Warna warni sukan negara 2009


Kejayaan meraih 40 pingat emas di Sukan Sea Vientiane baru-baru ini dan berakhirnya penantian 20 tahun untuk emas pertama dari bola sepak memberi sebab untuk warga sukan meraikan penghujung 2009 dengan penuh keceriaan.

Meskipun pelbagai suka duka ditempuhi, ditambah pula dengan ancaman Influenza A (H1N1) yang turut menjejaskan program sukan sepanjang tahun ini, ia tidak menghalang baik atlit mahupun penggiat sukan berusaha melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama negara.

Kejayaan di Sukan Sea dianggap kenangan paling manis apabila berjaya melepasi sasaran awal 30 hingga 35 emas selepas kita 'kehilangan' separuh pingat emas yang menyumbang kepada 68 pingat emas seperti yang dimiliki di Korat dua tahun sebelumnya. Hakikatnya, Sukan Sea sering hadir dengan kejutan tersendiri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong turut mengakui perkara ini biarpun selepas ini cabaran lebih besar menanti untuk berdepan cabaran Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober depan apatah lagi beliau sendiri akan memikul beban selaku Chef de Mission Sukan Asia di Guangzhou pada bulan berikutnya.

Menganggap pencapaian tahun ini cukup memuaskan meskipun ada yang tidak menepati sasaran, beliau mahu pencapaian itu terus dipertingkatkan pada tahun mendatang.


"Selepas ini kita perlu meletakkan sasaran realistik khususnya untuk sukan berbentuk subjektif seperti karate dan wushu. Kita mungkin tidak berpeluang dalam sukan terjun berikutan dominasi China tetapi dalam acara seperti wushu, silat seni, karate juga poomsae (taekwondo) peluang masih ada," katanya.

Menurutnya secara keseluruhannya, pencapaian sukan lain masih memuaskan dan masih unggul dalam acara lumba basikal, skuasy, bowling dan boling padang tetapi apa yang membuat beliau kagum ialah pencapaian 40 atlit pelapis yang yang berjaya membawa satu emas, lima perak dan tujuh gangsa di Sukan Sea, membayangkan sukan negara masih terus mempunyai masa depan cerah.

Sepanjang 2009, nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Azizulhasni Awang terus gah dalam sukan masing-masing meskipun Chong Wei masih berdepan prestasi tidak menentu manakala pemain England, Jenny Duncalf pula sudah menemui 'titik kelemahan' Nicol apabila dua kali menewaskan pemain nombor satu dunia itu tahun ini.

Hanya Azizulhasni kekal konsisten untuk meraih beberapa kejayaan, di sebalik kesibukan menghadapi latihan dan pengajian di Melbourne hingga diangkat menjadi 'anak emas' Kementerian Belia dan Sukan juga MSN.

Selain itu, pelancaran program Road to London 2012, penyertaan Pasukan F1 1Malaysia dalam Formula Satu tahun depan, kejayaan skuad paralimpik negara di Sukan Para Asean di Kuala Lumpur antara peristiwa yang memacu harapan negara untuk lebih cemerlang dalam bidang sukan selepas ini.

Apatah lagi, 2009 turut menyaksikan jawatan Menteri Belia dan Sukan bertukar tangan apabila bekas Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengambil alih tugas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini bertukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), April lalu.

Sebaik memegang posisi penuh mencabar itu, beliau terus hadir dengan tiga gagasan iaitu menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat bersukan, menaikkan nama negara menerusi pungutan pingat dan membangunkan sukan sebagai satu industri, dengan berpaksikan kejayaan industri sukan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Lanjutan itu, lahirlah Konvensyen Industri Sukan Malaysia (Kismas) yang akhirnya mewujudkan direktori sukan kebangsaan. Turut memberi impak dalam hala tuju sukan negara termasuklah Konvensyen Sukan Kebangsaan yang baru saja berakhir minggu lalu.

Seperti juga Zolkples, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi turut mengakui Sukan Sea adalah pencapaian yang cukup cemerlang tahun ini apatah lagi selepas bola sepak berjaya membawa pulang pingat emas selepas begitu hebat dikritik sebelum ini.

Malah Sukan Sea juga menurut beliau membuka mata terhadap kemampuan sebenar negara dalam sukan mempertahankan diri dan menerusi penyertaan dalam Sukan Mempertahankan Diri Asia banyak membantu mengasah kemampuan atlit biarpun selepas ini akan digabungkan bersama Sukan Dalam Dewan Asia pada 2011.

Daripada 40 emas dimenangi, 13 diperolehi menerusi karate (5), silat (4), wushu (3) dan taekwondo (1).

Cuma di sebalik kegemilangan itu, isu perbalahan di kalangan persatuan turut mencemari kalendar 2009 menerusi pertelingkahan dikalangan atlit boling padang, isu Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (MPGA) dan tentu sekali masalah dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) yang entah bila akan selesai.

"Memang akan sentiasa wujud pihak yang tidak berpuas hati tetapi dengan adanya Pesuruhjaya Sukan dan MOM sendiri, kita akan berusaha membantu menyelesaikannya," kata Kok Chi.

Selain isu perbalahan persatuan, insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, Jun lalu serta beberapa insiden rusuhan penyokong bola sepak tempatan turut dikenang antara peristiwa hitam dalam sejarah sukan negara 2009.

Begitupun ia diharapkan tidak menjejaskan semangat penggiat sukan negara untuk terus memberikan yang terbaik untuk karier mereka juga kemajuan sukan negara amnya. Semoga apa yang berlaku sepanjang 2009 mungkin boleh diambil iktibar untuk melakar 2010 yang lebih cemerlang.

- HARIAN METRO

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url