Jangan naikkan tarif elektrik

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan kerajaan supaya tidak meningkatkan tarif elektrik kerana kenaikan tarif tersebut bakal membebankan rakyat kebanyakan, walaupun kabinet petang ini dilaporkan tidak membuat keputusan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik atau tidak.

Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya berfikiran simplistik menaikkan tarif elektrik disebabkan kenaikan bahan bakar di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh untuk tidak menaikkan tarif elektrik dengan menguruskan sumber tenaga domestik secara kreatif.

“Walaupun kos bahan bakar sedunia (seperti) minyak, gas dan arang kian meningkat, kalau kerajaan (dan) TNB kreatif, mereka tak perlu menaikkan tarif elektrik,” jelasnya.

Teroka tenaga hidro dan angin

Kretiviti dalam pengurusan sumber tenaga tersebut, menurut Mahfuz termasuk meneroka sumber tenaga yang baru atau tenaga yang diperbaharui seperti tenaga hidro.

“Saya akui memang kerajaan telah pun menjana tenaga hidro seperti di Bakun, Bakun dan dua tiga empangan yang lain, bagaimana dengan sungai yang begitu banyak di Malaysia.

“Tak cukup kerajaan bina empangan di Sungai Balui (Sarawak) saja, bagaimana dengan sungai-sungai yang begitu banyak khususnya di Pantai Barat Semenanjung kerana keperluan sumber tenaga lebih besar berbanding di Borneo.

“Sekiranya kerajaan atau TNB sendiri kreatif, mereka akan membina janakuasa hidro kecil-kecilan atau tenaga angin untuk menampung keperluan sumber tenaga nasional,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik cadangan kerajaan era Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membina Empangan Bakun di Sarawak.

Menurut beliau, Dr. Mahathir sepatutnya membina empangan tersebut di Pantai Barat Semenanjung kerana keperluan perindustrian yang menggunakan sumber tenaga terbanyak menumpu di garis geografi tersebut.

Ekoran itu, Mahfuz tidak menafikan bahawa pemilihan Bakun itu mungkin untuk mencipta bajet perbelanjaan yang lebih tinggi untuk kroni-kroni tertentu dalam parti pemerintah.

“Tidak termasuk kos pembinaan empangan bakun yang bernilai RM6 bilion, beberapa pihak mendapat manfaat bernilai lebih kurang RM2 bilion lagi dalam projek menanam kabel elektrik di dasar Laut Cina Selatan hingga ke Tanjong Sedili (Johor) supaya elektrik boleh dibekalkan ke Semenanjung.

“Kenapa tidak dibina terus empangan Pantai Barat Semenanjung saja, sebab itu saya tak mahu menafikan kalau ada yang mendakwa pembinaan Empangan Bakun tersebut untuk mengkayakan kroni-kroni tertentu saja,” ujarnya.

Tenaga Hijau

Selain meneroka tenaga hidro, Mahfuz juga menasihatkan kerajaan supaya menggalakkan penggunakan tenaga solar sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Mengambil contoh negara Jerman, Mahfuz berkata, kerajaan mereka akan memberi insentif kepada rakyat yang menjana kuasa solar untuk keperluan harian.

“Maksimum kuasa yang boleh dijana (adalah) 6 megawatt sedangkan keperluan sumber tenaga harian kurang (dari) 1 megawatt, maka tenaga itu dijual semula kepada syarikat tenaga atau kerajaan yang memberi insentif.

“Agak-agak rakyat di sana sanggup tak berbelanja lebih 20 ribu dolar suatu satu janakuasa solar yang mini, kalau pembayaran tersebut dilakukan secara ‘auto-subsidi’ di mana lebih sumber kuasa solar yang dijana dikira sebagai bayaran balik,” ujarnya.

Di sampung itu, Mahfuz menjelaskan bahawa kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat yang menjana sumber kuasa memperkenal polisi-polisi sampingan supaya sesuai dengan budaya menggalakkan rakyat menggunakan tenaga dari kuasa solar.

“Mereka perkenal potongan harga 20 peratus hingga 35 peratus, umpamanya pagi konsumer yang menggunakan sumber tenaga elektek antara jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi umpamanya untuk mengurangkan penggunaan ‘tenaga secara mendadak’ khususnya pada waktu bekerja.

“Tengah malam sampai pagi, sekeluarga yang di rumah betul-betul menggunakan alat elektronik seperti mesin basuh, seterika, pendingn hawa dan sebagainya secara maksimum kerana harga lebih murah, maka secara tak langsung mengurangkan mereka menggunakan tenaga pada siang hari atau waktu pejabat.

“Kalau kos penyaluran mendadak (cost of distribution) boleh dikurangkan, bermakna kos pengurusan tenaga pun boleh dikurangkan kerana kos ini merupakan salah satu faktor yang digunakan oleh TNB atau kerajaan dalam menentukan tarif elektrik semasa,” jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, pengenalan ‘Polisi Mampan’, iaitu polisi ‘menang sama menang’ tersebut sekaligus mengubah paradigma rakyat dan kerajaan dalam menggunakan sumber tenaga elektrik dan tenaga yang diperbaharui.

“Sekarang, penggunaan solar sudah menjadi suatu status di kalangan rakyat pertengahan, kerana rakyat mampu menggunakan (tenaga solar) kerana kerajaan sendiri mengiktiraf mereka dan memang kerajaan berjaya mengubah paradigme mereka dengan pengiktirafan itu,” jelasnya.

Membandingkan dengan kerajaan Jerman, Mahfuz menganggap kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai kreativiti dalam menangani masalah bahan bakar dunia yang kian meningkat, malah kerajaan juga gagal merancang polisi penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti di semua negara dalam Kesatuan Eropah (EU).

“Kalau di negara-negara EU, memang kerajaannya mensasarkan 25 hingga 45 peratus penggunaan tenaga domestik pada tahun 2020 kelak mesti dari sumber tenaga yang diperbaharui, kita hanya ada Wawasan 2020 saja sebab kerajaan kita tidak kreatif dan TNB kita juga mungkin tidak kreatif,” jelasnya.

Di mana biodiesel kerajaan

“Dulu kerajaan bising dengan projek biodiesel sebagai tenaga alternatif, apabila bahan bakar dunia meningkat, di mana projek-projek ini untuk membantu TNB menguruskan sumber tenaga domestik,” soalnya.

Mengakui bahawa kerajaan dan TNB terpaksa menanggung subsidi disebabkan harga arang batu sedunia yang kian meningkat, beliau turut mencadangkan kerajaan menjana tenaga bioethanol menggunakan bahan buangan domestik.

“Kerajaan selalu kata mereka perlu beri subsidi lebih untuk arang batu dalam (mata wang) USD sedangkan mereka menanggung kos akhir yang lebih kerana rakyat membayar tarif elektrik menggunakan mata wang RM (Ringgit Malaysia),” jelasnya.

“Tapi, kalau kerajaan guna tenaga bioethanol, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan hampas kelapa sawit, adakah perlu menggunakan USD lagi sedangkan ia boleh diperoleh di Malaysia sendiri.”

Disebabkan itu, Mahfuz berkata, kerajaan seharusnya menggunakan bioethanol bagi menggantikan biodiesel kerana sumber tenaga yang diperbaharui itu boleh dijana menggunakan bahan buangan, sedangkan biodiesel adalah sebaliknya.

Beliau juga meminta kerajaan menjalinkan hubungan dengan Mitsui Corp., iaitu syarikat janakuasa dari Jepun yang sekarang ini sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama Sime Darby Berhad, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menghasilkan bioethanol menggunakan hampas kelapa sawit.

Kos perbelanjaan

Bercakap tentang kos perbelanjaan (cost of financing) yang juga merupakan salah satu faktor dalam menentukan tarif elektrik semasa, Mahfuz turut mempersoal tindakan kerajaan memberi konsesi jana kuasa kepada Kumpulan YTL milik Tan Sri Francis Yeoh.

“Kenapa mesti beri konsesi janakuasa elektrik kepada Francis Yeoh dan janakuasa itu tiba-tiba dibina di Kerteh (Terengganu) sedangkan keperluan sumber tenaga terbanyak sebenarnya lebih diperlukan di Pantai Barat Semenanjung,” soalnya.

“Adakah kedudukan janakuasa di Kerteh itu supaya memudahkan YTL mendapatkan sumber gas yang telah pun kerajaan subsidikan untuk YTL bagi menjana tenaga elektrik domestik.”

Demi meletakkan pusat janakuasa tersebut di Kerteh, Mahfuz turut memaklumkan bahawa kerajaan era 1980-an dahulu telah pun memberikan RM800 juta wang rakyat kepada MRCB untuk menyalurkan sumber tenaga ke Pantai Barat Semenanjung.

“Lebih kurang RM800 juta digunakan secara membazir untuk memberi subsidi kepada YTL, sedangkan kerajaan hari ini berniat meningkatkan tarif elektrik dan menarik beberapa subsidi yang nyata membebankan rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan niat kerajaan dan TNB sebelum ini untuk membangunkan sumber tenaga yang diperbaharui dengan menggunakan nuklear.

“Baru-baru ini, kerajaan kata nak guna nuklear pula menggantikan arang batu, adakah kerana kos pembinaan prasarana yang begitu besar, lebih kurang RM4 bilion menyebabkan kerajaan dan pihak tertentu begitu berminat untuk menghabiskan wang rakyat,” soalnya.

Tenaga berteknologi baru

Sekiranya kerajaan jujur mahu membangunkan tenaga alternatif berteknologi baru, Mahfuz sekali lagi mencadangkan kerajaan supaya meneroka sumber tenaga hasil teknologi geothermal.

“Kalau kita guna nuklear yang ditanam dalam bumi, 20 tahun akan datang pun belum tentu akan hilang kesan radiasi.

“Kalau guna teknik geothermal iaitu tenaga dihasilkan dengan air yang diwapkan di perut bumi, ia lebih selamat untuk manusia,” jelasnya.

Cadangnya lagi, kerajaan atau TNB juga boleh menjana tenaga ‘gassification’, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan tinja manusia sekiranya kerajaan kreatif.

“Kalau kreatif, tahi pun boleh diperbaharui, tak perlu naik tarif elektrik,” ujarnya.

- HARAKAH DAILY
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url