Reaksi pemimpin bukan Islam
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, kejadian berkenaan adalah tidak wajar kerana ia telah memusnahkan usaha kerajaan yang mahu membentuk suasana harmoni antara semua kaum di negara ini.
"Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda orang awam, malah ia cenderung menimbulkan keazaman pembunuhan beramai-beramai oleh individu tertentu dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebuah gereja terbakar dalam insiden serangan ke atas tiga gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi ini oleh pihak yang tidak dikenali manakala dua buah lagi gereja lagi tidak terbakar.
Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menggesa rakyat di negara ini agar bersabar supaya isu sensitif itu tidak akan terus disemarakkan lagi.
Tambahnya, beliau menyeru semua parti politik di negara ini agar berkerjasama untuk menenangkan orang ramai dan mengembalikan keamanan di negara ini.
"Polis dan pihak berkenaan patut menyiasat kejadian itu dengan teliti dan menambahkan rondaan di kawasan gereja di negara ini bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang," katanya.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyeru orang ramai supaya mengawal diri dan emosi selain menghormati antara satu sama dalam masa yang kritikal ini.
"Tindakan ini memang tidak boleh dimaafkan kerana ia merosakkan kedamaian di negara ini.
"Saya yakin pihak polis akan menyiasat dua kes gereja yang telah diserang awal pagi ini dengan segera dan kumpulan tidak bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan," katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mahu usaha yang menggugat keharmonian antara kaum dihentikan.
"Saya berharap orang ramai bertenang dan menaruh kepercayaan kepada kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
"Kemusnahan keamanan boleh mengakibatkan kemusnahan dari pelbagai aspek sosial serta ekonomi sekali gus memudaratkan rakyat,'' ujarnya.
- UTUSAN
