Top Ad 728x90

,

Pro-Aspirasi kekalkan ‘kerajaan kampus’ 6 IPTA

Kumpulan Pro-Aspirasi menguasai “kerajaan” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di enam daripada lapan universiti awam yang mengadakan pilihan raya kampus semalam.

Institusi pengajian itu yang dikuasai Pro-Aspirasi semalam ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bagaimanapun kumpulan Pro-Mahasiswa kekalkan penguasaan di Universiti Malaysia Kelantan.

Keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaysia Pahang belum diperoleh.

MPP UM yang sesi pengajian lalu dirampas oleh kumpulan Pro-Mahasiswa kembali kepada Pro-Aspirasi semalam.

Kumpulan Pro-Mahasiswa tewas satu kerusi kepada Pro-Aspirasi. MPP UM menawarkan 41 kerusi.

Kumpulan Pro-Mahasiswa yang membantah penggunaan sistem pengundian elektronik (e-undi) memperoleh 20 kerusi di MPP UM berbanding 21 buat Pro-Aspirasi.

Keputusan rasmi MPP UM dijangka diketahui hari ini ekoran bantahan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa memperoleh 11 daripada 45 kerusi MPP di UTM, sekali gus kekal di tangan Pro-Aspirasi. Pro-Mahasiwa hanya bertanding di 37 daripada 46 kerusi dipertandingkan di universiti itu.

Di UPSI, kumpulan Pro-Aspirasi menang dengan mudah kerana Pro-Mahasiswa hanya bertanding di lapan daripada 25 kerusi. Ia telah pun dianggap menang pada hari penamaan calon Selasa lalu.

Begitu juga di USM, di mana kumpulan Pro-Mahasiswa yang hanya meletakkan empat daripada 26 kerusi MPP yang ditawarkan, menangi di satu kerusi.

Dengan itu USM dengan mudah kekal di tangan Pro-Aspirasi manakala satu kerusi dimenangi calon Bebas.

Oleh itu ia dilihat sebagai laluan mudah kepada kumpulan Pro-Aspirasi di UPSI dan USM.

Di UKM, kumpulan Pro-Mahasiswa juga dikatakan kalah teruk semalam, menyebabkan bantahan hebat kumpulan berkenaan.

Difahamkan kumpulan berkenaan mengadakan “tunjuk perasaan” awal pagi tadi bagi memprotes dakwaan sikap tidak adil pengurusan universiti mengendalikan pilihan raya kampus.

Calon kumpulan Pro-Aspirasi bertanding di kesemua 35 kerusi MPP UKM. Sehingga pagi ini keputusan rasmi belum diperoleh.

Bagaimanapun kumpulan Pro-Mahasiswa menguasai MPP Universiti Malaysia Kelantan dengan memperoleh tujuh daripada 12 kerusi yang ditandingi.

Di UiTM, kumpulan Pro-Aspirasi yang tidak menghadapi sebarang saingan menang dengan mudah. Mereka menguasai kesemua 50 kerusi yang ditawarkan.

Selasa lalu kumpulan Pro-Aspirasi menguasai MPP UPM selepas Pro-Mahasiswa hanya memperoleh 11 kerusi.

Bagaimanapun tujuh pelajar, dipercayai dari Pro-Mahasiswa, telah dibatalkan kemenangan mereka atas alasan bertanding secara “berkumpulan” dan menggunakan kempen media baru seperti SMS dan blog.

Kali ini pelajar-pelajar yang bertanding juga mewujudkan laman blog di bawah nama “mahasiswakini”.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa telah memenangi MPP Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Islam Antarabangsa.

Walaupun pengurusan universiti tidak menggalakkan pertandingan berdasarkan kumpulan tetapi fahaman “politik” Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi masih menjadi amalan secara tidak langsung.

Pro-Mahasiswa memegang falsafah perjuangan yang alirannya seakan-akan menyerupai Pakatan Rakyat manakala Pro-Aspirasi pula sebaliknya.

- THE MALAYSIAN INSIDER

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90