PureCircle hasilkan gula dari daun


Lebih 100 syarikat makanan dan minuman dari seluruh dunia sedang berunding dengan PureCircle Sdn. Bhd. untuk mendapatkan bekalan bahan pemanis semula jadi Rebaudioside-A (Reb A).

Pengarah Urusan PureCircle, Datuk Mohamed Arsad Sehan berkata, ia berikutan keputusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat yang meluluskan penggunaannya pada 2008 sebagai bahan makanan yang selamat digunakan.

"Program pembesaran syarikat untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang akan melibatkan pembesaran peladangan tanaman pokok stevia, kilang pemerahan serta kilang penapisan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Enstek di sini semalam.

PureCircle yang mula beroperasi di sini pada 2003 ialah syarikat yang mengeluarkan pemanis atau Reb A semula jadi, dengan kemanisannya antara 200 dan 300 kali lebih manis daripada gula.

Kebaikan Reb A ialah ia tidak mempunyai kalori dan ia tidak akan menyebabkan peningkatan tahap gula dalam darah yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis.

Ini merupakan produk yang diminati oleh individu yang mementingkan kesihatan dalam pemakanan dan minuman.

Pemanis itu diperoleh menerusi pemprosesan daun pokok stevia yang dikeringkan. Pokok stevia berasal dari negara-negara di Amerika Selatan khususnya di Paraguay.

Mohamed Arsad berkata, Reb A berpotensi besar khususnya dalam industri makanan dan minuman di dunia yang kini semakin mementingkan kesihatan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkembangan penggunaan Reb A bergantung kepada kecepatan industri makanan dan minuman menerimanya sebagai bahan penting dalam pengeluaran makanan dan minuman.

Ia juga bergantung kepada jumlah ladang stevia yang boleh dibuka dan dibesarkan serta tempoh kilang pemerahan dan penapisan boleh ditambah untuk memenuhi permintaan stevia dan Reb A.

Katanya, PureCircle mempunyai sebuah kilang pemerahan daun stevia di China dan produk yang dihasilkan di kilang itu kemudiannya ditapis di sini untuk mengeluarkan molekul yang terbaik yang dipanggil Reb A.

"Kebanyakan keluaran Reb A dari PureCircle dibekalkan kepada syarikat minuman seperti PepsiCola, CocaCola dan Dr. Pepper Snapple, yang mengeluarkan minuman jenama Schweppes.

- Bernama

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.