PKS: Aktiviti e-dagang masih rendah

Hanya tiga peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mempunyai portal kemudahan jual beli elektronik (e-dagang), menggunakannya untuk berurus niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim berkata, e-dagang berpotensi untuk dikembangkan kerana 92 peratus PKS memiliki akses Internet dan 53 peratus pula mempunyai laman web.

''Mereka (PKS) memang melakukan transaksi dalam talian tetapi pembayarannya dilakukan secara manual,'' katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp., eBay dan Paypal.

eBay merupakan pasaran dalam talian terbesar dunia manakala Paypal pula menyediakan perkhidmatan yang membenarkan ahlinya menghantar dan menerima pembayaran dalam talian tanpa mendedahkan maklumat kewangan.

MoU tersebut bertujuan membantu PKS tempatan untuk melibatkan diri dalam e-dagang menerusi pengenalan dan latihan.

Pada majlis itu, Hafsah mewakili SME Corp. manakala eBay diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi (China, Asia Tenggara dan Jepun), Oliver Hua dan Paypal diwakili oleh Pengurus Besar (Asia Tenggara dan India), Mario Shiliashki.

Hadir pada majlis, Pengerusi SME Corp., Datuk Mohamed Al Amin Abd. Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif eBay (China, Asia Tenggara dan Jepun), Jeff Liao.

Hafsah berkata, aktiviti e-dagang juga boleh dikembangkan memandangkan jangkaan 22 peratus PKS tempatan menerokai pasaran antarabangsa pada tahun ini.

Tambah beliau, e-dagang merupakan pilihan terbaik untuk PKS, khususnya yang berada di kawasan luar bandar, memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Hua berkata, aktiviti e-dagang berkembang dengan baik di Malaysia apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29 peratus pada tahun lalu.

''Kami melihat lebih banyak negara Barat melakukan pembelian melalui kaedah dalam talian dari Asia kerana kini mereka melihat nilai yang diperoleh,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Shiliashki berkata, Paypal akan memberikan diskaun sebanyak 25 peratus untuk yuran transaksi bagi tempoh selama tiga bulan berjumlah sehingga AS$100 (RM333).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url