Untung bersih CIMB RM2.80b

KUALA LUMPUR 23 Feb.2010 - CIMB Group Holding Bhd. (CIMB) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.80 bilion, meningkat 43.8 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu berbanding RM1.95 bilion yang dicatatkan pada tahun 2008.

Perolehan kumpulan pula bertambah 37.8 peratus berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM10.67 bilion manakala keuntungan selepas cukai meningkat 40.4 peratus kepada RM3.812 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak berkata, ia merupakan operasi 12 bulan terbaik beserta dengan prestasi baik yang ditunjukkan di dalam perniagaan kumpulan.

"Untuk suku keempat sahaja, keuntungan bersih telah meningkat 10.5 peratus atau RM803 juta berbanding tempoh yang sama 2008 manakala tahun ke tahun ia mewakili 151.7 peratus pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya," katanya pada pengumuman prestasi kewangan CIMB di sini hari ini.

Menurut Nazir, pulangan ke atas ekuiti (ROE) pula meningkat 15 peratus berbanding 12.5 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya selaras dengan kajian yang disasarkan iaitu antara 14 hingga 15 peratus setahun.

Malah untuk tahun ini, kumpulan menyasarkan ROE sehingga 16 peratus berdasarkan kepada iklim dan persekitaran ekonomi yang positif.

CIMB turut mengumumkan dividen peringkat pertama sebanyak 18.5 sen yang membawa kepada pembayaran bersih sebanyak RM653 juta dan terbitan bonus satu-untuk-satu melibatkan saham baru.

Jumlah pinjaman kasar CIMB terus berkembang dari tahun ke tahun sebanyak 21.5 peratus kerana kemasukan pinjaman CIMB Thai pada tahun 2009 dan jika pinjaman itu tidak diambil kira, pertumbuhan pinjaman kumpulan hanya pada kadar 14.2 peratus yang ditunjangi oleh pinjaman pelanggan tempatan.

Kerugian pinjaman kumpulan, bagaimanapun meningkat 28.7 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.023 bilion berikutan kemasukan CIMB Thai dan peruntukan lebih tinggi dari portfolio antarabangsa dan CIMB Niaga.

Nazir berkata, pinjaman tidak berbayar (NPL) bersih kumpulan pula berada pada 2.0 peratus berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya berikutan.

Berikutan pengkorporatan Southeast Asia Special Asset Management Bhd. (SEACIMB), kadar NPL bersih CIMB Bank telah jatuh kepada 1.2 peratus manakala liputan kerugian pinjaman kumpulan meningkat kepada 90.8 peratus berbanding 86.7 peratus sebagaimana akhir suku ketiga tahun lalu.

Bagi operasi CIMB di luar negara, CIMB Niaga dilaporkan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak rupiah $1.56 bilion, meningkat 131.2 peratus dengan pertumbuhan tahun ke tahun melalui ROE bersih ialah 15 peratus.

Pertumbuhan kukuh itu disumbangkan oleh gabungan pertumbuhan pinjaman, margin faedah bersih yang tinggi dan pendapatan perbendaharaan yang baik.

CIMB Thai pada 21 Januari lalu mengumumkan keuntungan bersih suku keempat 2009 sebanyak baht $42 juta yang membawa keuntungan bersih sepanjang tahun sebanyak baht $2 juta.

Bagi tempoh 12 bulan pula CIMB Thai mencatatkan perolehan sebanyak Baht $6.898 bilion naik 5.6 peratus dari tahun ke tahun.

Manakala CIMB Islamic pula mencatatkan keuntungan sebelum cukai tahun ke tahu sebanyak RM171 juta dengan jumlah pinjaman bertumbuh 166.4 peratus dari tahun ke tahun.

"Jumlah deposit pula meningkat 28.1 peratus kepada RM17.5 bilion dengan jumlah aset sebagaimana sehingga 31 Disember lalau ialah RM27.7 bilion dan menjadikan CIMB Islamic muncul sebagai bank Islam kedua terbesar negara dengan 12 peratus penguasaan pasaran kurang dari lima tahun penubuhannya," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url