Top Ad 728x90

Sani Express akur syarat

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bas Sani Express Sdn Bhd yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan kelmarin, mengikut spesifikasi dan mematuhi syarat ditetapkan agensi itu.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata bas berkenaan mempunyai ciri keselamatan yang ditetapkan, malah ia tidak mempunyai rekod buruk sepanjang beroperasi.

"Kita sudah memeriksa bas terbabit dan mendapati ia tidak melanggar kriteria yang ditetapkan JPJ.

"Lesen yang dimiliki pemandu bas berkenaan masih berkuat kuasa.

"Pemeriksaan JPJ turut mendapati struktur bas mengikut Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 dan tempoh cukai jalan masih berkuat kuasa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu di Hospital Raja Permaisuri Bai-nun, di sini, semalam.

Salim berkata, bas syarikat berkenaan juga tidak terlepas menjalani pemeriksaan yang dikendalikan JPJ di Terminal Bas Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Kangar.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati bas itu menepati spesifikasi dan selamat untuk penumpang menaikinya bagi meneruskan perjalanan," katanya.

Katanya, setiap hari JPJ menjalani pemeriksaan bas ekspres di 19 terminal seluruh negara sebelum membenarkan ia berlepas ke destinasi dituju.

"Kira-kira 589 pemeriksaan dijalankan setiap hari bagi memastikan pengangkutan awam itu selamat teruskan perjalanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rajab ketika dihubungi berkata, pemandu bas ekspres terbabit tiada rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber termasuk saksi kejadian," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90