Suka-duka kisah wanita 2009

2009 akan melabuhkan tirainya. Menyingkap diari sepanjang tahun ini, pelbagai kisah suka duka dan tidak kurang bermacam kisah menarik yang mewarnai kehidupan wanita di negara ini sepanjang 2009.

# Apabila teraju negara beralih pucuk pimpinan dengan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam, Datin Seri Rosmah Mansor bergelar wanita pertama negara.

# Selepas setahun meninggalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajuinya berikutan pembentukan Kabinet baru April lalu. Beliau kembali ke pangkuan kementerian yang amat dekat di hatinya manakala tempoh di luar kementerian selama 13 bulan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12, dianggap peluang untuknya mendekati golongan sasaran di peringkat bawahan.

# Selepas 20 tahun, Dasar Wanita Negara 2009 yang diluluskan Kabinet 22 Julai lalu dilancarkan pada November, sekali gus menjadi aspirasi untuk memberikan lonjakan dan nafas baru dalam usaha kerajaan memperkasakan wanita di negara ini dalam pembangunan negara.

Menerusi dasar baru itu, ia berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita berilmu serta berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, di samping menghayati nilai murni.

# Kisah wanita yang sebelum ini dilaporkan mempunyai dua suami dalam satu masa, sebenarnya berkahwin lagi dengan seorang lelaki sebelum dia diceraikan suami pertamanya pada Mac lalu.

Tembelang wanita berusia 48 tahun itu menafikan sudah berkahwin dengan suaminya itu terbongkar menerusi borang permohonan pertukaran yang diisinya sendiri. Dalam borang permohonan bertukar dari Johor ke Kuala Lumpur bertarikh 20 Februari lalu, wanita itu mengesahkan dia sudah berkahwin pada 22 November lalu.

# Kisah Mahohara Odelia Pinot dan ibunya, Daisy Fajarina tidak hanya kecoh di negara ini malah menjadi berita hangat di media negara jiran.

Pada Julai, Manohara dan ibunya disaman Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sebanyak RM105 juta berhubung beberapa siri pernyataan yang didakwa memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Tengku Muhammad Fakhry menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya serta relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Menurutnya, perkataan fitnah itu dirancang untuk memperkecil dan mengaibkan beliau di kalangan ahli kerabat diraja Kelantan, Kerajaan Malaysia dan rakyat jelata.

# Pada Ogos, penubuhan Kelab Poligami Ikhwan yang dilancarkan Global Ikhwan Sdn Bhd, menimbulkan pelbagai debat dan tentunya rasa kurang senang di kalangan pertubuhan wanita tempatan.

Tidak ketinggalan, ia mengundang hujah di kalangan pemimpin agama Indonesia apabila kelab itu mahu menubuhkan cawangannya di Bandung.

# Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, yang dijatuhi hukuman sebat selepas disabitkan kesalahan meminum minuman keras di khalayak ramai nyata mencuri perhatian pelbagai lapisan masyarakat.

Meskipun ada pihak yang mempertikai hukuman itu sendiri, ia menarik ruang lingkup liputan yang lebih luas termasuk cara hukuman sebat dijalankan untuk pesalah seperti dirinya.

Namun hukuman sebat itu masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kini. Meskipun Jabatan Penjara mempunyai tukang sebat untuk melaksanakan hukuman itu mengikut hukum syarak, ia masih tidak boleh dilaksanakan kerana jabatan berkenaan perlu menunggu perintah dikeluarkan oleh mahkamah syariah sebelum pelaksanaan hukuman terbabit.

# Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, membantu usaha seorang ibu tunggal, Elis Syuhaila Mokhtar, mendapatkan semula anaknya yang dilarikan bekas suami ke Belgium biarpun Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu diberikan kepada si ibu.

Nasib menimpa Elis menjadi perhatian ramai selepas bekas suaminya, Frank Theodorus Van De Ven @ Firdaus, 39, melarikan anaknya ke Belgium, melalui Rantau Panjang, Kelantan, pada Mac lalu.

Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memberikan hak penjagaan anak kepada Elis. Keadaan bertambah sukar apabila Firdaus memberitahu dia tidak akan menyerahkan Ferris serta mengesahkan anak itu ada bersamanya di Belgium.

# Tuntutan mutaah berjumlah RM3 juta dianggap besar dalam kes seumpamanya di negara ini.

Jumlah itu dikemukakan bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, 54, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, yang menuntut mutaah daripada bekas suaminya.

Meskipun jumlahnya tinggi, bagi Aishah, bekas suaminya itu mampu membayar kerana dia mempunyai banyak syarikat termasuk di China dan ladang di Gua Musang.

# Tuntutan saman cuai RM520,000 seorang jurutera warga Britain yang kehilangan isterinya, Nik Rosemawati Nik Mohamed, 43, akibat pembedahan membuang tisu lemak di perut ditolak Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Harminder Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, Matthew Scott Oakley, 38, gagal membuktikan defendan, doktor pakar bedah kosmetik, George Varughese yang juga pemilik sebuah klinik di Bangsar dan pakar bius, Dr Raja Kumar Rajendram, menyebabkan kematian Nik Rosemawati.

Dalam penghakimannya, Harminder berkata mahkamah menerima keterangan yang mengatakan bahawa setiap pembedahan sememangnya berisiko.

# Berita mengenai wanita dilarikan ke Lombok serta mereka yang berjaya dibawa pulang ke negara ini banyak menghiasi muka depan akhbar sejak di awal tahun lagi.

Tidak hanya gadis biasa, kes Lombok turut membabitkan artis remaja, Salsabila Yunan, 15, yang dilarikan kekasihnya ke Lombok sejak Ogos lalu.

Dia disahkan berada di pulau timur Indonesia itu dan mengandung beberapa minggu selepas mereka dipercayai berkahwin sebaik tiba di pulau berkenaan.

Kisah Salsabila atau lebih dikenali sebagai Bella mendapat liputan apabila ayahnya, Yunan mengadu kehilangan anaknya yang dipercayai dilarikan lelaki penduduk asal Pulau Lombok dikenali sebagai Hafiz. Susulan itu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat Migrant Care serta Kijang Care bersedia membantu menyelamatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Batu Muda itu.

# Di arena sukan, Nicol David bukan nama asing di pentas antarabangsa. Kali ini, pemain skuasy nombor satu dunia itu dinobatkan sebagai Pemain Wanita Tahunan Dunia buat kali keempat berturut-turut pada majlis gilang-gemilang yang dilangsungkan di Kelab RAC, London.

Kejayaan itu mengiringi kemenangannya pada 2006, 2007 dan 2008 yang dipilih oleh ahli Persatuan Skuasy Profesional Wanita.

Di peringkat kebangsaan, atlit lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu mencipta sejarah tersendiri selepas mencatat hatrik mempertahankan pingat emas acara kegemarannya di temasya Sukan Sea buat kali ketiga berturut-turut. Kejayaan meraih pingat emas itu turut disertai rekod baru Sukan Sea apabila berjaya melepasi ketinggian 4.15 meter meskipun ketinggian itu masih jauh daripada rekod kebangsaan miliknya iaitu 4.40 meter.

# Memang duka mengenang kemalangan yang sering meragut nyawa terutama di musim perayaan. Kehilangan orang tersayang memang cukup terasa apatah lagi apabila ia berlaku saat hari bahagia sama ada perkahwinan mahupun pertunangan.

Teh Affifah Shahirah, 23, misalnya, kehilangan suami selepas hanya tiga jam melangsungkan perkahwinan dengan suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, apabila suaminya maut dalam kemalangan di Jalan Kangar-Padang.

Rosma Abdullah, 23, pula tidak sempat melangsungkan majlis pertunangan dengan Noor Jismi Noordin, 25, yang maut dalam nahas ngeri bas ekspres yang mengorbankan 10 nyawa di Ipoh sehari selepas Krismas lalu.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url