Singapura pamer helikopter penyerang Apache di LIMA '09
Kelibat helikopter penyerang Apache AH-64D Longbow milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pada Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 09) kali ini menarik perhatian ramai.
Helikopter Apache buatan syarikat Boeing itu merupakan sebahagian daripada delegasi republik itu bersama dua buah pesawat pejuang F-16C/D Fighting Falcon yang menyertai pameran dwitahunan itu buat pertama kali.
Pembabitan helikopter itu menarik perhatian ramai kerana terdapat kemungkinan ini adalah kehadiran pertamanya di ruang udara Malaysia, kerana sebelum ini tidak ada laporan media menyebut tentang penglibatan helikopter itu dalam latihan bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia.
Apache dan sebuah pesawat pejuang Fighting Falcon milik republik terbabit akan terlibat dalam pertunjukan udara setiap hari sepanjang tempoh LIMA berlangsung mulai esok hingga 5 Disember.
Helikopter penyerang dua tempat duduk itu yang dicat serba hitam untuk kelicikan operasinya pada waktu malam, mempunyai reputasi yang menggerunkan berikutan aksinya ketika Perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua.
Reputasinya yang menggerunkan di kalangan kawan dan lawan itu bukan sahaja disebabkan kecanggihan teknologinya, tetapi juga terhadap kemampuannya untuk membawa pelbagai jenis sistem persenjataan dan sistem pengesan.
Salah satu sistem persenjataan utamanya adalah, 16 butir peluru berpandu penangkis kereta kebal 'Hellfire' yang mampu memusnahkan sasaran seperti kereta kebal sejauh lapan kilometer serta meriam 'Chain Gun' 30mm.
Selain peluru berpandu, Apache turut berkemampuan untuk membawa pelbagai jenis roket.
Ketika ini, RSAF dengan 20 buah helikopter Apache yang dimilikinya merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengoperasikan helikopter penyerang itu.
- BERNAMA
Singapura dah ada apache...malaysia bila lagi..takkan nak tunggu kne serang lagi baru terkial2 nak order...duit jgn kje nak msuk poket jer