Kempen Earth Hour tingkat kesedaran

Oleh ROHANA MAN

Sudah empat tahun berturut-turut, kempen memadamkan lampu dan penggunaan peralatan elektrik selama sejam diadakan. Kempen itu dipelopori oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF), bermula di Sydney, Australia pada 2007. Ia dinamakan Earth Hour.

Sejak itu, ia semakin mendapat sokongan dunia dan diadakan pada setiap hari Sabtu ketiga dalam bulan Mac. Tahun ini, tarikh 27 Mac menyaksikan kempen Earth Hour bermula pada pukul 8.30 malam dan berakhir sejam kemudian.

Tujuannya adalah untuk menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif dalam menangani isu pemanasan global.

Pengarah Eksekutif Earth Hour , Andy Ridley berkata, sasaran kempen itu adalah untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global.

Kehangatan sambutan kempen Earth Hour di seluruh dunia pada malam 27 Mac lalu turut dirasai di negara ini.

Di ibu kota, bermula pukul 8.30 malam, Menara Berkembar Petronas 'hilang' daripada pandangan selama sejam selepas lampu-lampunya dipadamkan.

Kempen itu juga mendapat sambutan di kalangan para pengusaha stesen minyak Petronas di seluruh negara, pusat beli-belah Sunway Pyramid manakala di Melaka, hotel Rennaisance dan A'Famosa Resort turut memadamkan lampu sepanjang tempoh tersebut.

Tahun lalu, kira-kira enam juta rakyat Malaysia terlibat dalam kempen itu manakala di peringkat dunia, dianggarkan hampir 1 bilion penduduk, 4,000 bandar dan 87 negara terlibat menjayakannya.

Mengulas adakah kempen itu dapat memupuk kesedaran penduduk dunia mengenai penjimatan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau, pensyarah komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah mengikuti isu-isu berkaitan alam sekitar di Malaysia sejak 12 tahun lalu, Dr. Nik Norma Nik Hasan berkata, kempen Earth Hour membantu meningkatkan kesedaran orang ramai daripada pelbagai peringkat usia dalam memahami pentingnya menjaga alam sekitar khususnya melibatkan perubahan iklim dunia.

Beliau bercerita, anak-anak saudaranya yang masih kecil turut mengingatkannya agar memadamkan lampu selama sejam pada malam 27 Mac lalu.

"Ini menunjukkan anak-anak kecil tahu tentang kempen tersebut dan secara tidak langsung dapat mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga alam sekitar khususnya berkaitan isu perubahan iklim dunia," katanya kepada Utusan Malaysia.

Kempen itu juga menunjukkan betapa perlunya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tindakan segera dalam menghadapi perubahan iklim di peringkat global.

Malah, penglibatan semakin ramai penduduk Malaysia di dalam kempen tersebut menunjukkan ia berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kesan buruk perubahan iklim dunia.

Katanya, perubahan iklim yang sedikit sahaja boleh dirasai dan menjejaskan penduduk dunia, justeru kesedaran orang ramai untuk membantu mengurangkan masalah pemanasan global perlu dilakukan dengan apa cara sekali pun.

"Hanya apabila ada kesedaran, barulah sesuatu program yang diadakan mencapai matlamatnya, misalnya dalam kempen Earth Hour ini. Memang kita tidak boleh mengatasi masalah tersebut tetapi sekurang-kurangnya, ia dapat mengurangkannya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Nik Norma berkata, kempen Earth Hour juga boleh mendidik seseorang secara tidak formal mengenai keperluan menjaga alam sekitar dan ia lebih menarik kerana memerlukan seseorang untuk terlibat sama dalam aktiviti yang diadakan.

"Pendidikan secara formal atau tidak formal, kedua-duanya penting untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai mengenai kesan buruk perubahan iklim dunia," katanya.

Sungguhpun begitu, katanya, keberkesanan dan kejayaan sesebuah kempen alam sekitar hanya akan terlaksana jika penduduk dunia memberikan kerjasama.

Ini kerana, katanya, alam sekitar bersifat sejagat dan masalah yang berlaku merentasi sempadan negara.

Misalnya, pembakaran terbuka di Indonesia memberi kesan yang teruk kepada negara jiran, Singapura dan Malaysia.

"Jadi, kena ada kerjasama terutama antara satu kerajaan sesebuah negara dengan kerajaan negara lain.

"Tanpa penglibatan kerajaan sesebuah negara, maka sebarang kempen, peraturan atau larangan di peringkat global tidak akan dipatuhi oleh penduduk negara tersebut.

"Misalnya, dalam pelaksanaan Protokol Kyoto. Jika Amerika Syarikat tidak mahu melaksanakannya, maka sudah tentu matlamat yang disasarkan sukar dicapai," katanya.

Protokol Kyoto adalah persetujuan dalam Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Perubahan Iklim (UNFCCC), yang diterima sejagat tentang perihal pemanasan global. Negara-negara yang bersetuju melaksanakan protokol ini telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida dan lima gas rumah kaca lain serta bekerjasama dalam perdagangan kontrak pembebasan gas.

Jika berjaya dilaksanakan, Protokol Kyoto berupaya menurunkan kenaikan suhu global antara 0.02 °Celsius dan 0.28 °Celsius setahun sehingga tahun 2050.

Menurut Dr. Nik Norma, masyarakat bukan sahaja perlu memberi perhatian kepada masalah berkaitan iklim dunia, sebaliknya semua masalah lain berkaitan alam sekitar juga perlu diberi perhatian dalam membantu mengurangkan bebanan masalah alam sekitar seperti penebangan hutan tanpa terkawal, pencemaran sungai dan laut, pencemaran udara serta kepupusan flora dan fauna akibat habitat mereka dicerobohi manusia.

Di peringkat USM, katanya, beberapa kempen berkaitan penjagaan alam sekitar telah lama diadakan termasuk kempen Hari Tanpa Memandu.

Katanya, kempen itu telah bermula pada tahun lalu dan mendapat sambutan baik daripada warga kampus universiti tersebut.

"Pada hari kempen itu berlangsung, seluruh warga USM dilarang memandu atau menunggang motosikal di dalam kampus selama sejam," ujarnya.

Mengulas mengenai kesedaran penduduk Malaysia terhadap isu-isu alam sekitar, katanya, kajian dan pemerhatian yang dilakukannya sejak 10 hingga 12 tahun lalu mendapati kesedaran penduduk Malaysia semakin meningkat.

"Ia mula meningkat selepas kejadian pangsapuri Highland Towers runtuh pada 1993. Sejak itu, orang ramai sedar pentingnya memulihara hutan dan bukit bukau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula semakin rancak berkempen untuk memastikan kelestarian hutan kita.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url