Gadis ikut kekasih nyaris meringkuk di penjara
Hanya kerana mengikut kata hati, pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella mungkin terpaksa meringkuk dalam penjara di negara jiran.
Bagaimanapun, nasib masih menyebelahinya kerana Bella yang melarikan diri mengikut kekasih ke Lombok, Indonesia berjaya dibebaskan.
Sebelum dibebaskan, Bella yang pernah berlakon dalam drama Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis ini sebenarnya telah ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana kesalahan memasuki negara itu secara haram.
Jika didakwa dan sabit kesalahan, Bella yang mengaku menjadi suri rumah sepanjang enam bulan di Indonesia boleh dipenjarakan selama enam tahun dan didenda Rp30 juta (RM11,100) atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, atas usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dan pihak Imigresen Indonesia, membolehkan remaja ini dibebas dan dibenarkan pulang ke Malaysia.
Bella yang ditemui di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, hari ini berkata, dia gembira kerana dapat berjumpa semula dengan keluarganya tetapi agak sedih sebab suaminya tidak dapat ikut bersama.
Katanya, dia gembira kerana dapat berjumpa semula dengan ayahnya, Yunan Mat Ayat, 77, yang telah membesarkannya selepas kematian ibunya sejak sembilan tahun lalu.
"Tetapi agak sedih sikit, suami saya tidak dapat ikut sekali sebab saya sudah hamil hampir enam bulan. Kalau ada suami, saya lagi senang dan seronok.
"Bagaimanapun, saya minta maaf banyak-banyak kepada ayah kerana meninggalkan keluarga dan menikah tanpa mendapat izin daripada keluarga sendiri," katanya yang berulang kali menyebut tentang suaminya.
Bella dikatakan dilarikan Hafiz Sukma, 26, ke Lombok pada 7 Ogos lalu sebelum dipercayai telah dipaksa bernikah dengannya.
Bapanya membuat laporan polis pada hari sama selepas Bella yang keluar dengan berpakaian sekolah tidak pulang ke rumah.
Bella yang tiba pada pukul 5 petang tidak dapat menahan air mata apabila melihat kelibat ayahnya dan kakaknya, Farida Yunan, 50, dan mereka dilihat saling berpelukan dengan diiringi air mata gembira.
Sementara itu, Yunan tidak menyangka akan berpeluang berjumpa semula dengan anaknya, lebih-lebih lagi apabila beliau sudah tua dan keadaan kesihatan yang tidak menentu.
Beliau berkata, dirinya sering tidak lena tidur kerana memikirkan keadaan anaknya itu, terutamanya setelah mendengar pelbagai berita mengenai kesusahan kehidupan di sana.
"Marah memang marah kerana tindakannya itu tapi saya dah maafkan anak saya dan minta dia jangan ulangi kesilapannya lagi.
"Kejadian yang menimpa Bella itu juga wajar diambil perhatian dan dijadikan pengajaran oleh remaja dan ibu bapa lain, terutama ibu atau bapa tunggal agar lebih mengawasi anak mereka," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh menganggap kes itu sebagai kes eksploitasi memandangkan Bella baru berumur 15 tahun dan masih tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
- UTUSAN