Mati syahid besar ganjarannya
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Sentiasalah nas-nas al-Quran yang mulia mengingatkan pengajaran dan iktibar berkenaan kekalahan di Uhud, seolah-olah musibah ini bukanlah pemisah yang hakiki sebaliknya kembali kepada yang menang dan tidak berpaling daripada apa-apa.
Di sini terdapat banyak iktibar dan faedahnya yang terbesar ialah kemenangan serta menjelaskan realiti dan hakikat jiwa.
Dalam ayat-ayat ini juga, Allah SWT menjelaskan perbezaan antara golongan yang beriman dan yang terpisah serta kematian orang yang dikasihi ketika berjihad. Berbanding dengan jiwa orang kafir apabila terkena musibah ini amat jauh perbezaannya.
Iktibar dan fiqh ayat 156:
Al-Qurtubi berkata: Iaitu golongan munafiqin. Justeru, dilarang orang Islam daripada berkata sebagaimana ucapan mereka.
* Al-Maraghi berkata: Beriman kepada qada dan qadar tidak semestinya menjadikan seseorang muslim melakukan sesuatu pekerjaan secara terpaksa (jabariyah).
Ini kerana kalimah qada mempunyai pertalian dengan ilmu Allah mengenai sesuatu yang akan terjadi. Ilmu-Nya adalah sesuatu yang dapat diungkapkan, sedikit pun tidak menunjukkan unsur paksaan. Qadar pula menyatakan sesuatu yang sudah terjadi seiring dengan ilmu-Nya.
Ilmu Allah SWT sudah pasti sesuai dengan apa yang berlaku, seandainya tidak ia akan menunjukkan Allah SWT bersifat jahil.
* Hamka berkata: Telah kita ketahui bahawa erti kufur ialah tidak mahu menerima kebenaran, walaupun orangnya masih mengakui muslim. Maka adalah orang-orang lemah imannya mengucapkan kata yang hanya patut keluar dari mulut orang kafir atau munafik.
Setelah mereka melihat kenyataan, bahawa dalam peperangan Uhud itu banyak orang yang tewas ataupun dalam kejadian yang lain, misalnya ada orang yang mati dalam perantauan, maka si lemah iman itu berkata: "Jika dia tidak pergi meninggalkan kampung halaman, tentu mereka tidak akan mati".
* Quraish Shihab: Ayat di atas memberi tontonan kepada kaum muslimin dengan menjadikan beberapa hal dari peristiwa itu sebagai titik tolak tontonan. Ia dimulai dengan akidah iaitu meluruskan sangkaan buruk terhadap Allah SWT.
Lebih-lebih lagi kerana ada di antara keluarga mereka terkorban dan sedih dengan kematian keluarga mereka, atau boleh jadi atau boleh jadi berbekas dalam hati mereka ucapan-ucapan orang munafik.
* Al-Sonhaji berkata: Setelah Allah menerangkan tentang kekalahan orang-orang mukmin dalam peperangan Uhud didorong oleh hasutan syaitan yang menyesatkan mereka.
Maka Allah mengingatkan mereka di dalam ayat ini dengan jenis hasutan syaitan yang lain pula iaitu hasutan yang menggoncangkan serta menyesatkan orang-orang yang kufur.
Iktibar dan fiqh ayat 157:
Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi makna bahawa berperang dan mati di jalan Allah merupakan salah satu cara untuk mendapatkan rahmat, ampun dan keredaan-Nya. Dan yang demikian itu lebih baik daripada tetap hidup di dunia ini dan memperoleh segala isinya yang fana ini.
* Al-Maraghi berkata: Maksud mati pada jalan Allah SWT ialah sesuatu usaha yang baik dilakukan dalam keredaan Allah SWT.
Keampunan dan rahmat yang diberi oleh Allah SWT kepada mereka yang mati atau terbunuh lebih baik bagi kamu dibandingkan dengan segala kesenangan harta dan perhiasan yang ada di tangan orang kafir dalam meneruskan kehidupan dunia yang fana ini.
Ini kerana kesenangan dunia hanya bersifat sementara, sedangkan rahmat Allah SWT bersifat kesenangan yang abadi.
* Hamka berkata: Orang yang mati di atas katil seperti biasa, atau mati di medan peperangan, atau mati kerana sakit, kerana kecelakaan dan berbagai lagi dengan putusnya nyawa yang hanya satu sahaja.
Semuanya akan menjadi mayat, maka nyawa pun akan kembali ke tempat yang ditentukan oleh Allah SWT. Dan kelak semua mayat dan nyawa akan akan disatukan dan kembali berkumpul di hadapan mahkamah Allah SWT, dan di sanalah akan ditentukan arah mana kamu tujukan hidup itu.
* Quraish Shihab berkata: Setelah ayat yang lalu melarang mengikuti orang kafir atau munafik, serta menjelaskan kekeliruan ucapan-ucapan mereka tentang kematian, dan keengganan mereka berjihad kerana takut menemui kematian.
Melalui ayat di atas, Allah SWT menjelaskan ganjaran gugur di jalan Allah SWT serta apa yang dirah setelah kematian.
Ayat ini menyatakan bahawa sungguh demi Allah SWT, wahai orang-orang benar-benar beriman jika kamu gugur di jalan Allah memperjuangkan nilai-nilai-Nya, keampunan terhadap dosa dan kesalahan kamu dan rahmat-Nya akan dianugerahkan kepada kamu, dan tentu saja keampunan dan kerahmatan itu lebih baik bagimu dari apa yang mereka kumpulkan itu harta benda termasuk harta rampasan perang atau selainnya yang berkaitan dengan duniawi.
* Al-Sonhaji berkata: Adapun keampunan dari Allah yang dapat menghapuskan dosa dan rahmat yang dikurniakan-Nya pula sesungguhnya lebih baik daripada segala jenis kemewahan harta yang dikumpulkan dan dinikmati oleh orang-orang kafir.
Kemewahan tersebut tidak akan kekal di dunia yang fana ini, sedang keampunan dan rahmat Allah itu akan berkekalan selama-lamanya.
Iktibar dan fiqh ayat 158
l Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi bahawa yang mati di jalan Allah SWT adalah mati juga. Ia merupakan cara untuk mendapat rahmat Allah, keampunan dan keredaan-Nya. Dan ini jauh lebih baik daripada kekal di dunia yang fana ini.
* Al-Qurtubi berkata: Allah SWT memberi peringatan kepada mereka dengan kenyataan ini supaya jangan lari dari medan peperangan tetapi hendaklah lari daripada hukuman-Nya dan azab yang akan ditimpa kepada mereka.
* Al-Maraghi berkata: Maksud ayat "Kamu dikumpulkan kepada Allah SWT" ialah setiap manusia pada hari mereka dikumpulkan di akhirat kelak akan menerima semua balasan daripada Allah.
Mereka tidak mampu mengalihkan perhatian kepada yang lain. Oleh yang demikian, perhatiannya hanya semata-mata kerana Allah SWT sahaja. Segala makhluk yang hidup hanya kembali kepada Allah SWT sahaja.
* Al-Sonhaji berkata: Sesetengah orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah dan menyembah-Nya itu ada tiga tingkatan pengabdiannya:
* Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana takutkan neraka-Nya, Allah amankan dia dari apa yang ditakutinya. Ia sesuai dengan maghfirah (keampunan) yang diberikan oleh Allah.
* Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah kerana mengharapkan syurga-Nya, Allah jayakan untuk mencapai apa yang dicita-citakannya. Dan ini sesuai dengan rahmat-Nya yang dikurniakan oleh Allah iaitu syurga-Nya kerana salah satu daripada syurga itu bernama Rahmat.
* Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah semata-matu untuk ke hadrat Allah dan tidak kepada yang lain, dialah hamba Allah yang tulus ikhlas yang dilayakkan untuk menerima kehormatan dari Allah.
Ini sesuai pula dengan pengakuan Allah yang difirmankan-Nya, yang bermaksud: "Pasti kepada Allah juga kamu dikumpulkan".
Semoga kita menjadi golongan yang mendapat keampunan Allah, rahmat dan keredaan-Nya. Amin.
- UTUSAN