Ummah mundur selagi membelakangkan Islam

Oleh Yussamir Yusof

Suara mengatakan umat Islam mundur kerana agama dianuti, semakin lama semakin kuat berkumandang. Malah, ada kalangan umat Islam mengiyakan kenyataan itu tanpa berfikir panjang. Bukan saja mengiyakan, malah mempersoalkan hukum termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih.

Penyakit kejahilan yang semakin kuat menyerang pemikiran umat Islam dan bukan Islam harus disekat segera. Sesungguhnya sebab kemunduran, kelemahan dan kejahilan umat Islam bukan disebabkan agama dianutinya tetapi kerana umat Islam tidak lagi berpegang kepada agamanya.

Adakah kerana umat Islam tidak berpegang kepada agamanya, bererti Islam sebagai agama harus dipersalahkan? Demi Allah yang menciptakan apa yang di langit dan di bumi, sama sekali Islam bukanlah penyebab kegagalan umat Islam.

Seorang doktor yang mendiagnos penyakit, kemudian memberi senarai ubat perlu diambil, tetapi jika pesakitnya tidak mendengar dan mengikuti arahan doktor, siapakah harus dipersalahkan apabila pesakit tidak sembuh. Adakah doktor yang dipersalahkan?

Islam sudah menyediakan manual untuk penganutnya sebagai panduan dan pengajaran tetapi jika penganut tidak mengikutinya, adakah Islam harus dipersalahkan?

Islam menyeru kesatuan tetapi umat Islam masih berpecah-belah. Islam menyeru persaudaraan, tetapi umat Islam masih lagi bermusuhan. Islam menyeru kepada keadilan, tetapi umat Islam masih lagi berlaku zalim.

Umat Islam perlu mengamalkan Islam yang sebenarnya, sentiasa berpegang kepada apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Umat Islam perlu mencontohi ketaatan dan kefahaman umat terdahulu di kalangan sahabat dan tabiin menjalani kehidupan sebagai Muslim.

Jika umat Islam mengikuti seperti orang terdahulu amalkan, sudah pasti umat Islam tidak akan dimomokkan lagi dengan perkataan mundur, kegagalan dan kejahilan.

Semakin erat hubungan seseorang dengan agama, semakin baik keadaan dan budi pekertinya. Malah, hubungan erat ini akan membawa kepada kejayaan, penghormatan, kemenangan dan kemuliaan kepada sesiapa saja.

Islam sudah menerangkan segala aspek dan keperluan umat Islam dalam kehidupan mereka, seperti dikatakan oleh Abu Darda: "Tidak ada yang diabaikan oleh Rasulullah, sehingga burung yang mengepakkan sayapnya di langit, Baginda sudah mengajarkan kepada kita mengenai ilmunya."

Lengkapnya Islam hinggakan hal berkaitan cara membuang hajat juga diajar dan diberi petunjuk. Salman al-Farisi seorang sahabat besar Rasulullah SAW pernah ditanya seorang musyrik adakah Rasulullah mengajarkan cara membuang hajat.

Kemudian Salman al-Farisi menjawab, "Ya, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang hajat dan melarang kami membersihkannya dengan kurang dari tiga batu atau dengan tangan kanan, atau dengan kotoran kering atau tulang."

Jika meneliti kembali sejarah pertembungan peradaban Islam dan peradaban lain, Islam unggul kerana hubungan umatnya dengan agama begitu kuat. Sebut siapa saja, Yahudi, Pagan, Rom, Majusi dan munafik, semuanya dapat dikalahkan malah ditawan hati mereka untuk memeluk Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, kepemimpinan Baginda diteruskan Khulafa' ar-Rasyidin. Pengganti Rasulullah SAW tetap meneruskan apa yang dimulakan Baginda tanpa ada sebarang tambahan mahupun pengurangan.

Islam semakin berkembang pesat dan tersebar ke seluruh dunia. Zaman ini adalah zaman kegemilangan Islam. Ilmu Islam tersebar ke seluruh pelusuk kota, ramai di kalangan bukan Islam mengambil manfaat daripada kegemilangan ini.

Ke mana saja umat Islam berada, di situlah peradaban besar dibina, dihormati dan digeruni oleh negara bukan Islam. Peradaban disulami keimanan, ilmuwan, teknologi dan kebendaan menjadi agenda utama. Peradaban dibina umat Islam ketika itu bukan peradaban materialistik mahupun kebendaan, tetapi peradaban menyatupadukan iman, ilmu, pembangunan dan akhlak.

Ketika itu umat Islam menjadi pemimpin dunia, di waktu itu juga umat Islam dihormati. Negara Islam adalah negara pertama, bukan negara ketiga seperti sekarang. Negara umat Islam adalah guru dan ikutan kepada negara lain.

Semua orang datang ke negara Islam untuk belajar di universiti disediakan. Bangsa Eropah yang dalam kegelapan ketika itu mempelajari bahasa Arab, ilmu Islam serta kaedah pembelajaran yang dicipta sarjana Islam.

Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Umat Islam kini menghadapi masalah membabitkan kegagalan dan kemunduran. Semuanya apabila umat Islam menjauhkan diri dari Islam sebenar. Ketika kita menjauhi Islam, maka kita akan lemah, berpecah-belah, dan saling mementingkan diri.

Namun kita semua percaya umat Islam akan dihormati semula dan menjadi gemilang apabila kembali kepada Allah dan Rasul. Apabila masa itu tiba, kita percaya Islam akan mengatasi segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, segera Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 55)

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url