Mercy Malaysia lancar tabung bantuan Haiti

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) melancarkan Tabung Bantuan Perubatan Haiti bagi mengumpulkan sumbangan membantu mangsa gempa bumi negara itu yang amat memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa.

Presiden Mercy Malaysia, Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, semua kutipan di bawah tabung ini akan disalurkan terus kepada Pasukan Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa (Merlin) yang tiba di ibu negara Haiti, Port-au Prince Sabtu lalu.

Beliau berkata, Merlin yang juga rakan kerjasama Mercy Malaysia kini sedang giat memberikan perkhidmatan perubatan kecemasan dan kesihatan kepada penduduk Haiti yang terselamat dalam gempa dahsyat itu.

Menurutnya, dengan memberikan sumbangan melalui cara ini adalah lebih efisien kerana Merlin telah mempunyai pasukan perubatan mereka di Haiti.

Dr. Ahmad Faizal dalam kenyataan berkata, selain keperluan bantuan perubatan, Bahagian Penyelaras Ehwal Kemanusiaan, Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) juga melaporkan yang Haiti kini berdepan masalah kekurangan bahan api.

''Segala infrastruktur juga rosak teruk akibat gempa dan dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang terselamat.

''Sehubungan itu mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Bantuan Haiti Mercy Malaysia boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 5621-7950-4126 atas nama Mercy Humanitarian Fund atau akaun CIMB Bank bernombor 1424-000-6561053 atas nama Mercy Malaysia.

''Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Pegawai Bahagian Tabung dan Peristiwa Mercy Malaysia, G. Anuradha melalui emel di alamat anu@mercy.org.my atau Ketua Bahagian Komunikasi Merlin, Louise Orton (louise.orton@merlin.org.uk),'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url