Paderi, seks dan gereja gegarkan Jerman

Gereja, seks dan skandal. Demikianlah kata kunci mencairkan kekebalan institusi gereja Roman Katolik yang menutup segala macam konspirasi dan skandal seks oleh paderi. Lebih menggegarkan lagi apabila melibatkan adik kepada Pope Benedict, Georg Ratzinger. Sebelum ini institusi gereja dari yang sekecil-kecil hingga Vatican City tertutup daripada masyarakat.

Tidak ada pihak yang boleh mempersoalkan penyimpangan moral oleh pelbagai peringkat paderi sekalipun umum mengetahuinya. Ketaksuban, rasa hormat yang terlalu tinggi dan tidak berjaya menerobos tabir gereja membuatkan perlakuan antimoral berlaku dengan selamat dalam gereja.

Institusi gereja mempunyai kekebalan untuk menutup sekian banyak kes yang melibatkan skandal seks yang dilakukan oleh paderi selain konspirasi dan jenayah perebutan kuasa. Kini semuanya bagai gunung berapi yang memuntahkan laharnya akibat terlalu lama dibendung.

Semua senario ini kita boleh kutip daripada novel Angels & Demons (2000) karya Dan Brown. Malah karya ini membuatkan kita boleh menerima kenyataan bahawa di sebalik tabir gereja yang mulia bagi penganut Katolik, ada segala macam manusia yang sesetengahnya jauh lebih buruk daripada di luar gereja.

Pihak gereja tidak menyenangi Dan Brown kerana fiksyen mengenai konspirasi politik dan jenayah di Vatican City boleh menjejaskan integriti institusi gereja. Sebaliknya kita pula wajar berterima kasih kepada Dan Brown kerana menggesa setiap yang bertopeng agama dan moral juga wajar dicurigai.

Walaupun Angels & Demons hanya sebuah fiksyen tetapi apa yang berlaku sekarang membuatkan kita boleh membandingkan konspirasi dalam novel dengan konflik moral dalam gereja masa kini. Skandal seks yang melibatkan paderi dengan pelajar-pelajar lelaki tertutup daripada pengetahuan umum. Malah ada pula kecenderungan untuk menyebelahi pihak gereja dan menutup dakwaan mereka yang mangsa.

moral

Skandal dan penderaan seks yang berlaku dalam institusi gereja di Jerman menjadi pencetus kepada banyak lagi perlakuan tidak bermoral manusia yang dianggap bermoral bawah kerudung agama. Lebih menggemparkan lagi skandal yang entah ke berapa ratus ini melibatkan adik kepada tokoh utama Roman Katolik.

Sejak bulan lalu pelajar-pelajar lelaki dari Bavarian Apls hingga utara Rhineland muncul seorang demi seorang membuat laporan didera secara seksual oleh paderi. Ini termasuklah di sekolah lelaki Domspatzen yang dipimpin oleh adik Pope Benedict.

Maka Vatican City mempunyai alasan untuk berdiam diri kerana Pope Benedict juga manusia yang lebih mendahulukan kepentingan dan masa depan adiknya daripada perjuangannya terhadap agama. Tetapi kini Pope Benedict ikut terpalit keburukan moral yang berlaku dalam sebuah institusi yang juga menjadi pembentuk moral.

Sebelum ini politik dan institusi gereja terpisah antara satu dengan lain. Politik tidak mencampuri hal ehwal gereja kerana memberi penghormatan kepada institusi itu mentadbir sendiri perkara yang berkaitan dengan agama. Tetapi kes skandal dan penderaan seks di Jerman ini memaksa Canselor Jerman, Angela Merkel campur tangan.

Merkel menyifatkan skandal yang menyelubungi gereja Katolik di wilayah pentadbiran Pope Benedict sebagai cabaran kepada Jerman. Kerana seriusnya pencabulan moral di sebalik tabir institusi gereja itu, Merkel mendesak supaya rakyat diberitahu apakah yang sebenarnya yang berlaku.

Campur tangan politik ini disebabkan kemarahan yang semarak pihak gereja Katolik Jerman kerana Pope Benedict enggan mengulas mengenai kontroversi pelajar Katolik didera secara seksual oleh paderi. Pope Benedict membisu kerana kes kali ini melibatkan adiknya.

skandal

Ini hanya secebis daripada ratusan kes skandal dan penderaan secara seksual yang berlaku dalam institusi gereja di Vatican City, Brazil, Ireland dan juga Jerman sejak lebih tiga dekad lalu. Semua ini menunjukkan manusia yang memakai topeng agama dengan mudah diberi keistimewaan untuk berlindung apabila timbul kes moral seperti ini.

Penyelewengan seks kalangan tokoh agama atau yang berpura-pura sebagai tokoh agama berlaku dalam semua agama. Maka yang berlaku di Jerman dan ratusan kes yang tertutup daripada pengetahuan umum sebelum ini bukanlah suatu yang luar biasa. Cuma mereka yang mempunyai persepsi bahawa semua tokoh agama adalah manusia bersih akan hairan dan terkejut.

Kontroversi skandal dan penderaan seks di gereja Roman Katolik ini memberikan banyak iktibar. Salah satunya penyelewengan paling mudah dilakukan oleh individu yang diletakkan di atas persada agama yang tinggi. Sesetengah orang agama memperalatkan sanjungan orang terhadap agama untuk kepentingan diri.

Hal ini samalah dengan paderi yang dilarang berkahwin tetapi hakikatnya mempunyai perilaku lebih buruk melakukan penderaan seks kepada remaja lelaki yang belajar agama di gereja.

Maka perkara-perkara yang melibatkan penyelewengan dan skandal seks bukanlah ditentukan oleh faktor agama, kaum, budaya dan geografi di mana individu itu berada. Kekotoran yang berlaku dalam Katolik ini boleh juga terjadi kepada individu yang menganggotai institusi agama lainnya.

Cuma persoalannya apakah selepas gegaran dibuat oleh Canselor Jerman yang sekaligus menggoncang Vatican City yang bersekongkol menutup bangkai dalam gereja Roman Katolik di Jerman akan meneruskan sanjungan masyarakat terhadap institusi agama itu? Merkel mahu berterus terang tetapi Vatican City yakni Pope Benedict mahu menutupnya. Sekali lagi elok juga kita menyusuri galur fiksyen novel Angels & Demons untuk memahami konspirasi dalam institusi gereja Roman Katolik.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url