Pantang-larang ketika mengembara

PAKAIAN

Kebanyakan orang amat teruja untuk mencuba pakaian tradisional apabila melawat negara dengan budaya eksotik. Memakai batik di Indonesia adalah perkara biasa di negara berkenaan.

Namun, jika di Argentina, memakai "gaucho", pakaian seperti koboi samseng lengkap dengan topi dan sapu tangan diikat di leher adalah dilarang sama sekali.

Jika berkunjung ke negara Timur Tengah seperti Iran pula, anda dinasihatkan memakai selendang menutup kepala dan mengelak memakai seluar pendek apabila mengunjungi tempat awam.


MEMAKAI SELIPAR

Kebanyakan negara di Asia seperti Jepun masih mengamalkan budaya membuka kasut dan membuka topi apabila memasuki rumah seseorang.

Menjadi kelaziman di negara matahari terbit, penduduknya akan memberi selipar kepada tetamu untuk berjalan dari pintu utama ke ruang tamu.

Namun, mereka dikehendaki membuka kasut sebelum duduk di tikar tatami. Justeru, perkara paling penting adalah sentiasa memakai stokin bersih apabila berkunjung ke rumah orang Jepun.


PANGGILAN NAMA

Masyarakat Cina menulis nama mereka dengan turutan berlainan berbanding amalan yang dipraktikkan di Amerika Syarikat atau Eropah.

Nama keluarga diletakkan di depan sebelum diikuti dengan nama terakhir.

Justeru, memanggil seseorang dengan nama Li Wong Chee atau Mr Chee adalah sama dengan panggilan Mr James kepada seseorang dengan nama James Dean.

Perkara ini tampak remeh namun ia memberikan kelebihan besar apabila berada di China.

- HARIAN METRO

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url