Raja Lawak Astro kembali lagi
Setelah menjelajah ke lima buah negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan juga Sabah sejak awal November lalu, akhirnya seramai 10 peserta yang terdiri daripada 6 peserta solo dan empat peserta berkumpulan telah terpilih untuk berentap di gelanggang Raja Lawak. Malah buat pertama kalinya, Raja Lawak Astro menampilkan dua peserta dari Negeri Di Bawah Bayu, iaitu Alexander Ahat (Alex), 28, dan kumpulan Kecik (Mohd Ilham Rusdy, 19 / Safuan Madeaming,20,)
Lima peserta solo yang lain ialah, Zulkefli Abu Bakar (Aman), 28, dari Johor, Abdul Halim Abdul Malek (Caca), 31, Kedah, Khairul Faiz Sulaiman (Idlan), 21, Kedah dan Ahmad Zaidi Masri (JD), 30, dari Perak.
Manakala tiga lagi peserta berkumpulan ialah ANTU dari Johor (Rosshahrzal Bachok, 24 /Raja Nor Shafiq Azraaie Shah, 20), Kecik (Mohd Ilham Rusdy, 19 / Safuan Madeaming,20,) dari Sabah, Mamu (Wan Azrul Azizan, 24/Abu Musariff Abu Bakar, 21) dari Pulau Pinang dan Wili dari KL & Perak (Ismawira Bahdun,22/Mohammad Ali Maula Ahmad).
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, hampir 2000 peserta yang datang menyertai uji bakat Raja Lawak. Namun hanya 25 peserta sahaja yang di senarai pendekkan sebelum 10 peserta terbaik dipilih.
“Setelah tiga musim bersiaran, Raja Lawak berjaya memenangi hati penonton apabila meraih jumlah 1.3 juta penonton pada musim ketiga dan jumlah ini telah mengatasi ‘rating’ Akademi Fantasia. Kejayaan ini telah menyuntik semangat kami untuk meneruskan program Raja Lawak musim-keempat dengan pengisian yang lebih menarik.
“Selain menggunakan tema ‘Kelakar Tak Ingat’ yang dekat dengan jiwa penonton, kami juga cuba membuat beberapa perubahan terutamanya dari segi pemilihan juri tetap yang lebih berwibawa untuk menilai dan membimbing peserta. Pemilihan Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman sebagai juri tetap untuk Raja Lawak musim ini dirasakan yang terbaik kerana mereka mempunyai kekuatan dan pengalaman berbeza dalam bidang masing-masing. Malah pemilihan mereka juga mampu menarik perhatian penonton.
“Selain itu kami juga lebih teliti memilih peserta dan buat kali pertamanya mengadakan ‘casting’ Raja Lawak di Sabah kerana sudah banyak permintaan di sana. Kita juga ada menerima penyertaan dari kaum perempuan, tapi kualitinya tidak mencapai tahap yang kita inginkan kerana kebanyakan peserta tidak mampu menyaingi finalis dulu, Yan dan Jihan,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran Raja Lawak Astro musim ke-empat di Pasar Seni, Kuala Lumpur, kelmarin.
Sebagai pembuka tirai, penonton bakal menyaksikan sedutan sesi uji bakat melalui Al-Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 24 dan 25 Disember (Khamis dan Jumaat), jam 9.00 malam. Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para finalis akan dirakam dan dimuatkan ke dalam program diari Ceteria Raja Lawak Astro pada setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 malam bermula 1 Januari 2010.
Manakala persembahan mingguan para finalis boleh disaksikan menerusi program Gelanggang Raja Lawak Astro yang bakal bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 3 Januari 2010.
Nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya dengan sistem pemarkahan 100 peratus undian penonton menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap meskipun persembahan mereka dinilai oleh para juri tetap
Seperti dua musim lalu, bekas peserta Raja Lawak musim pertama, Johan dan Zizan masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ini. Sementara itu, radio Sinar FM telah dilantik sebagai radio rasmi Raja Lawak.
- SINAR HARIAN