Surau at-Taqwa, Taman Saga, Ampang rayu dana RM160,000

Kompleks Surau at-Taqwa, Taman Saga, Ampang merayu sumbangan dana sebanyak RM160,000 daripada umat Islam terutama tokoh korporat bagi menyempurnakan pembinaan bangunan surau di kawasan itu.

Pengerusi pembinaannya, Che Min Che Mood, berkata kompleks surau itu sebelum itu sudah melepasi fasa pertama iaitu meluaskan ruang solat di tingkat atas selain beberapa penambahan di bahagian dewan tingkat bawah surau.

"Sejak dulu lagi kami berhasrat mewujudkan kompleks surau ini sebagai pusat pertemuan dalam kalangan penduduk setempat. Ini termasuk mengadakan majlis keramaian, kelas agama serta pusat tuisyen.

"Selain itu, memandangkan jemaah semakin ramai, ruang sedia ada tidak mampu menampung bilangan jemaah terutama pada setiap kali musim perayaan kerana kami menunaikan solat sunat hari raya di sini," katanya.

Che Min berkata ruang sembahyang sedia ada hanya mampu menampung 300 jemaah pada satu-satu masa dan apabila pembinaan surau ini siap sepenuhnya, ia dapat memuatkan sehingga 600 jemaah.

"Pada setiap perayaan Aidilfitri dan Aidiladha kami akan menunaikan sembahyang di sini jadi tentu ramai jemaah yang tidak selesa," katanya.

Beliau berkata keseluruhan projek menyiapkan surau berkenaan dianggarkan RM400,000.

Sebanyak RM243,000 sudah dibelanjakan hasil sumbangan orang ramai dari seluruh negara.

"Kami mengharapkan orang ramai bermurah hati untuk mendapatkan pahala dengan menyalurkan sumbangan bagi menyiapkan saki baki pembinaan surau ini," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan surau juga berhasrat membina dua bilik tamu bagi kemudahan pelawat.

"Biasanya, jika ada kenduri penduduk terpaksa menyewa dewan berikutan ruang di kawasan tempat tinggal agak terhad.

"Apabila siap sepenuhnya kompleks ini nanti mereka tidak perlu bersusah payah mencari dewan untuk disewa kerana kemudahan itu tersedia di surau ini.

"Malah, jika mahu mengadakan kenduri kendara, ia keluasannya menyamai sembilan khemah," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang atau mahu maklumat lanjut, boleh menghubungi Che Min di talian 019-9890409.

Sumbangan orang ramai boleh dimasukkan ke akuan CIMB Islamic Bank : 24370000203103.

- HARIAN METRO

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url