Kegilaan berkebun secara maya
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
Sebelum tidur berladang, celik mata tengok ladang, waktu bekerja pun curi-curi berladang! Ada yang sanggup menyengkang mata gara-gara mahu menunggu pelbagai bentuk ‘hadiah’ hasil penat lelah berkebun.
Apatah lagi jika petani seangkatan tinggal di negara yang berbeza jarak dan waktu. Maka titik pertemuan, mungkin seawal pagi atau tengah malam untuk merancakkan lagi aktiviti berkebun.
Itu adalah cerita benar fenomena berkebun komuniti maya - Farmville - di laman sosial Facebook yang melanda dunia kini.
Mungkin ramai tidak percaya lebih daripada 65 juta penduduk dunia pelbagai peringkat usia dan benua giat mengusahakan tanaman dan ternakan maya. Permainan tersebut diperkenalkan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Zynga.
Daripada jumlah tersebut, lebih kurang 22 juta pemain menyertai kelab peminat Farmville yang menawarkan pelbagai faedah serta maklumat terkini mengenai permainan itu.
Permainan lain yang tidak kurang popular di kalangan peminat Facebook adalah Cafe World, Fishville, Mafia Wars, dan Petville.
Namun sambutan yang ditunjukkan terhadap Farmville melimpah ruah. Peminat permainan ini tidak mengira waktu. Kalangan wanita bekerja, semacam menjadi kemestian untuk menjenguk ladang masing-masing sebelum tidur.
Selepas menghantar anak ke sekolah dan kadangkala sebelum menyediakan sarapan, susu lembu mesti diperah, telur ayam perlu dikutip, buah-buahan perlu dipetik dan tanaman mesti dituai bagi mengelaksebarang kerugian.
Sememangnya demam Farmville bukan sesuatu yang dibuat-buat. Mungkin kerana kaitannya dengan alam semula jadi dan hakikat aktiviti pertanian itu diketahui umum, maka keterujaan untuk turut serta dalam permainan tersebut amat terserlah.
Lebih menarik perhatian apabila kalangan remaja dan kanak-kanak bersekolah rendah yang tidak pernah tahu mengenai aktiviti pertanian turut mengambil bahagian. Ada kanak-kanak yang tidak pernah melihat kambing, lembu serta tidak kenal pokok-pokok seperti padi begitu teruja bertanyakan perihal tanaman dan haiwan ternakan.
Menarik
Bagi peladang maya, sememangnya menarik apabila realiti digabungkan dengan fantasi - sebab itu kemunculan lembu berwarna merah jambu dan pokok labu yang mengeluarkan hasil dalam tempoh tidak sampai sehari mengundang ketagihan yang bukan sedikit.
Dan semacam satu bentuk terapi melihat ladang yang disusun mengikut selera masing-masing begitu galak mengeluarkan hasil baik berupa tanaman, buah-buahan atau binatang ternakan.
Siapa yang tidak tertarik melihat ladang yang ditumbuhi pelbagai jenis tanaman dan haiwan ternakan memenuhi kandang yang direka khas hasil kreativiti dan mengikut cita rasa di peladang.
Gandum yang menunggu untuk dituai dalam masa tiga hari dan jiran-jiran yang tidak sabar-sabar mahu menghulurkan pelbagai bentuk hadiah berupa pokok pisang dan pelbagai lagi sentiasa menagih perhatian peminat permainan itu.
Kesemua itu menjadi aset untuk menarik lebih 65 juta ‘manusia tinggal di Farmville’.
Sememangnya Farmville kini menjadi permainan dalam talian paling popular terutama bagi peminat Facebook. Berpuluh-puluh juta ‘petani’ menyertai pengalaman bertani secara dalam talian dan dalam sehari 27 juta daripada mereka bekerja keras bercucuk tanam pelbagai tanaman maya dan memelihara pelbagai jenis ternakan biar pun ada di antaranya tidak masuk akal.
Rangkaian jiran juga tidak terhad dalam negara. Seorang rakan mempunyai rangkaian jiran dari pelbagai negara sehingga menjangkau ratusan orang. Di situ ada ikatan maya yang terjalin. Dan peliknya aktiviti peladangan maya menjadi salah satu platform menambah kenalan.
Zynga kini bertungkus lumus menjadikan Farmville lebih realistik dengan mempelbagaikan tempoh menuai selain tidak melupakan elemen-elemen seperti traktor, minyak dan haiwan.
Pertanian kuno
Jika tak ada diesel maka proses membajak tanah, menanam tanaman dan menuai akan dilakukan secara manual. Aktiviti seperti itu mengingatkan kita pertanian kuno yang menggunakan tulang empat kerat. Kemunculan teknologi moden dan keupayaan membeli menyebabkan proses pertanian menjadi lebih mudah dan menarik golongan muda untuk menyertainya.
Bagaimanapun masih ada aspek-aspek yang tidak masuk akal namun itu tidak menjadi penghalang kepada peminat-peminat Farmville.
Aplikasi permainan seperti walaupun tidak memberi gambaran sepenuhnya atau secara tepat mengenai pertanian namun berjaya menarik minat dan perhatian dunia. Ia sekurang-kurangnya menunjukkan betapa penduduk dunia menghargai ladang yang menjadi sumber makanan mereka.
Sememangnya populariti Farmville sebagai permainan dalam talian mengujakan. Ia menunjukkan bahawa orang ramai berminat dan sanggup memperuntukkan masa untuk bercucuk tanam dan mengambil berat haiwan ternakan masing-masing biarpun segala-galanya adalah fantasi.
- MINGGUAN MALAYSIA