"Air mata bukan kawan saya"

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
www.hamizul.com

Jangan sombong dengan orang. Sebaliknya, berbuat baiklah sesama manusia. Bagi saya, hidup jangan suka memberi alasan juga jangan cepat melatah. Air mata, bukanlah kawan bagi saya."

Demikianlah tegasnya suara hati yang dilafazkan dengan lancar dan terang oleh Faradillah Ismail, 38, ibu tunggal beranak tiga yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf pada kali ini.

Berasal dari Melaka, kehidupan beliau asalnya bahagia bersuamikan seorang Pegawai Waran dalam pasukan tentera. Namun, musibah datang tanpa diundang.

Kehadiran manusia ketiga menggoncang keharmonian rumahtangga. Lalu, bahtera pecah di tengah lautan dan masing-masing membawa haluan.

Bermula tahun 2001, beliau sah sebagai ibu tunggal menggalas amanah bersama tiga cahaya mata yang menggantung seribu harapan.

"Alhamdulillah, anak-anak saya memahami tanggungjawab saya sebagai ibu. Mereka tidak menghampakan saya bahkan tidak lokek membantu saya dalam berjualan."

Anak-anak Faradillah iaitu yang pertama, Mohd. Riduan Anuar, 19 kini belajar di British Malaysia Institute, Gombak; kedua Siti Nur Syafiqah, 14 belajar di Sekolah Menengah Taman Selayang dan anak bongsu, Mohd. Aiman Iskandar, 9, dimasukkan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Khew Bin, di Batu Caves, Selangor.

Saya cuba mengusik andai ada kesengsaraan hidupnya selepas berpisah dengan suami yang boleh dikongsi.

Namun, Faradillah seakan enggan kembali mengenangnya melainkan untuk dijadikan sebagai pedoman digagahkan juga.

"Selepas bercerai, kehidupan kami anak-beranak memang menderita sekali ustaz. Maaflah, bekas suami saya tidak banyak membantu.

"Bayangkan dengan tiga anak yang sedang membesar, memerlukan susu dan biaya persekolahan, semuanya tergalas dibahu. Saya mencuba bekerja di kilang; namun tidak mampu bertahan. Kemudian, saya menjual nasi lemak, dapatlah untung RM20 sehari.

"Lebih malang, saya pernah ditipu oleh kawan sendiri, hangus modal saya RM3,000 buat membuka kedai basuh kereta. Kami anak-beranak juga pernah dihalau oleh anak tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa; lalu merempatlah kami di kawasan setinggan, tinggal di rumah yang bocor di sana-sini. Bahkan pernah saya berbuka puasa hanya dengan ikan bilis dan bawang sahaja.

"Namun, saya tidak pernah walaupun sekali meminta-minta dengan sesiapa pun. Susah-senang biarlah saya tanggung dan harung sendiri. Apa yang tinggal pada saya kala itu, hanyalah sedikit barangan perhiasan yang akhirnya saya gadai buat dijadikan modal bagi meneruskan kehidupan."

Maka benarlah fikir saya, bahawa golongan miskin itu memang ada yang enggan meminta-minta dan sesungguhnya, mereka inilah yang lebih layak untuk dibantu dengan wang zakat.

Sabda Rasulullah SAW: "Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma - ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan dia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan (orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)". (riwayat Ahmad).

air mata

Lalu, saya terus menantikan bicara daripada beliau. Daripada riak wajahnya, jelas beliau memang jenis orang yang tidak suka menyerah kepada nasib. Benarlah katanya, air mata bukanlah teman baginya.

"Entah bagaimana saya terdorong mencuba nasib menjual goreng pisang. Alhamdulillah, berkat menjual goreng pisang inilah, rezeki saya makin baik. Dapatlah saya memenuhi beberapa keperluan keluarga, khususnya anak-anak yang kian meningkat".

Saya mencungkil lagi, apakah cabaran dalam menjalankan perniagaan. Maklumlah, kehidupan di pinggir bandar besar memang terdedah kepada pelbagai kerenah manusianya.

"Sebenarnya, saya amat berharap mendapat lesen perniagaan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kerana tempat saya berniaga ini sudah masuk ke dalam kawasan DBKL. Jika Majlis Perbandaran Selayang (MPS), memang senang dan saya sudah pun diberikan lesen berniaga dengan lori.

"Tetapi oleh kerana Kuala Lumpur (KL) dan Selayang ini bersempadan, maka kebetulan tapak saya berniaga ini sudah pun memasuki KL, maka saya memerlukan lesen DBKL pula." Beliau turut menunjukkan longkang yang agak besar di belakangnya yang menjadi sempadan di antara kawasan pentadbiran MPS dan DBKL.

"Sudah banyak kali pihak DBKL datang berjumpa saya bahkan beberapa kali dahulu, habis barang-barang di gerai ini mereka angkut. Apa saya nak buat, saya berniaga tanpa lesen. Tapi ustaz, agak susah juga sebenarnya untuk mendapatkan lesen daripada DBKL." Tegasnya lagi.

Sejak dimasukkan sebagai asnaf zakat di bawah Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Faradillah diberi beberapa jenis bantuan. Antaranya bantuan untuk pendidikan anak-anak, menyambut Ramadan dan Aidilfitri dan juga bantuan modal perniagaan sebanyak RM5,000.

Namun, bantuan bulanan telah pun diberhentikan bermula Januari 2010 ini, memandangkan pendapatan beliau menerusi jualan goreng pisang dan kuih-muih sudah pun melepasi keperluan asasinya. Bahkan Faradillah juga berazam mengeluarkan zakat pendapatannya tidak lama lagi.

"Saya mengalungkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat dan saya juga mahu berpesan kepada kaum wanita, sama ada bersuami atau tidak, bukanlah alasan yang menggalang kemajuan diri kita.

"Buat anak-anak, ingatlah kepedihan hidup yang telah dilalui dan jadikan kejayaan orang lain sebagai cerminan. Insya-Allah, kita juga boleh berjaya satu masa nanti".
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url