Terminal bayaran dengan pengesanan cap jari


Di seluruh dunia, penggunaan kad kredit telah diterima sebagai satu saluran pembayaran alternatif yang sangat mudah dan efektif. Ini kerana menerusinya, pengguna tidak perlu lagi merasa terbeban atau bimbang untuk membawa wang tunai yang banyak setiap kali keluar membeli-belah.

Selain kad kredit, pengguna hari ini juga telah ditawarkan dengan aplikasi kad debit dalam usaha membantu mereka mengawal serta merancang perbelanjaan.

Implementasi meluas kaedah itu telah mendorong banyak pengusaha jualan produk dan perkhidmatan melengkapkan premis mereka dengan terminal pembayaran untuk kemudahan transaksi kad kredit.

Pada peringkat awal kehadiran terminal tersebut, ia dilengkapi dengan fungsi bacaan data menerusi jaluran magnetik yang terdapat pada kad kredit.

Spesifikasi peranti itu kemudiannya telah dipertingkatkan menerusi teknologi pengecaman data menggunakan cip.

Terbaru, syarikat pembekal teknologi penyelesaian pembayaran terkenal di Asia Pasifik, GHL Systems Berhad (GHL Systems) telah menampilkan terminal dengan fungsi yang lebih canggih dan moden.

Produk mobiliti wayarles model BIO 930 yang menyokong capaian Perkhidmatan Paket Radio Umum (GPRS) itu merupakan terminal pembayaran hibrid pertama di Malaysia dilengkapi fungsi pengecaman cap jari atau biometrik.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan GHL Systems, Tay Beng Lock, sebagai sebuah syarikat berpengalaman dalam teknologi pembayaran, pihaknya yakin peranti tersebut mempunyai pasaran yang luas di negara ini.

''Sasaran utama bagi aplikasi produk ini adalah untuk membantu mekanisme pembayaran subsidi seperti petrol atau beras yang dilaksanakan oleh kerajaan.

''Tumpuan implementasinya turut memberi fokus kepada operasi perbankan, kesihatan, pendaftaran keahlian serta perkhidmatan mudah alih yang lain,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Produk yang dilancarkan pada bulan November tahun lalu itu mempunyai kelebihan menggabungkan semua fungsi pembayaran dalam satu terminal.

Ia termasuk teknologi pengesanan cip pada kad pintar seperti kad kredit atau MyKad melalui slot yang terdapat pada bahagian bawah terminal.

Selain itu, pembangunannya turut memberi penekanan kepada integrasi kawalan biometrik untuk mengenal pasti bacaan cap jari.

Penampilan kesemua ciri itu adalah bertujuan memastikan aktiviti pembayaran dapat dibuat dengan lebih efisien dan selamat.

Untuk aplikasi sensor optik pada terminal itu, ia mengaplikasikan teknologi biometrik canggih daripada syarikat Sagem Securite.

Ia menawarkan prestasi terbaik dari segi ketepatan operasi dan kepantasan transaksi pembayaran.

Bermula dari proses pengecaman cap jari sehinggalah menyesuaikannya bersama data di dalam kad secara elektronik, operasi tersebut dapat dilakukan dalam masa kurang daripada satu saat.

Berbeza daripada model terdahulu yang menggunakan sambungan talian telefon, kehadiran terminal ini yang menggunakan akses GPRS memberi dimensi baru bagi aktiviti capaian data secara dalam talian.

Untuk mengaktifkan perkhidmatan GPRS, pengguna peranti berkenaan perlu melanggannya daripada mana-mana syarikat pembekal telekomunikasi tempatan.

GHL Systems yang merupakan syarikat berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) telah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengakses dokumen serta data-data tertentu yang terdapat pada MyKad.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, perkhidmatan peranti pembayaran yang dikeluarkan oleh syarikat ini telah digunakan secara meluas oleh 14 buah bank tempatan dan juga antarabangsa.

Ia termasuk RHB Bank, Maybank, Bank Rakyat, Hong Leong Bank, Bank Simpanan Nasional, HSBC, Citibank dan sebagainya.

Selain itu, bermula tahun 2005, peranti pembayaran syarikat itu turut digunakan untuk melaksanakan pemberian subsidi oleh syarikat petroleum BhP dan juga Shell.

Melihat kepada teknologi yang ditawarkan oleh terminal hibrid BIO 930, ia dipacu menggunakan dua jenis pemproses iaitu ARM 9 untuk pelaksanaan fungsi utama dan ARM 7 untuk fungsi sekuriti.

Kuasanya pula disokong oleh bateri yang boleh dicaj semula dengan jangka hayat sehingga 150 transaksi.

Bagi setiap transaksi pula, ia akan melibatkan penggunaan data sebanyak 250 bit sahaja.

Di samping itu, ia turut didatangkan bersama beberapa spesifikasi lain seperti sambungan Bluetooth dan slot USB untuk penyelarasan bersama pencetak atau papan kekunci.

Bagi mereka yang berminat, terminal tersebut boleh diperolehi menerusi pembelian dengan kos antara RM6,000 hingga RM7,000 atau secara sewa beli bersama GHL Systems.

Setiap pembelian akan melayakkan pembeli menerima perkakasan terminal dan perisian, satu tahun jaminan dengan penyelenggaraan percuma, perkhidmatan penyelenggaraan di lokasi selain pengguna boleh menentukan sendiri bentuk operasi yang mereka diperlukan.

Maklumat lanjut mengenai produk ini boleh diperolehi daripada laman web www.ghl.com atau www.ingenico.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url