Kerana tunang, Karen memeluk Islam


Lima bulan sebelum detik paling bersejarah dalam hidupnya, iaitu hari bakal dinikahkan, Karen Meek hampir-hampir pengsan kerana terkejut mendengar pengakuan tunang kesayangan, Eric.

Pasti sesiapa juga akan terkejut setengah mati apabila insan yang bakal menjadi teman hidup mengaku telah bertukar agama.

Maka sukar bagi Karen mempercayai Eric kini merupakan seorang Muslim. Dahulu bakal suaminya Kristian selepas itu bertukar menjadi seorang yang tidak mempercayai tuhan atau ateis.

"Saya bagaikan disambar kilat dan petir apabila mendengar pengakuan Eric itu. Terlalu sukar untuk saya terima kerana bagaimana dengan saya sebagai tunangnya?

"Saya juga seperti ramai rakyat Rusia yang lain termasuk juga Eric sebelum ini, lebih senang untuk tidak mempercayai sebarang agama mahupun tuhan.

"Saya fikir otak Eric telah dicuci. Tiba-tiba sahaja kini beliau berhenti minum alkohol. Malah tidak pernah meninggalkan solat lima waktu sehari apatah lagi menjamah daging babi," cerita Karen mengenai perubahan perilaku tunangnya itu.

Sementara Eric, dilahirkan sebagai menganut Kristian Baptis.

Tetapi kemudian menjadi seorang ateis. Rupa-rupanya dia sudah berbulan-bulan lamanya mempelajari Islam tanpa pengetahuan Karen.

Sehingga secara rasmi telak memeluk Islam, baharu Eric memberitahu Karen bahawa Islam adalah kepercayaannya kini.

Meskipun terkejut, pengakuan Eric itu tidak membuatkan pasangan ini memutuskan hubungan. Karen tetap meneruskan rencananya untuk bernikah dengan Eric.

Namun, Karen terpaksa mencari pelbagai sumber rujukan terutamanya buku dan rakaman-rakaman video mengenai Islam, semata-mata untuk memahami agama baru anutan calon suaminya itu.

"Tetapi sama sekali saya tidak berharap akan masuk Islam apabila cuba mencari dan mengenali mengenai Islam itu," kata Karen.

Akibat dibesarkan dan meniti usia dewasa dengan pola pemikiran bahawa pegangan agama itu adalah sesuatu yang bodoh menyebabkan Karen langsung tidak mempercayai Tuhan dan agama.

"Saya tidak pernah memikirkan bagaimana dunia dan alam ini diciptakan, siapa yang menciptanya dan untuk apa diciptakan. Terus terang saya tidak pernah ambil peduli semua itu," katanya.

Namun walaupun dalam keadaan terpaksa untuk mempelajari Islam itu, akhirnya Karen menyedari dan mengakui bahawa penjelasan Islam mengenai wujudnya tuhan itu adalah paling logik atau masuk akal yang pernah beliau temui.

"Kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya yang menciptakan mengenai alam semesta ini terlalu sukar untuk saya nafikan kebenarannya lagi.

"Tidak ada alasan untuk saya membantahnya lagi," tegas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url