4 nelayan ditahan selamat pulang, jadi buruh paksa sepanjang tempoh tahanan
KUALA TERENGGANU: Empat daripada lima nelayan negeri ini yang ditahan pihak berkuasa perikanan Indonesia sejak bulan lalu, selepas dipercayai melepasi kawasan perairan negara berkenaan untuk menangkap ikan, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, kira-kira jam 8.50 malam kelmarin.
Mangsa yang pulang Musa Mahammad, 33, Mohd Arif Rosli, 20, Ahmad Faizul Sulong, 33, dan Akhmadi Daud, 28, semuanya dari Kampung Baru, Sebarang Takir, manakala tekong bot berkenaan, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, masih ditahan di pusat tahanan negara itu di Pontianak, Kalimantan.
Kepulangan empat nelayan berkenaan disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman serta lebih 600 keluarga serta rakan mangsa yang memenuhi pekarangan Dewan Ketibaan LTSM.
Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri gembira dan bersyukur serta mengucapkan terima kasih khususnya kepada Konsul Besar Malaysia dan Gabenor Pontianak di atas pembebasan nelayan tempatan itu dan pihaknya akan menyusul ke Pontianak sekali lagi pada Januari depan untuk membincangkan proses membawa pulang Che Wan Budiman.
"Saya akan ke Pontianak sekali lagi bulan depan untuk membawa pulang seorang lagi nelayan kita yang juga tekong bot berkenaan yang masih ditahan di sana. Che Wan Budiman ditahan sejak 12 November lalu dan menunggu untuk dibicarakan, tetapi saya berusaha supaya mangsa pulang ke tanah air segera.
"Keempat-empat nelayan ini dibebaskan Khamis lalu (24 Disember) dan mengambil masa tujuh jam untuk tiba di Sarawak, sebelum menaiki pesawat jam 3 petang kelmarin ke Kuala Lumpur dan Terengganu," katanya.
Pada 12 November lalu lima nelayan dari Kampung Seberang Takir di sini, termasuk tekong dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di kawasan pelantar minyak Berlumut, kira-kira tiga batu nautika dari sempadan perairan Indonesia.
Malah, sebelum ditahan pihak berkuasa Indonesia melepaskan tembakan serta mengejar bot nelayan tempatan terbabit, yang didakwa memasuki dan menceroboh perairan negara itu untuk menangkap ikan.
Nelayan terbabit bersyukur kerana dapat pulang ke kampung atas pertolongan kerajaan negeri dan bertemu semula dengan ahli keluarga selepas puas berdoa selepas solat supaya dibebaskan.
Lima nelayan Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Pontianak, Indonesia diarah menjadi buruh paksa membuat kerja berat termasuk mengangkat batu setiap hari untuk membina jalan berhampiran pusat itu.
Ahmad Faizol Sulong, 23, seorang daripada lima nelayan itu berkata, mereka melakukan kerja itu secara bergilir dengan 23 nelayan lain dari Vietnam yang turut ditahan di situ.
“Walaupun terpaksa melakukan kerja buruh, kami dilayan dengan baik dan bebas bergerak serta membeli barang keperluan di kedai tidak jauh dari pusat tahanan, ” katanya antara lima nelayan tempatan termasuk tekong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bulan lalu kerana dipercayai melepasi sempadan perairan negara berkenaan untuk menangkap ikan.
Ahmad Faizol berkata, mereka juga terpaksa memakai pakaian yang diberikan oleh nelayan dari Vietnam kerana tidak mempunyai pakaian ketika ditahan di pusat itu, malah untuk makan juga mereka berkongsi dengan nelayan Vietnam dan bergilir memasak setiap hari.
“Beberapa hari selepas ditahan di situ, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri datang melawat dan memberi sumbangan ketika datang melawat kami. Kami berterima kasih kepada beliau kerana wang disumbangkannya membolehkan kami membeli keperluan di kedai selama sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam
Mengimbau kembali kejadian beliau dan empat lagi rakannya ditahan pihak berkuasa Indonesia, Ahmad Faizol berkata, mereka terpaksa bersembunyi di bahagian enjin bot ketika pihak berkenaan melepaskan tembakan dan terkejut melihat lengan kiri tekong botnya, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, berlubang dan berdarah akibat ditembak.
“Ketika itu kami sedang mengangkat bubu yang dipasang di dalam kawasan perairan Malaysia, iaitu kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Indonesia. Tiba-tiba, kami terlihat sebuah kapal ronda negara jiran menuju ke arah bot kami naiki.
“Kemudian, kami lihat lapan anggota pasukan keselamatan Indonesia menaiki bot kami dan membuat pemeriksaan sebelum kami dibawa menaiki kapal ronda negara berkenaan. Ketika itu juga kelihatan dua helikopter dan sebuah jet milik negara jiran berlegar-legar di udara,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Arif Rosli, 20, berkata, ketika kejadian beliau memang takut dan hanya mampu berdoa supaya mereka selamat dan kejadian itu turut menyebabkan beliau trauma untuk turun ke laut lagi, sebaliknya mahu menjadi nelayan pancing selepas ini.
- BERITA HARIAN