Penggunaan dadah sintetik kalangan golongan muda masih tinggi

KUALA LUMPUR - Penggunaan dadah sintetik dalam penagihan dadah di negara ini masih tinggi walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi membanteras gejala itu, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin.

Beliau berkata, perkara itu berlaku kerana kebanyakan golongan muda kini lebih gemar mengambil dadah sintetik sebagai jalan mudah untuk ‘bersuka-suka’ berbanding dadah jenis lain.

“Kegiatan mereka ini sering dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah di negara ini memandangkan kebanyakan mereka adalah penganggur. Kami tetap akan memantau (kegiatan penagihan dadah) secara berterusan dengan mengadakan program komuniti,” katanya kepada pemberita sebelum menutup dan menyampaikan hadiah sukan tahunan agensi itu di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini AADK mendaftar seramai 12,000 penagih dadah baru manakala 41,000 lagi penagih sedang menerima pelbagai rawatan termasuk 7,000 penagih yang ditempatkan di pusat pemulihan (Puspem) manakala 34,000 lagi berada dalam pengawasan AADK dan polis.

“Daripada 34,000 itu 6,000 tidak bekerja dan selebihnya adalah mereka yang mempunyai pekerjaan sama ada bekerja sendiri, penjawat awam atau swasta,” katanya.

Abd Bakir berkata, setiap minggu AADK negeri akan menjalankan operasi bersepadu untuk memastikan penagih dadah yang tidak berdaftar akan diambil tindakan undang-undang dan diberi rawatan.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selain itu, pihaknya turut merancang mengadakan program khidmat masyarakat sebulan sekali di setiap daerah bermula Januari depan bagi memudahkan masyarakat mengenali pegawai AADK di tempat mereka supaya kegiatan jenayah dapat dielak.

Abd Bakir berkata, AADK sentiasa bekerjasama dengan semua jabatan di Kementerian Dalam Negeri, jabatan kerajaan dan NGO berkaitan penagih dadah termasuk Pengasih dan Pendamai dalam usaha untuk membanteras dadah.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url