Penulis novel saman Google Inc
Mian Mian, penulis bebas yang dikenali hasil karya cerita seks hebat, dadah dan kehidupan malam, memfailkan saman pada Oktober lalu selepas gergasi enjin pencarian itu menyalin buku terbarunya, Acid House.
"Selepas perbicaraan dua jam semalam, seorang hakim di Beijing memberitahu kedua-dua pihak mengadakan rundingan bagi menyelesaikan perkara itu dan melaporkannya semula hasil rundingan itu," kata peguam penulis itu, Sun Jingwei.
Beliau berkata, Mian Mian, yang tidak hadir pada perbicaraan itu, mahu menuntut ganti rugi sebanyak 61,000 yuan (AS$8,950) dan permohonan maaf awam.
Seorang jurucakap Google di Beijing, Marsha Wang, berkata syarikat itu telah mengeluarkan karya Mian Mian daripada perpustakaan dalam taliannya sejurus mengetahui mengenai saman itu.
Wang berkata, Google tidak mahu mengulas apa-apa mengenai saman itu pada perbicaraan semalam.
"Walaupun mereka mengeluarkan karya Mian Mian, tingkah laku sebelumnya itu adalah satu perlanggaran hak penulis itu. Kami mahukan permohonan maaf awam," kata Sun
Sun berkata, perkara itu mungkin boleh diselesaikan menerusi rundingan dan mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh akhir.
Usaha bersungguh-sungguh Google menjadikan karya cetak boleh didapati secara dalam talian mendapat tentangan daripada penulis di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan di tempat lain.
Google mengimbas lebih 10 juta buku, kebanyakannya di bawah akta hak cipta.
Di China, sebuah kumpulan sekutu kerajaan, Pertubuhan Hak Cipta Hasil Kerja Penulisan China, mahukan Google supaya berunding mengenai pampasan terhadap penulis China yang hasil karya mereka mengimbas untuk dimuatkan dalam perpustakaan Google.
Jurucakap Google, Wang, berkata, saman oleh Mian Mian adalah yang pertama seumpamanya di China membabitkan karya penulisan yang diimbas.
Mian Mian, yang tinggal di Shanghai, mula terkenal pada 2000 apabila beliau menerbitkan novel Candy, yang mencetuskan kekecohan kerana grafiknya memaparkan penggunaan dadah heroin. Kebanyakan hasil karyanya diharamkan di China, tetapi salinan cetak rompak boleh didapati secara meluas.
Sun berkata, Mian Mian tiada kaitan dengan kumpulan penulis China.
Google yang berpangkalan di Mountain View, California, menawarkan penyelesaian berjumlah AS$125 juta tahun lalu terhadap penulis dan penerbit Amerika.
- AP