Top Ad 728x90

,

Usaha gigih makmurkan ekonomi

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia

RINGGIT semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) manakala Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melepasi paras 1,300 mata. Dua petunjuk ekonomi ini menggambarkan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara sejak berlakunya kemelesetan ekonomi dunia pada 2007 semakin membuahkan hasil.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan kerja ke Jepun selepas menganggap lawatan ke AS baru-baru ini paling berhasil yang pernah dilakukan beliau. Lawatan Najib ke AS telah membuka lembaran baru dalam kerjasama dengan AS terutamanya dari segi ekonomi.

Lawatan beliau ke Jepun memberi nafas baru kepada ekonomi kedua-dua negara selepas Malaysia menjadikan Jepun sebagai antara negara perdagangan utama Malaysia melalui Dasar Pandang Ke Timur.

Nafas baru yang dimaksudkan adalah melalui "penjenamaan" semula dasar ini dengan memperkenalkan usaha-usaha baru yang menepati kepentingan kedua-dua pihak.

Selama 28 tahun Dasar Pandang Ke Timur dilaksanakan, lebih 15,000 rakyat Malaysia memperoleh manfaatnya dan mereka kini menjadi pemimpin pertengahan dan pemimpin tertinggi di sektor swasta dan awam di negara kita. Maka, sesuatu yang cukup bermakna bagi negara agar dasar ini diteruskan tetapi melalui pendekatan yang lebih segar bertepatan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan pada bulan lepas.

Usaha-usaha berterusan sebegini amatlah penting bagi mempertingkatkan ekonomi dan perdagangan negara. Meskipun MEB baru sahaja diumumkan pada bulan lalu dan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, negara-negara perdagangan utama dunia amat berminat untuk mengetahui mengenai MEB.

Contohnya, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap MEB dan yakin ia mampu meningkatkan kerjasama antara EU dan Kuala Lumpur. MEB dilihat sebagai satu tarikan baru pelaburan antarabangsa ke Malaysia.

Ini kerana MEB tidak lagi menggunakan laluan sama yang dikenali sebagai sindrom boiling frog (mentaliti subsidi) tetapi lebih untuk menjadikan syarikat-syarikat Malaysia lebih berdaya saing di pentas antarabangsa.

Siapa kata syarikat-syarikat Malaysia tidak boleh berdikari dan berjaya di pentas antarabangsa? Bahkan syarikat-syarikat Bumiputera yang bertaraf Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Umpamanya, tiga syarikat teknologi maklumat IKS Bumiputera iaitu Rapid Matrix Sdn. Bhd,. Motiofixo dan AKRIZ Sdn. Bhd. berjaya menjual produk mereka untuk pasaran antarabangsa seterusnya menjalin pakatan strategik dengan syarikat-syarikat dari luar negara.

Usaha-usaha berterusan ini bukan setakat melibatkan lawatan dan promosi tetapi juga melihat bidang-bidang baru yang boleh dikenal pasti untuk diusahakan. Bidang kewangan Islam merupakan salah satu daripada bidang yang cukup bernilai tinggi pada masa kini dan akan datang.

Banyak negara yang bukan Islam seperti Singapura dan Hong Kong juga mengetahui tentang prospek besar kewangan Islam dengan memperkasakan sektor kewangan Islam mereka. Lanjutan itu, Malaysia juga tidak terkecuali apabila bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ketujuh pada 4 dan 5 Mei ini.

Ini menunjukkan komitmen tinggi Malaysia untuk menjadi peneraju utama kewangan Islam global terutamanya selepas kemelesetan ekonomi global angkara sistem konvensional yang banyak kelemahan dan mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Atas dasar itu jugalah, kerajaan amat bertegas dengan sebarang kes penyelewengan korporat apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memfailkan 6,247 kes di mahkamah berkaitan dengan penyelewengan korporat mengikut Akta Syarikat 1965 pada tahun lepas.

Bukan itu sahaja, pada 1 April lalu, kerajaan telah menubuhkan Badan Pengawas Audit (AOB) bagi memastikan kualiti juruaudit-juruaudit syarikat senaraian awam berada pada tahap terbaik. Kualiti juruaudit syarikat senaraian awam cukup penting bagi meyakinkan pelabur-pelabur luar terhadap tadbir urus korporat syarikat-syarikat senaraian awam Malaysia.

Oleh itu, usaha-usaha berterusan ini janganlah sesekali diganggu-gugat sebagaimana yang berlaku di negara jiran kita. Bayangkan di satu pihak mengadakan demonstrasi secara berterusan memaksa kerajaan membubarkan Parlimen manakala di satu pihak lain mengadakan protes dan menyokong kerajaan.

Bilakah ia akan berakhir? Yang pasti, demonstrasi sebegini bukannya mampu membawa kebaikan kepada majoriti rakyat. Kesannya pula amat besar sama sekali. Ekonomi negara lumpuh sepenuhnya dan yang menanggung akibatnya adalah majoriti rakyat yang tidak bersalah. Ambillah iktibar apa yang berlaku di negara jiran agar setiap daripada kita bekerjasama, bersatu padu dan berusaha gigih memakmurkan Malaysia.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90