Temubual Isu Gender - Merit bukan gender

MINGGUAN: Di mana kedudukan sebenar pekerja wanita dalam sektor awam di negara ini?

DR. RUSINAH SIRON: Tiada kajian terperinci untuk menentukan kedudukan sebenar wanita dalam sektor perkhidmatan awam. Nak kata tinggi nanti kata kita syok sendiri, bila syok sendiri kita kena sedar diri. Nak kata rendah tidak ada pula kajian lengkap mengenainya.

Secara umumnya kedudukan wanita hampir seimbang dengan kaum lelaki terutama dalam bidang pendidikan. Kedudukan wanita juga semakin selesa, memberangsangkan dan meyakinkan. Maknanya orang semakin yakin dengan potensi dan kredibiliti wanita di Malaysia.

Semua tahu pencapaian wanita semakin cemerlang, tetapi tidak semua wanita cemerlang mendapat kepercayaan untuk terlibat di peringkat pembuat dasar?

DR. RUSINAH SIRON: Kita kena berpijak di bumi nyata dan bersandarkan kepada realiti bahawa wanita itu ada kekuatan dan kelemahan. Ada sektor wanita memang cemerlang seperti pendidikan, perkhidmatan dan hospitaliti. Ini selari dengan naluri wanita. Manakala kaum lelaki pula cemerlang dalam sektor industri berat, keselamatan negara dan sebagainya.

Jadi kita tidak boleh katakan walaupun wanita itu cemerlang bermakna kita boleh menembusi semua. Begitu juga lelaki, walaupun dikatakan terancam dengan wanita tetapi harus diakui mereka tidak boleh menandingi wanita dalam sektor tertentu.

Jadi di sini kita kena ada keseimbangan di mana ada sektor yang wanita cemerlang potensinya seperti yang ditekankan tadi. Persaingan tetap akan berlaku. Malah wanita kena faham kita bukan sahaja bersaing dengan lelaki sebaliknya persaingan ada di mana-mana.

Dan dalam tekanan globalisasi, wanita kena positif, proaktif, kreatif dan reaktif untuk berdaya saing dalam pasaran kerja. Soal gender bukan isu sekarang. Kadang-kadang apabila kita menuntut hak ini untuk wanita dan hak ini untuk lelaki tetapi apabila wanita memasuki peringkat pembuat keputusan tidak boleh cemerlang ia akan menjadi satu kontroversi yang mengundang implikasi negatif.

Sasaran 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar masih belum tercapai, apa sebenarnya masalah di sini?

DR. RUSINAH SIRON: Soal sama ada mampukah kita mencapai sasaran itu bergantung kepada wanita itu sendiri. Ia juga bergantung kepada persekitaran dan yang ketiga kepada pembuat dasar semasa. Kadang-kadang wanita cemerlang nak menuju kepada peringkat pembuat dasar memerlukan kepakaran pengetahuan dan pengalaman. Siapakah wanita yang mempunyai kredibiliti untuk mencapainya. Kalau semata-mata untuk mencapai sasaran dari segi peratusan tetapi setelah menduduki kerusi pembuat dasar wanita tidak mampu melakukannya, implikasi akan menjadi lebih negatif. Biar kita bergerak perlahan tetapi efektif dan orang yakin. Apabila keyakinan dapat diberi kepada kaum wanita, 30 peratus tidak menjadi masalah. Wanita yang dipilih sebagai pembuat dasar mesti cukup pengalaman dan dihormati oleh lelaki dan masyarakat keseluruhannya.

Jadi isu 30 peratus itu tidak penting?

DR. RUSINAH SIRON: Saya tidak memandang 30 peratus. Saya memandang keberkesanan wanita sebagai seorang pemimpin yang hebat. Kita telah ada transformasi dan rujukan. Maknanya sekarang ini orang telah membuka mata bahawa wanita mampu melakukannya, itu yang perlu diberi perhatian oleh kaum lelaki.

Maknanya kebimbangan terhadap 'ancaman' wanita itu tidak berasas?

DR. RUSINAH SIRON: Wujud ancaman dan kebimbangan maknanya mereka bimbang bahawa wanita bukan sekadar melakukan kerja-kerja pengkeranian. Sebaliknya wanita telah bergerak jauh ke hadapan, telah ada persaingan di situ. Biarlah yang bersaing itu bekerja cemerlang, bukan sekadar letak wanita di situ kerana kuota, kita tidak mahu stigma seumpama itu.

Bagaimana wanita harus berhadapan dengan kenyataan-kenyataan seperti itu?

DR. RUSINAH SIRON: Wanita jangan cepat melatah. Kebimbangan seperti itu menunjukkan isyarat yang baik bahawa kehadiran kaum wanita dalam sektor awam telah diberi perhatian. Ia menunjukkan wanita boleh bersaing, tidak lagi boleh diperolok-olok atau diperlekehkan. Dan kita mesti sedar akibat kebanjiran wanita di pasaran kerja akan berlaku satu reformasi dan evolusi nanti. Ketika itu wanita terpaksa bersaing bukan sahaja dengan kaum lelaki tapi dengan kaum wanita itu sendiri.

Wanita mesti memberi perhatian bukan sahaja kepada kaum lelaki tetapi kepada wanita yang juga menjadi pesaing. Wanita kena jeling-jeling siapa yang menjadi pesaing mereka kalau bercita-cita tinggi. Kini ada kategori wanita yang bercita-cita mahu berdiri sama tinggi dengan lelaki. Lebih daripada itu ada yang mahu berdiri lebih tinggi daripada lelaki. Dan kebimbangan lelaki adakah terhadap wanita kategori tersebut. Kaum lelaki mesti rasa bimbang dengan keadaan ini, dan tidak boleh terus berasa selesa sebab perubahan zaman dalam globalisasi menunjukkan wanita ingin melonjak ke hadapan.

Bagaimana Doktor melihat peluang wanita untuk sampai ke peringkat pembuat dasar?

DR. RUSINAH SIRON: Dari segi peluang kita bergantung kepada faktor persekitaran dan luaran. faktor kepercayaan penggubal dasar kepada wanita, berapa peratus yang diberikan, ciri serta kriteria wanita yang bagaimana boleh sampai ke peringkat pembuat dasar. Adakah sama dengan kaum lelaki atau sebaliknya.

Banyak prasarana untuk wanita maju. Sebab itu saya minta wanita jangan bimbang. Kita jangan berfikir sarcastic tentang persekitaran kita. Sebab kita mahu berjaya dan bukan untuk dikasihani.

Jadi bagi kaum wanita yang ingin mendahului masa dan persekitaran, bergeraklah mencari kriteria-kriteria yang cukup positif iaitu komitmen mesti cukup padu, kepimpinan diri dan cara memimpin, kreatif menyelesakan masalah, komunikasi kena hebat, ada keyakinan dan keterampilan diri yang hebat, baru boleh bentuk karisme sebagai pemimpin wanita.

Bila dia ada karisme tidak ada siapa persoalkan. Ini kerana untuk menjadi pembuat dasar bukan mudah dan bukan calang-calang orang boleh berbuat demikian. Kesilapan buat keputusan beri kesan kepada banyak pihak.

Pada pandangan Doktor masih ada pengurusan yang menjadikan gender sebagai salah satu kriteria kenaikan pangkat walaupun terbukti wanita itu lebih cemerlang?

DR. RUSINAH SIRON: Kita bercakap tentang manusia. Selagi kita dinamakan manusia sudah tentu sifat-sifat kurang yakin kepada orang lain, melihat keturunan, personaliti dan gender sebagai ukuran. Itu dipanggil tingkah laku manusia dalam menerajui organisasi dan mereka juga berfikiran pasif, pesimis terhadap gender. Tetapi saya percaya dengan sokongan kerajaan, mereka yang kurang positif akan sedar bahawa zaman telah berubah. Kalau kita katakan yang terbaik itu lelaki atau yang terbaik itu wanita tidak ada persoalan mengapa tidak boleh wanita yang berjaya menerajui sesuatu jabatan. Kalau ingin memajukan diri, segala kritikan komen dijadikan cabaran. Kita tak mahu wanita emosional, kurang profesional, terlalu mengikut kata hati. Kita tak mahu lagi stigma kecil hati, rajuk hati, makan hati dan kesemua itu tidak ada dalam jiwa wanita yang ingin maju.

Kalau sedikit komen kita lemah semangat bagaimana kita mahu menjadi peneraju, kerana akan ada lagi komen pada hari-hari mendatang.

Bagaimana perbandingan wanita Malaysia dengan wanita di negara-negara jiran?

DR. RUSINAH SIRON: Secara keseluruhan kita berada dalam kedudukan yang memberangsangkan. Kita sudah break the ceiling, dan sekarang ini kita break the feeling, sebab itu wujud kebimbangan tentang penglibatan wanita dalam sektor awam. Apabila kita dapat menggarap dan memahami wanita itu sendiri baru kita boleh bergerak ke hadapan. Jangan cepat melatah, kita ada tapisan dan had tertentu iaitu wanita kena berjaya dalam tingkah laku dan berjaya dalam kerjaya. Pendakian kita mesti cantik dan sempurna.

Bukankah wanita sering dikaitkan dengan corak kepimpinan yang lemah?

DR. RUSINAH SIRON: Wanita biasanya berperanan sebagai penggalak atau motivasi dan kasih sayang. Dalam membuat keputusan wanita biasanya merujuk kepada orang lain, mereka tidak diselarikan untuk buat keputusan sejak awal. Sebab itu untuk berjaya sebagai pembuat dasar wanita mesti belajar hubungan dan interaksi dengan manusia. Tidak boleh terlalu lembut dan jika terlalu keras dikata pula iron lady. Wanita kena ikut suai padan, biar lembut tapi tegas tapi tidak boleh jadi keras. Wanita mesti lembut, berintegriti dan amanah selain menggunakan budi bicara berasaskan rasional dan profesional.

Adakah akan timbul masalah jika jumlah pembuat dasar di kalangan wanita melebihi lelaki dan semestinya perkara ini akan berlaku dalam masa beberapa tahun lagi?

DR. RUSINAH SIRON: Memang akan ada masalah dan kita kena fikir dari sekarang. Ini potensi masalah. Antaranya jika wanita melebihi lelaki atau berlaku dominasi sebagai pembuat atau penggubal dasar akan berlaku satu keegoan di kalangan wanita. Wanita juga akan berada dalam situasi di mana kita akan mendatangkan persepsi negatif kepada lelaki. Senario ini akan meninggalkan kesan yang sangat ketara dari sudut psikologi dan tingkah laku. Seperkara lagi sektor perkhidmatan awam adalah sangat penting kepada negara oleh itu apabila tiba masanya wanita mendominasi peringkat pembuat dasar maka perlu ada sistem sokongan untuk kaum lelaki.

Kaum lelaki tidak boleh berasa terpinggir. Ini kerana kecemerlangan wanita telah bermula di peringkat sekolah rendah lagi hingga ke menara gading. Malah peningkatan itu tidak pernah menyusut. Untuk ke hadapan jangan difikir sama ada wanita atau lelaki yang mendominasi sektor perkhidmatan awam sebaliknya fikirkan orang yang berkaliber, amanah dan cekap menjadi peneraju tidak kira apa jantinanya.

Pendirian saya sangat jelas. Setiap bahagian yang berhubungan terus dengan reputasi dan kejayaan negara perlu diterajui oleh pekerja yang memenuhi kriteria tersebut dan bukannya berasaskan gender semata-mata.

Kita tidak mahu memperbesarkan isu gender pada masa yang sama negara akan punah hanya kerana sentimen yang tidak relevan itu.

Sejauh mana sukarnya untuk wanita bersaing dengan lelaki sebelum dapat ditempatkan sebagai pembuat dasar.

DR. RUSINAH SIRON: Wanita mesti menjadi pekerja yang efektif. Lakukan lebih daripada yang lain. Sahut cabaran dalaman dan luaran. Lebih penting adalah bijak menangani cabaran persekitaran yang terdiri daripada manusia itu sendiri. Cabaran globalisasi juga tidak terkecuali serta memastikan keupayaan memenuhi kehendak dan keperluan organisasi dalam mencapai misi.

Perlukan lelaki terus berasa bimbang terhadap peningkatan jumlah wanita di peringkat pembuat dasar?

DR. RUSINAH SIRON: Memang perlu. Lelaki tidak boleh goyang kaki dan bersenang diri. Cabaran datang dari pelbagai aspek terutama wanita yang semakin maju. Mereka mesti berasa bimbang, jika tidak kelak timbul pula perasaan terancam dalam diri mereka. Lelaki mesti menjadi efektif dan jangan terlalu asyik fikir persaingan dengan kaum wanita. Kaum lelaki kena bangkit menjadi lelaki sebenar. Cabaran dan kebimbangan lelaki bertitik tolak daripada diri mereka sendiri, justeru mereka mesti bergerak untuk mengatasi kebimbangan tersebut.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url