Top Ad 728x90

, ,

Yanie Mentor selamat disemadi


KOTA KINABALU: Jenazah pemenang tempat ketiga musim pertama rancangan realiti Mentor terbitan TV3, Sitti Surianie Jul Karim atau lebih dikenali sebagai Yanie, 25, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Suami Allahyarham, Irfin Abdul Manan, 30, ketika ditemui Berita Harian selepas majlis pengebumian berkata, Yanie menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.30 pagi semalam di Hospital Keningau, berikutan ketumbuhan dalam paru-paru yang dihidapi sejak November lalu.

“Penyakitnya bertambah kronik sejak dua bulan lalu dan kerap menerima rawatan di Hospital Keningau. “Yanie meninggal di pangkuan saya. Anak kami, Iris Sofia, yang baru berusia dua tahun turut berada di sisi,” katanya semalam.

Irfin yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini berkata, isterinya sempat berpesan beberapa hari lalu supaya anak tunggal mereka dijaga dengan penuh kasih sayang.

Malah, katanya, Allahyarham tidak putus-putus mengingatkan Iris Sofia diberi didikan sempurna supaya menjadi insan berguna.

“Insya-Allah, akan saya tunaikan wasiatnya itu. Saya terima ketentuan Ilahi kerana sudah tiba masanya untuk kami berpisah di dunia,” katanya.
Hadir sama ibu bapa Allahyarham, Jul Karim Maring, 49, dan Seriah Osman, 43, serta mentuanya, Abdul Manan Mohd Noor, 57, dan Manisah Abdullah, 52. Bagaimanapun, Iris Sofia tidak kelihatan di tanah perkuburan.

Bacaan talkin disempurnakan Penolong Imam Masyid Kariah Kampung Sembulan, Kota Kinabalu, Mahmud Sana.

Allahyarham adalah anak sulung daripada lima beradik, menyertai Mentor pada 2005, selaku protege Ning Baizura.

Yanie mendirikan rumah tangga dengan Irfin pada 23 November 2007.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90