami langkah bendul akan turut menerima ‘habuan’ serba berdiri, namun bukan itu yang saya lihat sebalik ia adalah cermin kepada keindahan budaya Melayu yang sangat bertoleransi dalam menjalani kehidupan sesama manusia.

“Mungkin juga untuk menjaga hati adik-beradik yang belum berkahwin sama ada kakak atau abang, maka pihak lelaki perlu menyediakan sedikit buah tangan sebagai pemanis budi bicara sementara ingin menyunting si adik. Dalam hal ini, saya tidak menerima barang serba berdiri, tetapi sebentuk cincin dan sepersalinan pakaian,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat dulu mungkin mengenakan syarat hantaran serba berdiri akan diperoleh si kakak yang dilangkau adik, tapi syarat itu keterlaluan, malah tentunya membebankan pihak pengantin lelaki.

“Saya dan kedua ibu bapa tidak pernah mengenakan syarat ketat sebegitu. Bahkan kami tidak pernah mewajibkan pengantin lelaki, iaitu pasangan kepada adik saya memberi hantaran besar-besaran kepada saya. Jika mereka tidak membawa apa-apa pun, mereka tetap diterima menjadi ahli keluarga kami yang baru.

“Cuma adat yang mengenakan syarat begitu dan sebaiknya ia diikuti kerana hidup kita sentiasa dipagari adat. Ringkasnya, tindakan berkenaan tidak wajib, tetapi satu bonus kepada orang seperti saya sekiranya turut menerima cincin dan persalinan,” katanya.

Rohaiza mengakui beliau turut berasa sedih apabila mengetahui adik-adiknya, Rafidah, Rohaya dan Rosazlina akan mengakhiri zaman bujang dengan pasangan masing-masing, namun kesedihan itu bukan disebabkan jodohnya belum sampai dan beliau tiada pasangan hidup.

“Saya berasa sedih kerana apabila sudah berkahwin, mereka pasti akan mengikut suami masing-masing. Tiada lagi adik beradik yang sama-sama bergurau-senda dengan saya di rumah, malah rumah kami sentiasa riuh kalau semua ada.

“Bukan setakat sedih, saya sebak ketika mereka disarungkan cincin kerana tanggungjawab saya sebagai kakak yang sulung terhadap mereka selesai sudah dan mereka akan membawa haluan hidup masing-masing. Untung sabut timbul dan untung batu tenggelam,” katanya.

Bagaimanapun, Rohaiza yakin ketiga-tiga adiknya membuat pilihan tepat berkahwin dengan lelaki bertanggungjawab dan penyayang terhadap mereka selain menghormati beliau sebagai kakak sulung apatah lagi kedua-dua ibu bapanya.

“Jauh di dalam hati, bohong sekiranya saya mengatakan saya tidak risau mengenai jodoh. Namun saya yakin Allah sudah mengatur yang terbaik untuk saya. Mungkin pada masa hadapan saya akan menemui orang yang serasi dengan saya.

“Kini saya terlalu sibuk bekerja dan tidak begitu memikirkan mengenai jodoh. Sebagai wanita, lebih-lebih lagi pada zaman ini, saya harus berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Kepada wanita yang mengalami situasi sama seperti saya, jangan bazirkan masa memikirkan kenapa mereka masih belum berkahwin,” katanya.

Baginya, perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah berikhtiar kerana Islam tidak pernah menggalakkan umatnya berputus asa sebaiknya berusaha sangat dituntut walau dalam apa keadaan sekalipun.

Beliau juga mengakui pernah mengalami pengalaman bercinta, namun tiada jodoh antara mereka menyebabkan perpisahan berlaku dan masing-masing mengambil keputusan membawa haluan sendiri.

“Saya masih berkawan baik dengan lelaki yang pernah saya kenali selama enam tahun tahun itu, tapi kita hanya merancang dan pelaksanaannya bukan kita. Jadi saya terima ketentuan dan apa yang mengejutkan, kami berkawan seperti biasa dan saya menghadiri majlis perkahwinannya kerana dia mengundang saya.

“Saya berasa gembira kerana dia menemui jodoh yang sesuai dengannya. Saya mendoakan yang terbaik untuk dia dan keluarganya. Mana tahu selepas ini jodoh saya tiba,” katanya berseloroh.

Doa untuk Rohaiza

Sementara itu, bagi SM Abdul Aziz dan Faridah, pada mulanya mereka agak keluh-kesah memikirkan nasib Rohaiza yang terpaksa melihat anak yang lain berkahwin, tetapi kesungguhan Rohaiza akhirnya menyedarkan mereka bahawa anak sulung mereka adalah seorang berjiwa kental.

“Pada mulanya apabila tiga anak perempuan saya akan berkahwin serentak, saya sedikit resah memikirkan Rohaiza kerana setiap ibu bapa pastinya mahu melihat anak mereka gembira dan bahagia.

“Bagaimanapun, saya dan isteri sedar setiap anak mempunyai rezeki masing-masing dan dalam hal ini Rohaiza sangat istimewa kerana dia adalah tulang belakang kepada majlis perkahwinan adik-adiknya. Beliau seperti perancang perkahwinan kerana mampu menyiapkan semua hantaran untuk ketiga-tiga adiknya,” katanya.

Abdul Aziz juga menganggap Rohaiza adalah anak yang sangat penyayang dan bertanggungjawab kerana banyak menghulurkan bantuan terutama tenaga ketika majlis perkahwinan berlangsung.

“Memang berlaku langkah bendul, tapi Rohaiza beruntung kerana dia menerima tiga bentuk cincin dan tiga persalinan, manakala adik lelakinya juga menerima hadiah yang sama. Jadi langkah bendul juga dialami lelaki.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url