Pemikiran Aminuddin Baki
Naib Canselor USM dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia.
PENGAJIAN tinggi negara boleh dikatakan bermula lebih dari 60 tahun yang lalu apabila Suruhanjaya Maclean menerbitkan Penyatanya pada 17 Jun 1939. Suruhanjaya tersebut menyatakan hasrat untuk menyatukan dua institusi - Raffles dan King Edward VII Medical College - yang telah ditubuhkan sebelum itu menjadi sebuah "University College Malaya" ataupun Universiti Kolej Malaya.
Sir William Maclean, pemegang ijazah doktor falsafah, berpendapat bahawa masanya belum tiba untuk ditubuhkan sebuah universiti di Singapura, yang pada ketika itu sebahagian dari Malaya di bawah jajahan Inggeris.
Namun oleh kerana peperangan cadangan tersebut ditunda sehinggalah pada 1943, apabila satu lagi surahanjaya ditubuhkan yang mengulangi hasrat yang sama. Kali ini Suruhanjaya Asquith berjaya menyaksikan penubuhan Kolej Universiti tersebut sehinggalah pada pada tahun 1947 apabila ia dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh.
Ini adalah ekoran laporan Suruhanjaya Carr-Saunders yang mencadangkan bahawa Malaya wajar mempunyai universitinya sendiri. Profesor Carr-Saunders yang merupakan pakar dalam bidang pendidikan menyarankan tiga aliran dimuatkan dalam institusi pengajian tinggi tersebut: aliran sastera, sains dan perubatan.
Ini sudah tentunya berpandukan kepada kolej perubatan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1905, dan juga Raffles Colleges yang ditubuhkan pada 1929.
Maka pada 8 Oktober 1949, tertubuhlah dengan rasminya sebuah universiti bergelar "University of Malaya" berikutan perisytiharan yang dibuat oleh Cancelor pertamanya Malcolm MacDonald di Dewan Raffles College, Singapura. Antara intipati petikan ucapannya berbunyi: "Marilah hari ini kita tubuhkan dengan baik dan suci hati universiti ini. Marilah kita nyalakan dan angkat tinggi obor pengetahuan, obor kebenaran, obor kebajikan dan obor kecantikan dari turun-temurun, dan menyadupadukan manusia dalam ikatan kasih mesra terhadap makhluk Tuhan."
Dengan kata lain, satu lembaran baru bermula di tanah air yang bakal menentukan nasib dan masa hadapan bangsa dan negara yang dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.
Antara yang mengalukan perkembangan ini adalah wira pendidikan negara yang pernah menjejak kaki di universiti tersebut sewaktu ia diisytiharkan. Allahyarham Aminuddin Baki setelah lulus dari Raffles College pada Jun 1949 terus diterima masuk mengikuti program sarjana muda sastera.
Beliau lulus pada tahun berikutnya dengan ijazah Bachelor of Arts dan terpilih pula melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah dengan kepujian. Beliau kemudian ditawarkan Queen's Scholarship untuk ke United Kingdom, antara tahun 1951-1952.
Aminuddin Baki yang juga pernah menjadi pengasas dan Yang di Pertua GPMS (ketika itu, Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung dan Singapura) ada menulis: "Memanglah telah diakui dunia, sebuah universiti mestilah bebas mentadbir dirinya sendiri; ia harus sebagai satu pertubuhan yang tidak dikongkong oleh kerajaan, supaya ia dapat dijadikan satu tempat bagi mempelajari segala perkara secara objektif, walaupun perkara itu berlawanan dengan dasar pemerintah."
"Sebab pun dikehendaki kebebasan yang demikian adalah kerana hanya dari segala pelajaran itulah sahaja kebenaran mungkin didapati. Sebagaimana tuntutan itu Universiti Malaya adalah satu pertubuhan yang berkuasa sendiri dalam urusannya dan berkuasa buat mengambil segala langkah-langkah yang selaras dengan perlembagaannya. Satu pertubuhan yang dipunyai oleh ramai, dibina oleh ramai, dan bagi orang ramai," kata beliau.
Yang paling menarik adalah kata-kata mutiara ini dimuatkan dalam isu sulung lidah rasmi GPMS - Penuntut - keluaran April 1950. Ini sekali gus menampakkan kepemimpinan luar biasa Aminuddin Baki pada masa dan zaman di mana makna "university" itu masih samar-samar dan kabur seperti mana yang beliau cuba perjelaskan dalam penulisannya.
Allahyarham Aminuddin Baki yang kemudiannya menjadi seorang yang meneraju perkembangan pendidikan tanah air yang amat disanjung dan disegani telah pun mendahului apa yang kini mula dibincangkan semula selepas sekian lama beliau meninggalkan kita.
Ringkasnya, apa yang ingin beliau utarakan adalah apa yang kini diistilahkan sebagai "autonomi," dari pada kata Inggeris yang bermaksud "kebebasan untuk menentukan" termasuk dari segi tadbir urus, dari segi urusan kewangan, begitu juga dari segi perundangan.
Apalagi dari segi urusan ilmiah seperti mana yang diungkapkan oleh Aminuddin Baki hampir 60 tahun lalu. Kematangan anak muda ini wajar diteladani khususnya dalam mencerna maksud "autonomi" pada zaman ini sesuai dengan tuntutan di bawah perlembagaannya.
Apa yang jelas Perdana Menteri dalam ucapan belajawannya baru-baru ini telah pun mengangkat perbincangan tentang autonomi agar ia dijadikan salah satu landasan dalam kita membudayakan inovasi sebagai satu cara hidup. Ini sekali gus akan melonjakkan kedudukan negara dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.
Tanpa autonomi, ataupun "dikongkong" seperti yang ditulis oleh Aminuddin, inovasi akan malap malah mati sama sekali. Ini telah terbukti apabila universiti dikenakan, baik disedari atau tidak, pelbagai bentuk peraturan, dasar pentadbiran, apalagi perundangan yang menidakkan apa yang dihasrat oleh Aminuddin dalam penulisannya.
Bayangkan sahaja para karyawan jika dibelenggu dengan segala macam rintangan sehinggakan membantutkan daya kreatifnya, sudah tentu menghampakan penghasilan karya yang bermutu.
Begitu jugalah dalam banyak hal yang lain, kerana "berkarya" itu sebenarnya membawa maksud "bekerja" - dan kongkongan yang dikenakan akan memberi gejala yang sama, dan hanya melebarkan kerenah birokrasi.
Secara keseluruhan, sedikit sebanyak ini telah dapat dikesan apatah lagi dalam usaha melonjakkan Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi yang rata-rata berpaksikan kepada budaya ilmu dan inovasi.
Hakikatnya pembangunan yang hanya 'meminjam' akan ilmu dan inovasi orang lain sudah tidak lagi boleh menjamin masa hadapan kita. Yang amat menyedihkan adalah budaya 'meminjam' inilah yang semakin bermaharajalela di kalangan masyarakat Malaysia apabila mereka menghadapi ketandusan idea-idea baru.
Yang lebih malang lagi gagasan Wawasan 2020 sepatutnya didorong oleh prinsip 'acuan kita sendiri' yang sering dikumandangkan pada peringkat awal pelaksanaannya kian luntur dan diganti dengan budaya ikut-ikutan, kadang kala secara membabi buta sahaja. Episod "maling-sia" baru-baru ini bagaikan kemuncak kepada budaya tersebut.
Akibatnya kita menjadi masyarakat yang malas berfikir, bukan kerana kita kurang kreatif, tetapi semata-mata kerana kita lebih gah dengan cipta-cipta dan rekaan orang lain. Lantas masyarakat kita menjadi masyarakat lambakan, termasuk barangan tiruan, ijazah palsu, mahupun jolokan palsu asalkan saja ia berjenama dan berstatus, seolah-olah mengisi jiwa yang agak kosong. Bagi sebuah masyarakat yang dikatakan telah 'merdeka' tidak ada kontradiksi yang lebih buruk dari ini.
Oleh yang demikian, mahu tidak mahu pemupukan inovasi wajar diterajui oleh autonomi yang dipenuhi dengan rasa tanggungjawab dan beramanah (akauntabiliti) agar ia tidak disalahgunakan untuk memporak-perandakan.
Di atas sebab itu jugalah keluhuran berilmu dan berhemat lagi berwibawa menjadi landasan mutlak dalam menyalakan obor kebenaran. Kesemua ini memerlukan sifat kejujuran sebagaimana yang dicerminkan oleh Allahyarham Aminuddin Baki, semoga Allah mencucuri Rahmat keatas rohnya. Amin.
- UTUSAN