Top Ad 728x90

Seluar Jean - Pilih yang tepat dan selesa


Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Semua memakainya. Tetapi berapa ramai yang menggayakan jean yang sesuai dengan bentuk tubuh, keselesaan dan keperluan semasa?

JEAN adalah untuk semua. Tidak kira orang itu bersaiz besar, kecil, tinggi, rendah, berkulit cerah atau gelap. Dalam erti kata lain, ia merupakan pakaian yang boleh dipakai oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh pelosok dunia.

Secara ringkas, perkataan jean datang daripada bahasa Perancis iaitu bleu de GĂȘnes atau Blue of Genoa. Walaupun cukup popular dalam kalangan remaja sejak tahun 1950-an, penggunaan jean boleh dikesan sejak abad ke-18.

Oleh kerana jean fabrik yang kuat dan tahan lasak, pekerja-pekerja dalam sektor pertanian di Barat dan India bergantung sepenuh pada fabrik itu.

Kebiasaannya jean akan diwarnakan dengan biru nila iaitu bahan pewarna yang diekstrak daripada sejenis tumbuh-tumbuhan di Amerika Syarikat (AS) dan India. Lama-kelamaan, banyak kejadian dan pengaruh telah menyebarkan popularitinya bermula daripada perang dunia, perkembangan industri muzik, dunia fesyen dan seumpamanya.

Hari ini kanak-kanak juga mempunyai koleksi jean. Bentuk tubuh pun tidak menjadi isu selagi anda mampu membuat seleksi yang tepat.

Bentuk badan

Berapa ramai daripada kita membeli jean hanya selepas benar-benar memahami keperluan, bentuk tubuh badan masing-masing dan paling penting memperoleh hasil yang dikehendaki?

"Perbezaan bentuk badan itu bukan satu isu kepada satu-satu bangsa. Ia adalah masalah universal," ujar Carolynn Soong, Pengurus Belian Produk Jean Wanita, Levi Strauss (Malaysia) Sdn. Bhd.

"Berdasarkan kepada satu kajian yang dilakukan, 40 peratus wanita mengadu tidak mempunyai pilihan baju yang bersesuaian dengan dirinya. Harus disedari juga bahawa terdapat tiga bilion wanita yang tidak kelihatan seperti supermodel."

Menurut Carolynn, dalam kalangan wanita Asia, bentuk tubuh badan wanita boleh dipecahkan kepada beberapa kategori bergantung kepada lemak yang ada di bahagian tertentu tubuh.

Pertama ialah jam pasir. Ia merupakan tubuh paling penting yang menjadikan seseorang terasa dirinya sebagai wanita sebenar.

Saiz payu dara dan pinggul hampir sama. Mereka yang tergolong dalam kategori itu digalakkan supaya menyerlahkan aset yang dimiliki dengan saiz jean yang bersesuaian.

Kedua ialah bentuk tubuh seperti buah epal. Kumpulan wanita itu sukar digayakan. Mereka lebih rela memakai sesuatu yang mampu menyembunyikan segala 'lemak' dan kulit yang menggeleber. Biasanya, jean tidak sesuai tetapi jean yang dijahit dengan bukaan kaki yang terbuka adalah disarankan.

Bentuk badan ketiga ialah seperti pin boling. Ini adalah bentuk badan tradisional yang menampakkan tubuh yang panjang dan langsing di bahagian atas dan tiba-tiba lebar di bahagian bawah. Masalahnya memfokus di bahagian punggung atau pinggul.

Keempat ialah bentuk pasu bunga atas meja.

"Ia mudah digayakan kerana anda memiliki bahagian bawah yang leper dan tidak banyak lemak yang berkumpul. Macam bunny Playboy yang seksi," jelas Carolynn.

Sambungnya, bentuk pir ialah sesuatu yang diketahui umum. Fokus penyebaran lemak tertumpu di bahagian pinggul. Mereka bukan gemuk tetapi mempunyai betis yang berisi. Secara jujurnya, mereka mungkin agak kurus tetapi 'menyerlah' di bahagian yang tidak sepatutnya.

Pemilihan

Bentuk badan kelima ialah seperti seketul batu-bata. Dari penampilan belakang lagi, anda memiliki susuk tubuh yang maskulin dengan punggung yang leper, tiada pinggang dan bahu yang lebar. Seterusnya ialah bentuk tubuh lolipop di mana ramai wanita-wanita mencemburui wanita glamor yang memilikinya.

Dengan payu dara yang montok dan kaki yang panjang, anda disamakan dengan kesempurnaan sebuah kereta Ferrari.

Susuk tubuh tiang pula merujuk kepada mereka yang tinggi lampai dan bertuah kerana nampak cantik dalam apa jua penggayaan pakaian. Cuma kadangkala sukar untuk mencari baju berlengan panjang dan seluar panjang iaitu jean.

"Terakhir sekali ialah kon ais krim. Ia kurang seksi dengan bentuk segitiga menurun. Walaupun disamakan dengan tubuh badan atlet, ada juga model dan aktres yang berjaya dengan bentuk ini seperti Hilary Swank."

Sehubungan itu, pemilihan jean boleh dilakukan dengan memahami dan menerima bentuk tubuh masing-masing. Sekiranya anda berisi, terima sahaja hakikat tersebut dengan hati yang terbuka.

Sebelum membeli jean, cuba di bilik persalinan di butik yang dikunjungi. Pastikan anda memakai jean yang muat dan bukan terlalu ketat atau longgar.

Anda gemar memakai jean yang berpinggang rendah? Carolynn hanya mengesyorkan kepada mereka yang tidak mempunyai banyak lemak berlebihan di bahagian perut. Bayangkan sahaja pandangan yang kurang cantik dengan lemak perut 'naik' ke atas sebaik menggayakan jean ketat yang berpinggang rendah. Sungguh hodoh!

"Apa jua stail jean yang anda beli sebelum ini atau bercadang pada masa akan datang, ketahuilah bahawa trend musim ini menjurus kepada jean panjang yang hampir menyentuh lantai. Namun, bahagian bawah jean yang lusuh, kotor dan benang yang terurai sama sekali tidak menarik," tegas Carolynn menambah jean panjang memberi ilusi kepada yang berkaki panjang.

Dalam pada itu, syarikat Levi's yang terkemuka semenjak tahun 1873 berkongsi panduan untuk mencari jean yang muat dengan baik. Walaupun pengguna disaran supaya mencuba terlebih dahulu, bandingkan dengan bentuk tubuh yang disebutkan tadi dan lima jenis potongan jean umum.

Bootcut ialah jenis jean yang tidak akan ketinggalan zaman. "Jean ini menyembunyikan betis yang besar, pinggang luas dan pinggul yang berisi sambil menampakkan keseimbangan penyebaran lemak pada seluruh badan."

"Secara tipikal, jean straight-leg akan terletak secara semula jadi di atas pinggang dan berpotongan langsing dari atas ke bawah. Mereka yang memakai jean klasik ini harus memiliki kaki yang panjang," katanya.

Berbanding jean potongan bootcut dan straight-leg, jean slim fit mempunyai kebaikan dan keburukannya. Jika tubuh anda seperti buah epal, elakkannya. Bagaimanapun, jika jean itu membuatkan anda nampak seperti belalang ranting, dapatkan jean yang mempunyai bayangan garisan melintang untuk melakukan sedikit magis.

Anda sudah tentu kenal dan pernah melihat jean flares and wide-leg. Ia nampak menawan dengan baju atau blaus ketat. Jean itu juga sesuai dengan mereka yang bertubuh pir kerana anda nampak langsing dan tinggi.

Bagaimana dengan boyfriend jean? Jean itu dipopularkan oleh Levi's hanya kerana ia membantu mengurangkan tubuh maskulin kepada feminin. Jean itu tidak mengangkat bentuk pinggang yang ramping tetapi menjadikannya longgar dengan poket bersaiz besar di samping menyembunyikan punggung besar.

Kata Carolynn: Ingat bahawa tiada sesiapa pun yang terlalu tua untuk memakai sehelai jean, selagi anda bijak berfesyen dan rasa selesa."

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90