Blogger durjana tidak akan terlepas - Rais Yatim
Mereka tidak boleh lagi terlepas kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini memiliki peralatan canggih untuk mengesan perbuatan jelik itu secara terperinci sebelum kes dihadapkan ke mahkamah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, jika sebelum ini penulis blog yang berbuat demikian mudah terlepas setelah memadamkan sesuatu entri tetapi kali ini SKMM berkemampuan mengesan kembali data itu menerusi peralatan khas.
"Cakera padat berkenaan akan dibawa ke makmal dan data yang dipadamkan itu akan 'ditarik' balik melalui perkakasan khas untuk ditentukan sama ada ia datang dari e-mel atau laman sembang atau web tertentu.
"SKMM telah memiliki peralatan ini baru-baru ini tetapi saya akui industri teknologi maklumat ini sentiasa berubah, akan ada teknologi baru setiap hari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein semalam bahawa polis sedang menyiasat beberapa lagi penulis blog yang didapati menyentuh atau menghina institusi raja-raja Melayu dalam laman blog mereka.
Menurut Hishammuddin, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kini bekerjasama dengan SKMM bagi mengumpulkan bukti terhadap kes-kes berkenaan.
Rais berkata, setakat ini sejumlah 352 kes sedang disiasat oleh SKMM berkaitan pemaparan bahasa yang menyakitkan hati, lucah, palsu dan jelik.
"Daripada jumlah itu, 38 kes telah dikompaun setelah permohonan maaf diterima melibatkan nilai kompaun RM460,000.
"Kes yang ditutup pula 88 kes, masih dalam siasatan (174) manakala 36 kes memerlukan siasatan lanjut atas arahan Peguam Negara," katanya.
- UTUSAN