Tauke alam maya

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pelbagai jenis perniagaan dalam talian tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Jika dulu, kita terpaksa ke pusat beli-belah untuk membeli barang, kini kecanggihan teknologi maklumat membolehkan perniagaan dilakukan di hujung jari saja.

Klik apa yang diinginkan, barang yang dipesan akan sampai sehingga ke hadapan pintu rumah. Malah kini, perniagaan Internet banyak diceburi kaum wanita.

Sebabnya, ia tidak memerlukan modal yang besar serta membayar sewa kedai. Paling penting, sebahagian pelanggan adalah wanita dan wanita saja memahami kehendak wanita.

Pelbagai jenis barang dijual daripada hujung rambut hingga kaki, produk kecantikan mahupun kesihatan, juga barangan kanak-kanak.

Sebut saja apa yang dimahukan, kemudian cari dalam laman pencarian pasti pelbagai jenis blog terpapar di skrin komputer.

Bagi tiga wanita, Noorahiza Azami, Siti Azzura Azizan dan Norliana Mohd Piah, perniagaan dalam talian selain menjanjikan kepuasan, ia juga berpendapatan lumayan.

Bermula dengan minat membeli tudung untuk dipakai sendiri, akhirnya Noorahiza, 28, membuka butik menjual tudung dalam talian.

Ini kerana kebanyakan tudung berjenama dijual pada harga RM70, malah ada mencecah RM100 ke atas.

Terasa mahal, Noorahiza mencari pengedar yang boleh menjual tudung pada harga murah dengan kualiti sama. Buat permulaan dia membeli 20 tudung saja dan dijual pada rakan sekerja. Tidak sampai dua jam, tudung yang berharga RM30 habis dijual.

Melihat keghairahan orang ramai terhadap tudung siap ini, Noorahiza bercadang menghasilkan tudung jenama sendiri. Daripada satu butik ke satu butik berjenama dia meninjau jenis dan kualiti kain, kemudian mencari kedai yang menjual kain sama.

Buat permulaan dia membeli lima meter kain, setiap satu sebanyak 10 warna. Selepas mendapat tukang jahit yang boleh mengikut rekaan dikehendaki, maka terhasillah tudung jenama Noorijas.

"Memang semuanya secara kebetulan. Tidak terlintas di fikiran menghasilkan tudung jenama sendiri dan dijual dalam talian. Ketika itu blog perniagaan tudung belum mendapat sambutan. Jadi agak susah mencari pembeli. Tetapi saya mempromosi dari blog ke blog serta melanggan iklan. Alhamdulillah, tudung Noorijas mula mendapat perhatian," katanya yang menjual tudung menerusi www.tudungnoorijas.blogspot.com.

Sejak memiliki kedai alam maya, banyak masa digunakan dengan melayari Internet.

Selepas waktu kerja dia membuka 'pejabat' di rumah. Antaranya mengambil pesanan, melayan pelanggan, membuat pembungkusan serta kerja promosi.

"Kali pertama menerima tempahan saya sangat gembira. Setiap hari lima tudung dijual. Walaupun agak letih terpaksa menguruskan perniagaan pada waktu malam, saya puas melihat perniagaan tudung berhasil," katanya.

Menyedari sambutan orang ramai terhadap tudung Noorijas, Noorahiza mula membuka langkah setapak dengan menjual borong. Kebanyakan pelanggan yang membeli borong juga menjalankan perniagaan dalam talian. Sekurang-kurangnya dia membuka peluang pendapatan kepada orang lain.

Hasil daripada menjual tudung secara dalam talian dan borong, kini Noorahiza sudah boleh tersenyum bangga kerana memperoleh pendapatan mencecah RM5,000 sebulan. Malah, dia juga membuka kedai kecil di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkongsi bersama suami yang membuka kedai pakaian terpakai.

Mulanya kedai kecil itu hanya menjadi tempat simpanan tudung saja, tetapi atas permintaan pelanggan yang ingin memilih sendiri tudung sewarna baju, Noorahiza membuka kedai di situ.

Waktu perniagaan bermula dari jam 6 petang sehingga 11 malam manakala Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga 11 malam.

Ditanya azam pada masa depan, Noorahiza memberitahu mahu melebarkan jenama Noorijas kepada pakaian wanita Muslimah dan tudung untuk ahli sukan.

"Dulu memang agak susah mencari pakaian Muslimah, sekarang tidak lagi kerana banyak butik menyediakannya. Saya berdoa semoga suatu hari nanti impian membuka butik Muslimah dan menghasilkan tudung untuk bersukan menjadi kenyataan.

"Saya memang minat berniaga dan tidak suka makan gaji. Sebab itu saya sanggup berhenti kerja dan membuka butik dalam talian," katanya.

Itu ungkapan pertama yang keluar daripada mulut pemilik perniagaan dalam talian www.tufahdesign.com, Siti Azzura, 29.

Walaupun perniagaan dalam talian baru saja beroperasi enam bulan lalu, ia sudah menampakkan hasil.

Setiap hari dia berjaya menjual 20 helai tudung dan lima pasang baju, malah semakin meningkat dua kali ganda apabila tiba musim perayaan seperti hari raya. Jenama Tufah juga sudah mempunyai pengedar di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah, Putrajaya, Kelantan dan Brunei.

Malah, ada yang sudah menyatakan persetujuan mengedar tudung Tufah di London sedikit masa lagi.

Menurut Siti Azzura, untuk memperkenalkan jenama Tufah bukanlah semudah disangka. Sebelum bertapak seperti sekarang dia pernah menjual baju dari pejabat ke pejabat dan membuka tapak perniagaan di bazar di sekitar Putrajaya, Bangi dan Kajang.

Pakaian tidak laku walau sehelai, itu perkara biasa. Malah, tiada istilah berputus asa dalam kamus hidupnya.

Dengan berbekalkan modal RM500, dia memulakan perniagaan dan hasil keuntungan itulah dia membuat pusingan modal.

Berkat kesabaran Siti Azzura, tidak sampai setahun dia sudah memiliki jenama sendiri serta bengkel jahitan di Kajang bersama empat tukang jahit.

"Penat memanglah penat, tetapi saya berpuas hati kerana perniagaan menampakkan hasil. Masa saya sangat padat, siang ke bengkel menguruskan tempahan baju dan tudung manakala malam mengambil pesanan, menyemak bayaran, membuat pembungkusan. Penghantaran hanya dibuat pada Selasa dan Khamis," kata anak sulung empat beradik ini.

Melihat perniagaan dalam talian yang kian memberangsangkan, Siti Azzura tidak pernah bimbang.

Baginya, rezeki ada di mana-mana yang penting, usaha dengan ikhlas. Ada juga pelanggan bertanya perbezaan tudung Tufah berbanding jenama lain, dia memberitahu tudung Tufah kemas dan teliti jahitannya serta selesa dipakai.

Kebanyakan kain dibeli dari Korea dan direka mengikut kesesuaian. Bagi memperkenalkan jenama Tufah kepada orang ramai Siti Azzura menjalankan promosi dari blog ke blog serta dalam laman sosial Facebook.

Hasilnya sangat membanggakan, sedikit demi sedikit lawan web Tufah dikenali ramai.

Selain tudung, Tufah juga mengeluarkan jubah, gaun labuh, baju kurung dan blaus. Tudung Tufah berharga RM50 manakala RM250 untuk jubah dan baju kurung.

Hasil jualan dalam talian, wanita ini memperoleh pendapatan sekitar empat angka.

Malah, dia berazam mengembangkan perniagaan untuk pakaian lelaki dan kanak-kanak suatu hari nanti.

"Bukan tiada keinginan membuka kedai, tetapi sewa bulanan sekitar RM5,000 sebulan menyebabkan saya menangguhkan dulu hasrat itu. Mungkin apabila saya mengeluarkan lebih banyak produk dan pendapatan semakin bertambah, impian membuka kedai akan terlaksana," katanya.

Jika Noorahiza dan Siti Azzura menjual tudung dan busana Muslimah, berbeza bagi Norliana, 29, apabila memilih pakaian kanak-kanak sebagai jualan.

Menurut Norliana, minat membuka perniagaan dalam talian kerana dia suka membeli 'legging' untuk anak yang baru berusia setahun lapan bulan.

Jadi setelah melayari blog orang lain, Norliana berasa mengapa tidak dia membuka perniagaan sendiri.

Berbekalkan modal RM600, Liana mencari pembekal yang menjual pada harga murah. Setelah mendapat pelbagai rekaan dan jenama daripada pembekal di China, barulah dia menjual dalam talian.

"Saya bermula dengan laman web Fotopages sebelum membuka blogspot pada Disember 2008. Dengan pertolongan suami yang mahir dalam bidang teknologi maklumat, maka terhasillah www.manjakusayang.blogspot.com," kata Norliana.

Oleh kerana pada masa itu perniagaan dalam talian masih belum mendapat tempat, blog Liana menjadi pilihan pelanggan. Setiap hari dia menerima lima tempahan pelanggan menyebabkan kerjaya itu menyeronokkan. Namun pada awal 2009, blog jualan tumbuh bak cendawan menyebabkan persaingan antara satu sama lain.

"Saya tidak bimbang pada persaingan kerana itu rezeki masing-masing. Apa yang penting saya cuba membuat promosi supaya blog saya dikenali juga membuat jualan murah pada musim perayaan," katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, membuka perniagaan dalam talian mempunyai banyak kelebihan kerana perniagaan boleh dijalankan 24 jam dan pelanggan dari seluruh dunia. Lebih penting tidak perlu membayar sewa kedai.

"Namun semua kelebihan ini juga bergantung kepada minat dan usaha bersungguh-sungguh. Tanpa minat, sukar merealisasikannya. Ini kerana perniagaan ini memerlukan kesabaran tinggi. Apa tidaknya selepas waktu pejabat dan pulang ke rumah, barulah saya membuka kedai di alam maya.

"Biasanya saya membuka 'kedai' selepas jam 10 malam. Ketika ini anak sudah tidur jadi bolehlah melayan pelanggan, mengambil pesanan, membuat pembungkusan dan mengambil gambar jika ada pakaian baru. Biasanya tugas memasukkan gambar dan mengemas kini blog dilakukan suami," katanya yang mendapat galakan keluarga sepenuhnya.

Walaupun penat, kepuasan jelas terpancar pada wajahnya kerana hasil keuntungan setiap bulan disimpan untuk keperluan anak. Dia turut menyatakan impian mahu membuka kedai barangan bayi suatu hari nanti di samping meneruskan perniagaan dalam talian

>Info

Kelebihan perniagaan Internet

1. Kos murah - Untuk memulakan perniagaan Internet, tidak perlu modal yang banyak, sekitar RM1,000 atau kurang berbanding membuka kedai memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000.

2. Perniagaan sepanjang masa - Dijalankan 24 jam tanpa henti.

3. Kurang risiko - risiko kerugian untuk kegagalan web adalah kurang berbanding kedai runcit. Untuk membangunkan sebuah laman web perniagaan, modal diperlukan sekitar RM400 hingga RM800. Jika rugi pun cuma dalam RM400 hingga RM800. Gagal dalam kedai runcit bermakna rugi hampir RM50,000.

4. Bekerja dari bilik tidur - Ini kerja sambilan dan hanya perlu memperuntukkan dua atau tiga jam sehari menguruskan e-mel dan tempahan. Malah kemas, kini laman web boleh dilakukan dari bilik tidur.

5. Pelanggan dari seluruh dunia - Walaupun perniagaan Internet dijalankan secara sambilan, secara realitinya perniagaan bertaraf antarabangsa iaitu bersifat global.

6. Tidak perlu jumpa pelanggan - Tidak perlu berjumpa pelanggan. Segala-galanya hanya dengan membalas e-mel. Menerima tempahan dan promosi juga dilakukan dalam talian.

7. Tidak perlu menyewa pejabat - Hanya perlu peralatan asas seperti komputer, talian Internet dan stok barang. Rumah adalah pejabat.

8. Tidak perlu memohon lesen - Semua perniagaan mempunyai kedai memerlukan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan walaupun berniaga di pasar malam.

9. Menjual lebih satu produk - Memandangkan perniagaan Internet dilakukan hampir semuanya automatik, maka boleh membuka perniagaan Internet untuk lebih daripada satu produk.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url