Jangan hukum gadis hamil luar nikah

KUANTAN 27 April - Masyarakat terutama ibu bapa tidak seharusnya menghukum atau mengabaikan anak perempuan yang hamil luar nikah sebaliknya perlu bersama-sama bertanggungjawab menangani masalah tersebut.

Presiden Persatuan Gerontologi Malaysia, Dr. Mohd. Ghazali Abdul Ghaib berkata, walaupun masyarakat menganggap perbuatan itu sebagai memalukan, tetapi atas dasar kemanusiaan, mereka seharusnya dibantu bagi mengelak terjadinya masalah pembuangan bayi.

''Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi pertolongan dan perhatian kepada anak gadis mereka dan bukannya menghalau mereka dan tidak mengaku sebagai anak.

''Walaupun kita anggap sebagai dosa yang tidak boleh dimaafkan tetapi kita tidak seharusnya melakukan satu dosa lagi dengan mengabaikan anak dan bayi dalam kandungan sehingga mati.

''Tugas kita sebagai ibu bapa adalah untuk menyelamatkan nyawa anak cucu kita dan sepatutnya soal dosa dan pahala itu biarlah Allah yang tentukan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kebangsaan Ke-3 di Hotel Vistana di sini hari ini.

Hadir sama pada seminar yang bertajuk Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Halijah Yahaya.

Menurut Mohd. Ghazali, punca utama masalah pembuangan bayi ialah apabila wanita yang hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga dan khuatir dihukum masyarakat.

''Seharusnya kita menilai semula pegangan prinsip dan agama dengan lebih halus dan berperikemanusiaan.

''Walaupun ia merupakan satu konflik dan dilema terhadap nilai peribadi tetapi kita seharusnya bersifat kasih sayang terhadap anak sendiri," jelasnya.

Tambahnya, pihak keluarga harus bertanggungjawab dan menghantar bayi yang dilahirkan itu ke JKM sekiranya tidak boleh untuk menerimanya.

''JKM sedia menerima bayi yang lahir tanpa nikah ini dan akan memelihara dengan sewajarnya.

''Jangan biarkan anak-anak gadis ini terumbang-ambing sehingga sanggup membunuh dan membuang zuriat sendiri tanpa belas kasihan," ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url